SEOLAH-OLAH lagu Pelamin Anganku Musnah menjadi realiti, pelamin cantik hasil sentuhan kreatif perunding perkahwinan di sekitar Perak separuh tenggelam akibat banjir yang menimpa di Manjung.
Foto dekorasi itu dimuat naik sendiri oleh perunding majlis perkahwinan terbabit di akaun Threads mereka, sekali gus meraih perhatian warga maya.
Meskipun insiden itu mengejutkan dan menyedihkan, namun perunding tersebut tenang menerima situasi itu dan sempat bergurau menerusi hantaran yang dimuat naik pada Isnin itu.
BACA LAGI: Rakam potret guna kamera tahun 1880 cara Pevita Pearce, suami abadikan ulang tahun pertama
"Apa nak gaduh-gaduh, lepas nikah terus kuak lentang," tulis mereka seloroh.
Pelamin berwarna putih itu dihias dengan gaya elegan minimalis, menampilkan hiasan bunga berwarna pastel dan reben gergasi putih yang digantung rapi di papan belakang.
Warga maya turut memberikan pelbagai reaksi terhadap detik itu.
"Dulu kata lautan api sanggup renang. Takkan banjir tak boleh sebab lautan air saje," komennya sambil menitipkan doa dipermudahkan urusan buat pihak yang terlibat.
Selain komen titipan doa, ada juga yang terkejut dengan mempersoalkan sama ada foto itu adalah hasil janaan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau realiti.
Pada Isnin, beberapa negeri ditimpa banjir susulan hujan lebat, antaranya Selangor, Pulau Pinang dan Perak.
Di Perak, Manjung menjadi daerah paling terjejas apabila seramai 1,377 orang daripada 411 keluarga dipindahkan ke 13 buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat artikel ini disiarkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
