Alicia Amin jaga rapi kulit kerana ia periuk nasi, kini pertimbang undur diri dari dunia peragaan


  • Gaya
  • Isnin, 16 Jun 2025

Kini, beliau enggan membuat keputusan hanya kerana keperluan mendesak, sebaliknya mengutamakan apa yang benar-benar mencerminkan dirinya. — Instagram/@hangriii

USIA 30 bukan sekadar angka bagi model dan pelakon, Alicia Amin.

Ia adalah titik permulaan untuk menilai semula kehidupan, membuat pilihan dengan lebih tepat dan menetapkan hala tuju yang benar-benar mencerminkan siapa dirinya hari ini.

Memasuki tahun kelapan berada dalam dunia fesyen dan hiburan sejak 2017, Alicia atau nama sebenarnya Raja Alicia Raja Amin mengakui kesilapan silam melibatkan keputusan membeli rumah ketika usianya masih terlalu muda.

BACA LAGI: Bapa moden bukan tahu semua, tapi yang ingin terus belajar, berubah demi jaga amanah ALLAH

BACA LAGI: Awas, ladies! Jangan biasakan guna fon telinga, fon kepala ketika bersendirian di luar

Alicia sering menjadi wajah pilihan jenama-jenama mewah. — Instagram/@hangriii

Ramai anak muda menyimpan impian memiliki rumah sebagai lambang kejayaan awal, tetapi bagi Alicia, pembelian rumah ketika di awal 20-an bukan sesuatu yang manis untuk dikenang.

Beliau mengaku tidak bersedia dari segi ilmu dan kewangan untuk memikul komitmen sebesar itu.

“Saya beli rumah sangat muda masa saya tak tahu semua kos tambahan yang datang dengan membeli rumah. Jadi sekarang saya yang kena bayar, siapa lagi? Itu adalah kesalahan terbesar saya,” kongsinya kepada Majoriti.

Kini menginjak usia 30, pelakon yang dikenali ramai menerusi drama Andai Tiada Dia, berasa lebih selesa dan stabil.

Menurutnya, beliau enggan membuat keputusan hanya kerana keperluan mendesak atau tekanan kewangan, sebaliknya mengutamakan apa yang benar-benar mencerminkan dirinya.

“Saya rasa sebab saya ada stabiliti yang saya tak ada masa dalam 20 tahun saya. Jadi saya boleh buat pilihan yang saya rasa 100 peratus menggambarkan diri saya.

"Sekarang saya rasa saya nak buat perkara yang buat saya rasa baik,” ujar bekas peserta Asia’s Next Top Model musim kelima itu.

Beliau turut mempertimbangkan untuk bersara daripada dunia pemodelan sepenuhnya, memandangkan masalah kesihatan seperti sakit kaki dan sakit belakang yang mula menjejaskan rutin harian.

Dalam masa yang sama, Alicia tidak menolak kemungkinan untuk meneroka bidang perniagaan sebagai cabang kerjaya baharu.

 

Penyesalan terhadap penjagaan diri

Mengenang kembali zaman remajanya, Alicia mengakui pernah mengambil ringan soal penjagaan kulit ketika usia remaja.

"Saya suka picit jerawat ketika berumur 16 tahun. Sehingga kini masih ada parut," ceritanya.

Beliau juga memberi perhatian serius terhadap penjagaan kulit, bukan semata-mata kerana tuntutan kerjaya sebagai model, tetapi juga disebabkan faktor genetik dalam keluarganya yang terdedah kepada masalah seperti melasma.

“Saya bimbang tentang benda macam itu, tapi saya jaga kulit sebab ia adalah periuk nasi saya. Saya gunakannya untuk foto, video dan sebagainya.”

Beliau lebih selesa tampil dengan gaya yang dianggap ‘edgy’ berbanding menyesuaikan diri dengan penampilan feminin. — Instagram/@hangriii

Selesa dengan identiti sendiri

Mengulas mengenai penampilannya, Alicia yang sering dilabel sebagai berani dan edgy menegaskan bahawa gaya tersebut bukanlah untuk meraih perhatian.

Sebaliknya, beliau lebih selesa tampil mengikut identiti sendiri dan tidak tertekan untuk menyesuaikan diri mengikut standard kecantikan yang sinonim dengan ciri-ciri feminin.

“Saya rasa saya okey dengan diri saya, Saya memang tak suka rambut panjang. Rimas sangat,” katanya sambil menjelaskan bahawa beliau hanya berambut panjang demi memenuhi komitmen terhadap projek lakonan.

Pun begitu, Alicia bersikap terbuka untuk bergaya lebih feminin, termasuk memakai rambut palsu dan pakaian wanita bagi tujuan editorial dan penggambaran.

Menjawab pula persoalan sama ada beliau sering disalah anggap hanya kerana tampil berbeza, Alicia kekal rasional dan tenang.

Beliau tidak mengambil hati dengan pandangan luar yang tidak sehaluan, malah melihat perbezaan sebagai lumrah yang wajar diraikan.

“Saya boleh terima yang orang takkan suka dan tidak mengapa bagi saya. Sebab saya rasa macam ada je banyak benda saya tengok orang buat saya tak suka. Ia tidak mengubah apa-apa pun," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram