
PELAKON berbakat, Siti Khadijah Halim menyambut hari lahirnya tahun ini dengan cara yang cukup bermakna dengan menghadiahkan sebuah kereta keluaran tempatan kepada kedua ibu bapanya.
Menerusi satu video yang dikongsi di Instagram miliknya, beliau yang mesra disapa 'Siti' menyifatkan hari tersebut sebagai detik paling istimewa dalam hidupnya.
Menurutnya, setiap tahun beliau sering menghadiahkan sesuatu untuk diri sendiri, namun kali ini hadiah paling besar adalah untuk insan yang paling disayangi.
BACA LAGI: [VIDEO] Dianggap comel bila mula trending, ramai guna 'acne patch' lipas sembunyikan jerawat
"Hari ini adalah hari yang istimewa bagi Siti sebab Siti akan ambil satu hadiah sangat berharga dan bermakna kerana setiap tahun Siti akan hadiahkan diri sendiri satu hadiah.
"Tetapi tahun ini hadiahnya sedikit lain, jadi perasaan Siti bercampur-baur," ujarnya dalam video berkenaan.
Video tersebut memaparkan momen pelakon berusia 28 tahun itu menyambut ulang tahunnya bersama keluarga tersayang yang seterusnya diikuti dengan kejutan hadiah buat ibu bapanya.
Dalam video sama, beliau berpura-pura sedang merakam video reviu kereta, kononnya untuk tujuan promosi.
Namun, kejutan sebenar muncul semasa beliau mengambil gambar, lalu menyerahkan kunci kereta kepada ibu bapanya dan mendedahkan bahawa kereta itu sebenarnya adalah milik mereka.
Reaksi kedua-dua ibu bapa beliau jelas menunjukkan rasa terharu apabila bapanya dilihat tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata.
Momen itu menerima pujian ramai netizen yang rata-rata tersentuh dengan tindakan Siti Khadijah yang menjadi simbol penghargaan terhadap pengorbanan ibu bapanya.
Ramai turut mendoakan agar rezeki pelakon itu terus mengalir dan menjadi inspirasi kepada anak muda lain.
Sekadar info, bintang drama The Maid (2021) dan From Saga with Love (2023) itu dilahirkan di Kuala Lumpur pada 27 Mac 1997.
Beliau memulakan kariernya di dalam dunia hiburan dengan memasuki pertandingan Gadis Panca NR pada 2017 yang dianjurkan Utusan Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram