Boleh ambil barang dihanyut banjir tapi bukan sebarangan, jatuh haram hukumnya jika tersilap


  • Mukmin
  • Selasa, 25 Nov 2025

Keadaan semasa di kawasan parkir Stesen KTMB Arau, Perlis yang mula dinaiki air banjir pada Selasa. — Facebook

BEBERAPA negeri di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Kelantan, Perak, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak dilanda banjir yang membawa kesan besar kepada kehidupan masyarakat setempat. 

Ribuan penduduk terpaksa dipindahkan, rumah dan perabot rosak, serta pelbagai barangan berharga seperti kasut, kereta, dan motosikal juga hanyut dibawa arus deras.

Kejadian berkenaan bukan sahaja menjejaskan harta benda, malah memberi tekanan emosi kepada mangsa yang kehilangan harta hasil titik peluh mereka dek banjir melanda. 

BACA LAGI: Macam lagu 'Pelamin Anganku Musnah', perunding perkahwinan kongsi foto dekorasi kenduri ditenggelami banjir di Manjung

BACA LAGI: Pelan kontingensi diaktifkan, 259 calon SPM terjejas banjir diberi bantuan

Dalam keadaan sebegini, timbul persoalan mengenai hukum mengambil barang yang hanyut dibawa arus banjir.

Adakah ia dibenarkan atau sebaliknya, terutama apabila pemilik sebenar tidak dapat dikenal pasti?

Pengguna Facebook, Sofian B Samah Pian melalui hantaran di laman Facebook, Kedah Di Hatiku berkongsi pandangan mengenai isu tersebut sambil menekankan bahawa dalam menghadapi musibah, doa dan kesabaran amat penting. 

"Pertama, kita doakan supaya ujian ini tidak berlarutan dan moga diberi ketabahan buat mereka yang diuji, dan ALLAH SWT menggantikan semula segala barang halal, bermanfaat tersebut buat mereka yang diuji," katanya.

Menurut kitab Yaqut An-Nafis, para ulama menyebut bahawa harta yang dibawa banjir dan terdampar di tanah seseorang, ia dikategorikan sebagai harta hilang atau luqatah.

"Para ulama menyebutkan bahawa harta yang dibawa banjir kemudian terlantar di tanah seseorang, para ulama mengatakan itu adalah harta yang hilang.

"Perlu diiklankan dahulu siapakah pemiliknya sehingga setahun, jika tidak dituntut, barulah boleh ambil hak milik. Boleh lihat hukum lanjut tentang harta luqatoh," katanya memetik kitab Yaqut An-Nafis.  

Tangkap layar hantaran pengguna Facebook, Sofian B Samah Pian.

Untuk info, harta luqatah ialah harta yang ditemui di suatu tempat tetapi pemiliknya tidak dikenali atau tidak dapat ditemui oleh penemu termasuk wang tunai, barang kemas, atau barangan berharga lain yang jatuh dan ditemui tanpa diketahui siapa pemiliknya.  

Dalam masa sama, pengguna Facebook itu turut berkongsi pandangan Imam Hasan Al-Basri yang berpendapat bahawa jika pemilik harta tidak diketahui langsung, maka penemu boleh memilikinya. 

Namun, jika harta tersebut jelas diketahui pemiliknya contohnya kereta atau motosikal yang mempunyai nombor pendaftaran, maka mengambil barang tersebut adalah haram. 

"Menurut pandangan  Imam Hasan Al-Basri rahimahullah: Jika harta tersebut tidak di ketahui pemiliknya maka ia boleh dimiliki oleh siapa yang menemuinya. Namun, jika harta itu jelas diketahui pemiliknya, maka haram kita mengambilnya.

"Jadi kereta, motorsikal ada nombor plat, maka itu confirm ada tuannya, begitulah harta yang lain, walaupun tidak bertulis nama, namun dikenali, maka sama hukumnya," kongsinya. 

Situasi itu menjadi peringatan kepada masyarakat agar lebih berhati-hati ketika menghadapi musibah banjir, menghormati hak milik orang lain sambil memberi perhatian kepada bantuan dan solidariti kepada mereka yang terjejas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram