Hijrah suami isteri: Jaga adab, aib pasangan di media sosial, sama-sama baiki diri


  • Mukmin
  • Jumaat, 27 Jun 2025

Menurut Siti Rugayah (gambar kecil) aib rumah tangga ibarat aurat yang wajib ditutup bukan dibuka. 

DALAM zaman ledakan digital ini, media sosial telah menjadi medium utama untuk berkongsi cerita, luahan dan pengalaman hidup. 

Namun, di sebalik keselesaan berkongsi, ada sempadan yang perlu dijaga terutamanya apabila ia melibatkan maruah dan aib rumah tangga.

Fenomena isteri membuka hal dalam kain seperti pertelingkahan dengan suami, kekurangan nafkah atau rasa tidak puas hati terhadap sikap pasangan semakin menjadi kebiasaan di platform terbuka. 

BACA LAGI: Makin menjadi-jadi trend suami isteri 'jaja' aib rumah tangga di media sosial, perlu ditegah, bertentangan prinsip jaga maruah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan buka aib, lupakan kebaikan pasangan selepas bercerai'

Lebih membimbangkan apabila suami pula merestui atau membenarkan perbuatan itu, kononnya atas dasar 'hak kebebasan bersuara' atau sekadar content semata-mata.

Profesor Kehormat Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Siti Rugayah Tibek berkata, aib rumah tangga ibarat aurat yang wajib ditutup bukan dibuka. 

"Dalam Islam, kehidupan suami isteri adalah satu amanah yang diselimuti dengan rahmat dan perlindungan.

"Maka menjadi tanggungjawab suami mahupun isteri menjaga maruah kedua-duanya," ujar Siti Rugayah kepada Majoriti

Perkara ini telah ditegaskan melalui firman ALLAH SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud:

"Mereka (isteri-isterimu) adalah pakaian bagimu dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka."

Mengulas ayat ini, Siti Rugayah berkata, pakaian berfungsi menutup, melindungi dan memperindah maka begitu juga hubungan suami isteri. 

"Justeru, mendedahkan kelemahan dan hal-hal peribadi dalam rumah tangga kepada khalayak adalah satu pengkhianatan terhadap erti 'pakaian' itu sendiri," tegas beliau. 

Menutup aib pasangan bukan bermakna menafikan penderitaan, tetapi Islam mengajar hikmah dalam menyelesaikan masalah dengan menjaga maruah kedua-dua pihak.  — Gambar hiasan/Freepik

Dalam pada itu, beliau turut membawakan sebuah Hadis Riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda:

"Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersetubuh dengan isterinya, kemudian dia menyebarkan rahsia hubungan itu."

Menurut Siti Rugayah, meskipun hadis ini menyebut hubungan suami isteri secara khusus, ia merangkumi segala bentuk 'sirr' atau hal sulit yang berlaku dalam rumah tangga. 

"Ini termasuklah pergaduhan, kelemahan pasangan bahkan masalah kewangan atau emosi.

"Ada yang berkata mereka bercerita supaya orang tahu penderitaan yang dialami. 

"Dalam konteks ini, Islam tidak menghalang seseorang yang teraniaya untuk mencari keadilan, tetapi ia mestilah dibuat dengan cara yang beradab, bukan dengan membuka keaiban pasangan di ruang umum yang tiada batasan," jelasnya lagi. 

Malah, katanya lagi lebih parah apabila si suami merestui tindakan isteri. 

"Jika seorang suami membenarkan isteri membuka hal rumah tangga kepada umum, ia adalah satu bentuk pengabaian kepimpinan dan amanah dalam rumah tangga.

"Seorang suami adalah qawwam (pemimpin) yang sewajarnya melindungi maruah isteri dan keluarganya," ujarnya.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lantaran itu, tegas beliau merestui pembukaan aib bukan sahaja menjatuhkan maruah suami sendiri, malah menggalakkan isteri kepada perbuatan yang melanggar batas syarak. 

"Dalam banyak kes, ia berakhir dengan lebih banyak perbalahan, kutukan umum dan keretakan rumah tangga yang makin dalam," jelasnya.

Tambah beliau, menutup aib bukan bermakna menafikan penderitaan tetapi Islam mengajar hikmah dalam menyelesaikan masalah dengan menjaga maruah kedua-dua pihak. 

"Terdapat pahala besar bagi mereka yang menahan amarah, memaafkan dan tidak membalas kejahatan dengan kejahatan," ungkapnya. 

Rasulullah SAW juga bersabda:

“Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka ALLAH akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, Siti Rugayah menyeru umat Islam terutamanya pasangan suami isteri agar kembali kepada adab beragama yang tinggi dalam menangani konflik rumah tangga. 

"Jangan jadikan media sosial sebagai mahkamah terbuka.

Jangan biarkan 'like' dan 'komen simpati' mengaburi dosa membuka aib sendiri.

"Kita mungkin menang di mata manusia, tapi kalah di sisi ALLAH Yang Maha Berkuasa," katanya menitip pesan penuh makna. 

Adab mengadu dalam konflik rumah tangga:

1. Mengadu segalanya kepada ALLAH SWT melalui doa dan munajat. 

2. Bercerita kepada ahli keluarga atau sahabat yang dipercayai. 

3. Bertemu kaunselor atau pihak berautoriti seperti pejabat agama dan mahkamah syariah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram