
POLIGAMI sering menjadi isu sensitif dan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat ekoran kemelut rumah tangga yang banyak dikaitkan dengan budaya kahwin lebih seorang itu.
Walaupun ia dibenarkan dalam Islam dengan syarat-syarat tertentu, realitinya tidak semua wanita mampu berkongsi kasih sayang sang suami apatah lagi dalam hal berkaitan tanggungjawab nafkah.
Namun, perkongsian seorang individu ini yang sudah 16 tahun melayari bahtera hidup berpoligami membuktikan bahawa ia tidak seteruk yang disangka.
BACA LAGI: Pengorbanan ibu rahsia kejayaan, Johan Ghazali hadiahkan jam Rolex dari hasil ganjaran kemenangan
Timbalan Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim baru-baru ini memuat naik satu hantaran berupa penghargaan buat kedua-dua isterinya yang telah banyak berjasa dan berkorban menjaga 11 anaknya.
Muhammad Faiz Hashim di samping keluarga dan 11 anak-anaknya.
Hadir bersama pada perjumpaan akademik anak di sekolah, kedua-dua isterinya cekal menjalankan tanggungjawab sebagai ibu walaupun tanpa suaminya yang dipercayai berada di luar kawasan ketika itu.
"Kedua-dua isteri ambil report card dan uruskan anak-anak sekolah, beginilah rutin kehidupan seharian kami sejak 16 tahun berpoligami secara harmoni.
"Kedua-dua isteri tidak bekerja dan akan uruskan sepenuh urusan anak-anak dan rumah manakala saya sebagai ketua keluarga akan cari rezeki untuk keluarga dan keperluan 11 orang anak termasuk tiga orang di universiti," katanya di laman Threads.
Menjadi contoh kepada ramai pasangan di luar sana, Muhammad Faiz dilabel sebagai ikon 'poligami harmoni' apabila berjaya menguruskan rumah tangga bersama dua isterinya dalam suasana saling memahami dan menghormati.
Figura politik tanah air itu berkahwin dengan Syarifah Nor Fadhilah sebagai isteri pertama dan kemudian mengahwini Nik Noor Syuhada sebagai isteri kedua atas persetujuan kedua-dua pihak.
Aktif dalam arena politik bersama Umno, pada Februari 2023, beliau pernah menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dengan tekad membawa suara generasi muda dan membina naratif baharu untuk parti tersebut.
Biarpun sibuk dengan urusan kerja, kisah rumah tangganya membuktikan bahawa poligami bukanlah satu bentuk penindasan terhadap wanita jika dilaksanakan mengikut garis panduan yang betul.
Malah, ia juga mencerminkan satu sisi kepimpinan yang bertunjangkan nilai keluarga, tanggungjawab dan keikhlasan sebagai aspek yang penting dalam membina kehidupan seimbang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram