BENCANA banjir yang melanda selatan Thailand sejak beberapa hari lalu bukan sahaja menjejaskan ribuan penduduk, malah turut mengancam keselamatan haiwan peliharaan.
Rentetan kejadian itu, tular rakaman memaparkan kegigihan dua orang wanita menyelamatkan seekor singa peliharaannya daripada hanyut dibawa arus banjir.
Klip pendek dimuat naik oleh pengguna TikTok @lalaiffan itu menunjukkan air banjir setinggi paras betis memenuhi ruang kediaman mereka di wilayah Satun.
BACA LAGI: Gara-gara tinggalkan anak lebih 2 jam di 'indoor playground', kecurangan suami terbongkar
Biarpun hujan lebat, wanita berkenaan dilihat memimpin singa itu keluar dari kawasan ditenggelami air bagi memastikan haiwan tersebut tidak hanyut dibawa arus.
Menariknya, haiwan buas itu kelihatan tenang dan sama sekali tidak menunjukkan karakter sebagai haiwan pemangsa ketika kejadian.
Difahamkan, singa tersebut merupakan haiwan peliharaan individu berkenaan bahkan telah dianggap sebagai ahli keluarga sendiri selepas sekian lama tinggal di ruang kediaman mereka.
Tatkala ramai penduduk sibuk menyelamatkan diri dan harta benda masing-masing, kedua-dua individu itu sanggup kembali ke rumah untuk memastikan haiwan tersebut tidak lemas.
Dalam pada itu, banjir besar yang kini melanda Satun, Songkhla, Nakhon Si Thammarat, Hat Yai, Surat Thani, Krabi, Pattani, Yala dan beberapa wilayah lain dilapor antara yang terburuk dalam tempoh beberapa tahun.
Beberapa bandar termasuk Hat Yai merekodkan paras air meningkat antara 0.5 hingga 2.5 meter, menyebabkan ribuan rumah ditenggelami air dan jalan raya lumpuh.
Di beberapa kawasan terjejas, bekalan air bersih terpaksa dipotong sementara selepas sistem rawatan air dilaporkan terganggu akibat banjir dengan ribuan penduduk dipindahkan ke pusat sementara ekoran paras air yang terus meningkat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
