[VIDEO] Ujian suami 'pergi dulu' menghadap Ilahi bukan pengakhiran tapi permulaan kebergantungan sebenar kepada ALLAH


  • Massa
  • Rabu, 12 Nov 2025

Farah Fakhira meluahkan rasa rindu terhadap arwah suaminya, Zaidul Ariff yang disifatkan sebagai lelaki penyayang serta bertanggungjawab.

CORETAN pempengaruh dan penulis, Farah Fakhira Fakhrulruzi setelah kehilangan suami tercinta pada 1 November lalu benar-benar menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.

Bagi saya, kisah wanita kuat itu bukan sahaja menggambarkan kerapuhan tetapi ketabahan seorang insan ketika diuji dengan kehilangan cinta sejati di saat bahagia mula menyapa.

Manakan tidak, ketika wanta berusia 28 tahun itu baru sahaja menerima berita gembira tentang zuriat yang telah lama dinantikan, Farah diuji dengan pemergian Zaidul Ariff Abdul Malek pada malam yang sama.

BACA LAGI: Masih trauma nyaris dihempap bumbung hotel KL, rider kongsi amalan setiap pagi elak musibah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kalau nampak nama Muhammad, saya lega', pelawak Australia pilih pemandu e-hailing Muslim sebab sifat sabar, tenang

Kesedihan itu bukan sekadar duka, tetapi meninggalkan kekosongan yang amat dirasai setiap insan yang pernah menanggung kehilangan orang tersayang.

 

 

Cinta tak semestinya memiliki

Di sebalik kesedihan itu, Farah sekali lagi menyentuh hati ramai apabila berkongsi nota di telefon bimbit arwah suaminya nota penuh kasih yang tidak sempat dihantar kepadanya.

Bermula dengan panggilan lembut, 'Isteriku yang tercinta, Farah Fakhira,' nota itu memaparkan luahan seorang lelaki yang penuh kasih, hormat dan segan untuk menyatakan perasaannya sepenuhnya.

Antara bait yang paling menyentuh hati berbunyi:

"Cinta tak semestinya memiliki. Cukup melihat awak bahagia dan tersenyum, membuatkan hati saya lega dengan apa jua keputusan yang awak buat," tulisnya.

Kata-kata itu sekali gus menjadi simbol cinta sejati, cinta yang tidak menuntut, tidak memaksa dan hanya mendoakan kebahagiaan insan yang dikasihi, walaupun dari jauh.

Malah luahan Farah menulis di laman sosialnya juga turut meruntun jiwa.

"Rasa nak pecah dada ni baca semua notes awak. Kenapa tak pernah hantar pun dekat saya," tulis Farah.

Bagi saya, nota itu kini menjadi kenangan abadi, bukti bahawa cinta yang ikhlas tidak selalu memerlukan kata, tetapi cukup dengan doa dan kenangan yang kekal dalam hati.

 

Ujian sebagai tanda kasih sayang ALLAH

Dalam Islam, ujian bukanlah petanda ALLAH membenci hamba-Nya. Sebaliknya, ia adalah rahmat dan cara untuk membersihkan dosa, mengangkat darjat dan mendekatkan hamba kepada-Nya. Nabi Muhammad bersabda:

إذا أحب اللهُ قوما ابتلاهُم

“Apabila ALLAH mencintai seorang hamba, Dia akan mengujinya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Bagi manusia, kehilangan mungkin terlalu perit, tetapi di sisi ALLAH, setiap titisan air mata adalah tanda cinta, setiap doa adalah bentuk pengabdian.

Ujian inilah yang menjadikan insan lebih kuat, matang dan dekat dengan Tuhan.

Farah kini memegang amanah paling berharga iaitu zuriat yang bakal menjadi pengikat kasih antara dia dan arwah suami, bukti bahawa cinta sejati tidak terhenti walau jasad telah tiada.

Pelajaran dari setiap ujian

Setiap air mata dan kehilangan membawa mesej penting iaitu ujian mendekatkan kita kepada ALLAH, menguatkan jiwa, dan mengingatkan bahawa setiap yang kita cintai adalah pinjaman, setiap detik bahagia adalah nikmat yang perlu disyukuri.

Kita sering merancang, tetapi ALLAH lebih mengetahui jalan terbaik. Kadang-kadang, bahagia hanya sekejap supaya kita sedar bahawa dunia bukan tempat tinggal selamanya.

Kisah Farah adalah peringatan untuk kita semua agar menghargai pasangan, ibu bapa dan anak-anak selagi mereka masih ada.

Ucapkan kasih sayang setiap hari, doakan antara satu sama lain, dan jangan biarkan dunia membuat kita lupa bahawa setiap detik adalah pinjaman dari-Nya.

 

 

Doa dan harapan

Buat seorang wanita kuat, Farah Fakhira, semoga ALLAH kurniakan kekuatan luar biasa dan melindungi zuriat kecil itu dengan kasih sayang-Nya.

لا يُكلِفُ اللهُ نفسا إِلا وُسعها

(Surah Al-Baqarah, 2:286)

“Maka ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

Buat kita semua, semoga kita belajar bahawa ujian bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada kebergantungan sebenar kepada ALLAH.

Dengan sabar, doa dan keikhlasan, setiap kesulitan boleh menjadi jalan untuk lebih dekat kepada-Nya.

Farah menjadi contoh nyata bagaimana iman, doa dan kesabaran mampu menenangkan hati meski dunia seakan-akan runtuh di sekeliling kita.

Buat arwah Zaidul Ariff, semoga rohmu ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan dicintai ALLAH. Tenanglah di alam sana, dalam dakapan kasih Ilahi.

Untuk rekod, Farah dan pasangannya mendirikan rumah tangga sejak Februari 2021.

Allahyarham Zaidul Ariff disahkan meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital selepas pengsan secara tiba-tiba sewaktu bermain badminton pada 1 November lalu. — Majoriti

Penulis, Nur Sabrina Fariha Ahmad Satibi merupakan pelajar tahun tiga Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram