Bukan diskriminasi, faktor kos dan kesihatan antara punca syarikat 'reject' ibu hamil bekerja


  • Bonda
  • Khamis, 27 Nov 2025

Golongan wanita hamil semakin sukar mendapat pekerjaan dan sering kali dipandang rendah pihak pengurusan syarikat. — Gambar hiasan/Janaan AI

DALAM dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, isu wanita hamil sukar mendapat kerja sering menimbulkan perdebatan di kalangan masyarakat.

Segelintir pihak menganggap ia sebagai bentuk diskriminasi, namun ada juga yang melihatnya sebagai implikasi praktikal dalam pengurusan sumber manusia.

Seorang staf pengurusan dari syarikat multinasional (MNC) negara, Violet Rahman tampil menjelaskan realiti di sebalik keputusan sukar dibuat oleh banyak syarikat ketika menilai permohonan calon yang sedang hamil.

BACA LAGI: 'Tolonglah, jangan buli staf KKM', doktor luah penat hadap waris tinggi suara, gesa aktifkan 'Code Grey'

BACA LAGI: Gara-gara tinggalkan anak lebih 2 jam di 'indoor playground', kecurangan suami terbongkar

Menurutnya, penolakan itu bukan semata-mata kerana status kehamilan, tetapi berkait rapat dengan kos, risiko dan keperluan operasi syarikat.

Malah, setiap pekerja baharu merupakan satu bentuk pelaburan dan syarikat perlu memastikan keputusan dibuat memberi pulangan dalam bentuk produktiviti.

Merungkai ideologi di sebalik perkara itu, satu jawatan seperti pentadbir (admin) misalnya membolehkan sesebuah syarikat membelanjakan sekitar RM4,000 sebulan termasuk gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans dan elaun.

Ini bermakna hampir RM48,000 setahun diperuntukkan bagi memastikan kerja berjalan lancar dan operasi syarikat terjamin.

Namun, bagi calon yang hamil, beberapa isu berpotensi berlaku seperti faktor keletihan, janji temu kesihatan berkala, cuti tambahan atau risiko kehamilan berisiko tinggi yang memerlukan perhatian lebih.

 

 

 

 

 

 

 

 

Situasi tersebut menurutnya boleh menyebabkan kerja tertangguh dan menambah beban kepada staf sedia ada.

"Jadi syarikat biasanya tak mahu risiko macam ni sebab akta di Malaysia tak boleh terminate pregnant mothers yang bekerja kecuali sebab-sebab tertentu.

"Tapi syarikat pun tak wajib ambil pregnant mothers semua berdasarkan hiring manager, kalau hiring manager sees potential in you to bring more value to the company, alhamdulillah," ujarnya.

Dalam masa sama, pihak syarikat tetap wajib membayar gaji penuh sepanjang cuti bersalin, sekiranya pekerja sudah berkhidmat melebihi 90 hari.

"Ini bukan soal tidak menyokong ibu hamil, tetapi realiti operasi, jika pekerja baharu sering cuti atau tidak mampu menjalankan tugas, ia memberi kesan kepada produktiviti dan menambah tekanan kepada staf lain," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa tekanan bukan sekadar dirasai di peringkat pekerja, malah melibatkan pengurus yang meluluskan pengambilan.

Pun begitu, beliau menegaskan bahawa bukan semua syarikat menolak calon hamil.

Jelasnya, banyak organisasi kini semakin terbuka menerima individu hamil terutamanya jika calon mampu menawarkan kemahiran yang tinggi atau jarang dimiliki.

Bagi wanita yang sedang hamil dan mencari pekerjaan, beliau menyarankan agar mereka lebih memahami situasi sebenar industri.

Penolakan bukan bermaksud diskriminasi semata-mata, tetapi hasil pertimbangan keupayaan syarikat untuk menanggung risiko dan kos.

Dalam masa sama, beliau menggalakkan wanita muda terutamanya yang belum merancang untuk hamil untuk meningkatkan kemahiran, menambah pensijilan dan membina profil kerjaya yang kukuh sebagai langkah persediaan untuk masa depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram