
TINDAKAN menggali semula kubur bagi tujuan tertentu perlu dilakukan dengan penuh adab dan kehati-hatian bagi memelihara kemuliaan jenazah, demikian peringatan pendakwah terkenal iaitu Dr Rozaimi Ramle.
Menurut beliau, walaupun hukum fiqh membenarkan kubur dibongkar semula dalam beberapa keadaan tertentu, ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa pertimbangan syarak dan keperluan mendesak.
BACA LAGI: Peguam Negara arah gali semula kubur Zara Qairina, laksana bedah siasat
BACA LAGI: Ibu Zara Qairina serah telefon ada rakaman perbualan kepada polis — Peguam
"Antara sebab-sebab yang dibenarkan dalam kitab fiqh termasuklah jenazah belum dimandikan yang mana sekiranya jasadnya belum berubah lagi, dikebumikan tidak menghadap kiblat, atau tertanam bersama harta yang perlu diambil semula.
“Selain itu, jika jenazah wanita yang mengandung dikhuatiri bayinya masih hidup, atau jenazah dikebumikan di tanah yang bukan miliknya (tanah dighosob), ia juga termasuk dalam keadaan yang membolehkan kubur digali semula,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Tambahnya lagi, turut dibenar untuk menggali semula kubur ialah jika jenazah orang bukan Islam dikebumikan di tanah haram, kubur berada di lokasi yang berisiko digali haiwan buas, atau kawasan berisiko ditenggelami banjir.
Mengulas lanjut, Rozaimi menjelaskan bahawa dalam konteks moden, penggalian semula kubur dibenarkan atas dasar maslahat besar seperti siasatan jenayah yang memerlukan proses bedah siasat (post mortem) namun ia perlu dijalankan dengan keizinan pihak berkuasa.
"Apa pun, kemuliaan jenazah wajib dijaga. Aurat jenazah tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya, Tidak menghina mencemuh jenazah, dan urusan post mortem perlu disegerakan tanpa menangguhkan tubuh jenazah terlalu lama di luar," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa jika jasad mayat dipercayai telah hancur atau mereput sehingga post mortem tidak lagi memberikan sebarang manfaat, maka ia tidak dibenarkan untuk digali semula. Penilaian lanjut perlulah dibuat oleh pakar perubatan.
"Jika dipercayai jasad mayat telah mereput atau hancur dan post mortem pada ketika itu tidak memberi manfaat maka tidak dibenarkan untuk digali semula. Apa-apa pun semua ini perlukan pengesahan pakar perubatan," kongsinya.
Tambahnya lagi, mana-mana pihak yang cuai sehingga mengabaikan keperluan post mortem dalam kes jenayah perlu dipertanggungjawabkan secara tatatertib kerana kecuaian tersebut boleh menjejaskan keadilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram