KISAH seorang remaja perempuan dari Tangkak, Johor yang pernah menjadi mangsa buli hingga terpaksa berhenti sekolah, mendapat perhatian Majlis Amanah Rakyat (MARA) apabila agensi itu tampil menawarkan peluang pengajian kepadanya.
Remaja berkenaan, Syafikah, sebelum ini tular di media sosial selepas kisahnya dikongsi pengguna Facebook, Afiq Noordin, yang menceritakan bagaimana dia membantu ibunya berniaga sarapan pagi di sebuah warung kecil di Pekan Tangkak bagi menyara kehidupan keluarga.
Kehidupan Syafikah bukan mudah. Selain berdepan tekanan akibat dibuli secara mental dan fizikal termasuk diejek dan dijadikan bahan jenaka, keluarganya juga diuji apabila bapanya kehilangan sebelah kaki akibat penyakit. Pendapatan mereka hanya bergantung kepada hasil jualan warung kecil itu.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau sendiri menghubungi keluarga berkenaan selepas mengetahui kisah itu yang tular di media sosial.
"Sebaik kisahnya sampai kepada saya, sahabat saya Saudara Arif Wagiman, Naib Ketua Umno Bahagian Ledang, segera menghubungi saya untuk mencari jalan membantu anak ini yang sudah putus semangat untuk bersekolah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Katanya, hasil kerjasama antara GIATMARA Johor dan pemimpin komuniti setempat, MARA akan menawarkan tempat pengajian kepada Syafikah di GIATMARA Muar, Johor dalam bidang Kulinari, yang sememangnya menjadi minatnya sejak kecil.
“Melalui program ini, GIATMARA akan menanggung semua kos pengajian termasuk elaun bulanan dan keperluan asas, manakala bantuan penginapan akan diuruskan oleh rakan-rakan Persatuan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS) daerah Ledang,” jelasnya.
Asyraf Wajdi turut menegaskan, isu buli tidak boleh dianggap perkara kecil kerana ia mampu merosakkan masa depan seseorang anak bangsa.
“Kita perlu berani menolak budaya ini dan melindungi anak-anak yang menjadi mangsa.
"Kisah Syafikah mengingatkan kita bahawa setiap anak berhak diberi peluang kedua.
"Hari ini mungkin dia mangsa, tetapi dengan sokongan dan kasih masyarakat, Insya-ALLAH dia akan bangkit sebagai insan berjaya dan menjadi inspirasi buat orang lain,” katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
