Bakal suami kantoi kerap berzina, wajarkah wanita beri peluang atas dasar taubat? Berikut penjelasan pakar


  • Cinta
  • Jumaat, 31 Okt 2025

Adakah wanita harus memberi peluang atas dasar taubat atau lebih berwaspada demi keselamatan dan kestabilan masa depan rumah tangga sekiranya bakal suami pernah beberapa kali melakukan zina? — Gambar hiasan/Canva

DALAM perjalanan hidup seorang wanita mukmin, soal memilih calon suami bukan sekadar tentang rasa cinta atau tarikan hati.

Ia adalah amanah yang membawa tanggungjawab besar, bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada masa depan rumah tangga dan keluarga.

Tetapi bagaimana jika calon suami itu memiliki kisah silam atau reputasi yang pernah tercalar?

BACA LAGI: Sambil makan, sambil baca komen, sembang 'live' di media sosial, semakin hilang adab depan rezeki

BACA LAGI: Hijrah suami isteri: Jaga adab, aib pasangan di media sosial, sama-sama baiki diri

Adakah wanita harus memberi peluang atas dasar taubat atau lebih berwaspada demi keselamatan dan kestabilan masa depan rumah tangga?

Pegawai Psikologi dan Ahli Psikologi Klinikal Berdaftar, Unit Psikologi, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Maktab Teknik PDRM Bakri, Saidatul Sariyah menekankan bahawa setiap manusia berhak untuk berubah, namun perubahan itu perlu dibuktikan dengan tindakan, bukan sekadar kata-kata manis.

"Memberi peluang atas dasar taubat itu satu tindakan mulia, tetapi dalam masa yang sama wanita perlu sedar bahawa taubat sejati biasanya datang bersama perubahan tingkah laku yang konsisten, bukan sekadar kata-kata yang meyakinkan.

"Dalam psikologi, kita menyebutnya sebagai compassionate discernment iaitu kemampuan untuk berbelas kasihan sambil tetap menjaga kesejahteraan diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Majoriti.

Menurut beliau, dalam menilai perubahan seseorang, wanita tidak boleh hanya melihat imej yang dipamerkan di depan khalayak.

Ini kerana perubahan sebenar biasanya tidak berlaku secara tiba-tiba atau hanya di depan khalayak.

"Sebaliknya, ia terbukti melalui tanggungjawab yang diambil, kejujuran dalam menghadapi kesilapan dan kesediaan untuk membina semula kepercayaan tanpa paksaan.

"Jika seseorang lebih menumpukan kepada membentuk imej baik berbanding memperbaiki diri, besar kemungkinan yang berubah hanyalah penampilan, bukan karakter,” tegasnya.

Menurut Saidatul (gambar kecil) dalam Islam memaafkan satu bentuk penyembuhan batin, tetapi wanita juga perlu menetapkan sempadan bagi menjaga maruah dan kesejahteraan diri.  Gambar hiasan/Canva

Prinsip ini sejajar dengan ajaran Islam. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya ALLAH tidak melihat kepada rupa paras atau harta kamu, tetapi DIA melihat kepada hati dan amalan kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ini menegaskan bahawa penilaian terhadap bakal suami harus berlandaskan akhlak dan perbuatan, bukan sekadar imej luaran atau kedudukan sosial.

Peranan ibu bapa

Mengulas lanjut, Saidatul menekankan peranan ibu bapa juga tidak kurang pentingnya.

Mereka bukan pengarah mutlak, tetapi penenang dan pembimbing yang membantu anak perempuan menilai calon suami dengan bijak.

“Ibu bapa berperanan sebagai penenang dan penimbang rasa, bukan pengarah mutlak. Mereka boleh membantu anak melihat pola yang lebih besar, bukan hanya tertarik pada status, kedudukan atau pengaruh calon semata-mata.

"Lebih penting ialah kematangan dalam mengurus emosi, kemampuan menghormati pandangan berbeza dan kesungguhan membina hubungan yang berasaskan tanggungjawab,” katanya lagi.

Menurut beliau, memilih pasangan yang berisiko dari segi kepercayaan dan kestabilan rumah tangga juga membawa cabaran psikologi yang tidak ringan.

“Seorang wanita mungkin berhadapan dengan kekecewaan berulang, keletihan mental dan kehilangan rasa percaya terhadap diri sendiri jika pasangan kembali kepada corak lama yang tidak sihat.

"Dalam keadaan begini, wanita sering terperangkap antara cinta dan rasional, lalu mula menormalkan tingkah laku yang sebenarnya menyakitkan,” ungkapnya.

Beliau memberitahu, meskipun dalam konteks Islam memaafkan adalah satu bentuk penyembuhan batin, tetapi golongan wanita juga perlu menetapkan sempadan bagi menjaga maruah dan kesejahteraan diri.

“Memaafkan tidak bermaksud membiarkan diri terus disakiti. Memaafkan adalah proses penyembuhan batin, tetapi menetapkan sempadan adalah bentuk kasih sayang terhadap diri sendiri.

"Seseorang boleh memilih untuk memaafkan tanpa terus bersetuju untuk hidup bersama individu yang belum membuktikan kestabilan dan kejujuran dirinya.

"Itu bukan keras hati, tetapi satu bentuk tanggungjawab terhadap amanah diri yang ALLAH berikan kepada kita selaku Muslim,” tegasnya lagi.

Menurut Saidatul, cinta yang sihat bukan sekadar memaafkan, tetapi membina hubungan berasaskan kesedaran, kejujuran dan sempadan.

“Saya tidak mahu melihat wanita bertindak sebagai hakim atas dosa orang lain, tetapi sebagai insan yang berhak untuk dilindungi, dihormati dan disayangi.

"Setiap kita sedang belajar termasuk saya sendiri. Maka nasihat ini bukan untuk menghakimi, tetapi untuk mengingatkan bahawa cinta yang sihat bukan hanya tentang memaafkan tetapi juga tentang membina hubungan yang berpaksikan kesedaran, sempadan dan kejujuran terhadap diri sendiri dan terhadap Tuhan,” ujarnya penuh hikmah.

Beliau juga mengingatkan bahawa Rasulullah SAW menekankan pentingnya memilih pasangan yang baik untuk membina rumah tangga yang harmoni.

Baginda SAW bersabda: "Seorang mukmin yang baik adalah yang terbaik terhadap isterinya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Kesimpulannya, seorang wanita mukmin harus menilai calon suami berdasarkan bukti tingkah laku, kejujuran dan komitmen untuk berubah.

Dengan berpandukan prinsip Islam dan psikologi yang bijak, rumah tangga yang dibina akan menjadi aman, bahagia dan dirahmati ALLAH SWT, selaras dengan firman-NYA dalam Surah An-Nisa, ayat 19 yang bermaksud:

“Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri) secara baik…” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram