'Tolonglah, jangan buli staf KKM', doktor luah penat hadap waris tinggi suara, gesa aktifkan 'Code Grey'


  • Maya
  • Rabu, 26 Nov 2025

Staf dan petugas kesihatan KKM sering kali dimarahi dan ditengking waris pesakit atas faktor tempoh menunggu terlalu lama dan pelbagai lagi isu berkaitan. — Gambar hiasan/Janaan AI

ISU ketegangan dan pertelingkahan di hospital awam kerap kali tercetus membabitkan waris pesakit dan petugas kesihatan yang lazimnya mengundang persepsi negatif ramai.

Paling kritikal bila mana seorang petugas sering berdepan isu kecaman dan makian daripada individu atas beberapa faktor seperti tempoh menunggu terlalu lama, ruang katil terhad dan fasiliti usang.

Bagai sudah lali dengan situasi tersebut, hal itu semakin kerap berlaku hingga ada yang menyifatkannya sebagai satu senario normal di sesebuah hospital.

BACA LAGI: Gara-gara tinggalkan anak lebih 2 jam di 'indoor playground', kecurangan suami terbongkar

BACA LAGI: Mekap, gaya ala TokTi, murid darjah 1 johan pertandingan 'Tiru Tokoh' mirip Biduanita Negara

Mengulas lanjut hal itu, seorang pengamal perubatan, Nor Hayati Yasmin tegas menyuarakan pendapatnya berhubung insiden pertelingkahan yang berlaku di jabatan kecemasan hospitalnya baru-baru ini. 

Menurutnya, kejadian berlaku selepas seorang pegawai perubatan (MO) ditengking oleh waris pesakit hanya kerana permintaannya tidak dapat dipenuhi serta-merta.

"Dia rasa ada hak untuk marah doktor, dia rasa dia boleh tengking doktor yang merawat ahli keluarganya.

"Kenapa orang awam berani dengan staf KKM saja, kenapa dengan polis tak berani pula nak tengking dan marah. Pilih-pilih orang pula nak marah," katanya di laman Facebook.

Jelasnya, setiap penjelasan yang diberikan ditolak seolah-olah waris hanya mahu mendengar apa yang selari dengan kehendak mereka. 

Lebih mengejutkan, waris tersebut tidak pula mahu membawa pesakit berpindah ke hospital lain walaupun berulang kali menunjukkan rasa tidak berpuas hati.

Ketika situasi semakin memuncak, beliau sempat bertanya kepada penyelia bertugas mengapa Code Grey, (kod rasmi untuk menangani ancaman atau keganasan di fasiliti kesihatan) tidak diaktifkan.

"Kalau sudah berlebihan seperti ini, tak payah kita layan sangat, aktifkan saja Code Grey.

"Kita manusia biasa, bukannya robot, seawal pukul 9 pagi sepatutnya perut berisi dengan sarapan bukannya dijamu dengan makian ahli keluarga pesakit," ujarnya.

Lebih memenatkan, insiden itu bukan kali pertama apabila perangai sama ditunjukkan waris tersebut sejak malam sebelumnya, menyebabkan dua syif MO malam dan pagi terpaksa berdepan tekanan emosi yang sama.

Dalam pada itu, Nor Hayati mengingatkan orang ramai bahawa petugas kesihatan juga manusia biasa yang bekerja di bawah kekangan besar, termasuk jumlah pesakit yang tinggi dan kekurangan katil wad sehingga pesakit terpaksa menunggu lama di jabatan kecemasan.

"Penat kami boleh hadap, memang tahu kerja ini penat yang kami tak boleh hadap adalah sikap waris pesakit yang sesuka hati menaikkan suara.

"Rasa diri paling bagus, paling ambil berat tapi dalam masa sama membuatkan semangat staf dan doktor yang sedikit jumlahnya ini semakin merudum," katanya.

Menurutnya, insiden seperti ini menjadi antara faktor mengapa ramai staf dan doktor KKM memilih meninggalkan perkhidmatan awam.

Di akhir perkongsiannya, beliau merayu agar masyarakat lebih beradab dan memahami tekanan kerja petugas barisan hadapan.

"Tolonglah, jangan buli staf KKM, staf dan doktor yang masih bertahan di KKM patut dihargai bukannya makin ditekan-tekan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram