
SEJARAH Islam banyak memaparkan kepada kita kisah wanita-wanita terbaik yang mampu menjadi idola pilihan setiap Muslimah ketika mendepani ujian getir dalam kehidupan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Wanita terbaik di dunia ini ada empat: Maryam binti Imran, Asiah (isteri Firaun), Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhammad.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi)
BACA LAGI: Sambil makan, sambil baca komen, sembang 'live' di media sosial, semakin hilang adab depan rezeki
BACA LAGI: Hijrah suami isteri: Jaga adab, aib pasangan di media sosial, sama-sama baiki diri
Pendakwah bebas, Ustazah Suria Saad berkata, ulama turut menyebut bahawa Aisyah binti Abu Bakar RA juga termasuk dalam kalangan wanita agung yang sesuai diangkat menjadi contoh buat umat hingga hari ini kerana ketinggian kedudukan dan sumbangannya yang besar.
"Kesemua lima wanita istimewa ini ternyata dimuliakan bukan kerana kekayaan, kedudukan mahupun paras rupa semata-mata.
"Bahkan, mereka berkongsi persamaan pada keimanan yang utuh kepada ALLAH SWT dan kasih yang kukuh kepada Rasulullah SAW.
"Mereka juga wanita hebat yang memahami hakikat sebenar kehidupan manusia sebagai hamba Allah SWT yang bergantung sepenuhnya kepada qudrah dan iradah-Nya.
"Malah, kemuliaan mereka juga terletak pada ketaatan serta kesabaran yang tidak pernah pudar dalam menghadapi ujian dan cabaran kehidupan," ujar Ustazah Suria kepada Majoriti.
Berikut 5 wanita hebat dan peranannya yang boleh kita contohi pada masa kini berdasarkan penjelasan Ustazah Suria:
1. Maryam binti Imran – Hidup tanpa pasangan
Beliau wanita mulia yang dipilih menjadi ibu kepada Nabi Isa AS tanpa melalui perkahwinan.
Namanya diabadikan sebagai salah satu nama surah dalam Al-Quran sebagai membuktikan ketinggian kedudukannya di sisi ALLAH SWT.
ALLAH SWT berfirman:
“Dan (ingatlah) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya ALLAH telah memilihmu, mensucikanmu dan melebihkanmu atas segala wanita di seluruh alam.” (Surah Ali Imran, ayat 42)
Keimanan Maryam menjadi contoh bahawa seorang wanita tetap mulia biarpun hidup tanpa pasangan.
Hakikatnya, nilai seorang wanita tidak terletak pada status perkahwinan, tetapi pada keimanan dan ketaqwaannya kepada ALLAH SWT.
2. Fatimah Az-Zahra – Diuji dengan kemiskinan
Fatimah RA, puteri kesayangan Rasulullah SAW hidup dalam kemuliaan meskipun diuji dengan ujian kemiskinan yang mencengkam.
Beliau pernah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang beratnya tugas mengurus rumah tangga sehingga meminta pembantu dari kalangan tawanan perang.
Namun, tarbiah Baginda SAW memberikan pengajaran besar buat seluruh umat.
Sabda Nabi SAW:
“Mahukah aku tunjukkan kepadamu sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu minta? Apabila kamu berbaring di tempat tidurmu, bacalah Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu Akbar 34 kali. Itu lebih baik untukmu daripada seorang pembantu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Fatimah RA mengajar kita memahami bahawa kesusahan hidup tidak menghalang seseorang untuk mencapai darjat mulia di sisi ALLAH SWT.
3. Khadijah binti Khuwailid – Bertemu jodoh terbaik usia 40
Saidatina Khadijah RA terpilih menjadi isteri Nabi Muhammad SAW pada usia 40 tahun. Beliau adalah isteri solehah yang setia menemani perjuangan Rasulullah SAW sejak awal kerasulan.
Kesetiaannya begitu luar biasa sehingga malaikat Jibril menyampaikan salam ALLAH SWT kepadanya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Jibril datang kepadaku dan berkata: Wahai Muhammad, ini Khadijah datang kepadamu dengan membawa makanan atau minuman. Apabila dia datang kepadamu, sampaikanlah salam dari TUHANnya dan dariku, serta beritakan kepadanya sebuah rumah di syurga yang diperbuat daripada mutiara, tiada hiruk-pikuk dan tiada kepayahan di dalamnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pengajaran besar daripada Khadijah RA ialah jodoh terbaik tidak terletak pada ukuran usia. Tidak juga ditentukan pada cepat atau lewat tibanya.
Sebaliknya keyakinan pada ALLAH SWT akan menatijahkan kurniaan-NYA yang terindah tepat pada masanya.
Sejarah Islam banyak memaparkan kisah wanita-wanita terbaik yang mampu menjadi idola pilihan setiap Muslimah ketika mendepani ujian getir dalam kehidupan. — Gambar hiasan/Freepik
4. Asiah, Isteri Firaun – Bersabar dengan suami paling kejam
Meskipun hidup dalam istana penuh kemewahan, namun Asiah binti Muzahim tidak silau dengan kesenangan dunia.
Lebih istimewa, Asiah tetap beriman kepada ALLAH SWT dan Nabi Musa AS walaupun suaminya adalah Firaun iaitu penguasa paling zalim dan dilaknati ALLAH SWT.
ALLAH SWT merakam doanya dalam Al-Quran:
“Dan ALLAH membuat isteri Firaun sebagai perumpamaan bagi orang-orang beriman. (Ketika dia berdoa): ‘Ya TUKANku! Bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-MU dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim’.” (Surah At-Tahrim, ayat 11)
Kesabaran Asiah membuktikan bahawa wanita beriman tidak terikat dengan siapa pasangannya.
Sekalipun diuji dengan suami sekejam firaun, beliau tetap mulia di sisi ALLAH SWT kerana iman yang tidak goyah.
5. Aisyah RA – Hidup tanpa zuriat
Aisyah RA adalah isteri Nabi Muhammad SAW yang terkenal sebagai wanita bijaksana, perawi hadis yang faqih dan banyak menyumbang dalam penyebaran ilmu Islam.
Walaupun beliau tidak dikurniakan anak, itu tidak mengurangkan ketinggian kedudukannya.
Rasulullah SAW sendiri memuji Aisyah RA melalui sabda Baginda:
“Kelebihan Aisyah berbanding wanita lain seperti kelebihan tharid (sejenis makanan) berbanding semua makanan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Beliau telah meriwayatkan lebih 2,000 hadis dan menjadi rujukan para sahabat dan tabi’in.
Aisyah RA membuktikan bahawa seorang wanita tetap boleh memberi manfaat besar kepada umat meskipun diuji dengan ujian perkahwinan tanpa zuriat.
Ujian bukan aib
Ternyata ujian kehidupan bukanlah aib yang layak merendahkan nilai diri seorang wanita. Namun ujian adalah isyarat cinta daripada ALLAH SWT buat hamba-hamba pilihan-NYA.
"Maryam RA, Fatimah RA, Khadijah RA, Asiah RA dan Aisyah RA membuktikan bahawa setiap wanita berpotensi mencapai kemuliaan tinggi di sisi ALLAH SWT biarpun diuji dengan pelbagai kesukaran.
"Kisah wanita-wanita agung ini bukan sekadar catatan sejarah, namun mereka adalah teladan terbaik buat wanita sepanjang zaman.
"Bagi wanita hari ini, jangan mengukur diri dengan neraca manusia.
"Apa yang utama untuk dijadikan nilaian dan ikutan adalah sifat istiqamah dalam ketaatan, redha dengan takdir serta bersabar menghadapi ujian.
"Dengan meneladani lima wanita terbaik sepanjang zaman ini, mudah-mudahan kita juga tergolong dalam kalangan hamba-hamba ALLAH yang dimuliakan di dunia dan di akhirat," pesan Ustazah Suria menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram