Jatuh di tali air, mayat mangsa kedua lemas di Bachok ditemukan lepas 16 jam hilang


  • 112
  • Selasa, 28 Jan 2025

Bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak Isnin.

SELEPAS 16 jam dilaporkan hilang di Sungai Kampung Kubang Telaga di Bachok, Kelantan, mangsa kedua lemas iaitu Muhammad Asadullah Zehan, 11, ditemukan pada Selasa.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan pada pukul 9.45 pagi, Selasa dalam operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak Isnin.

Terdahulu, arwah abangnya iaitu Muhammad Amirul Mukminin, 17 ditemukan pada pukul 8.15 malam selepas dua beradik itu lemas ketika memancing di sungai berkenaan pada Isnin, lapor The Star.

BACA LAGI: Abang lemas cuba selamatkan adik jatuh tali air di Bachok

BACA LAGI: [VIDEO] Budak 9 tahun disyaki lemas ketika ambil selipar jatuh longkang di Kota Tinggi

Bapa kepada kedua-dua mangsa itu, Zehan Mohamed, 47 berkata, sebelum kejadian Muhammad Asadullah ada meminta kebenaran untuk mengikut abangnya, Muhammad Amirul untuk memancing ke sungai berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua anak lelakinya itu ditemani seorang lagi rakan Amirul, Ahmad Faezie Fauzi, 17, ke lokasi berkenaan yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

“Saya ke masjid untuk solat asar, selepas balik saya dikejutkan dengan berita dua anak lemas dan menurut rakan anak (Faezie) anak sulung saya terjun nak selamatkan adiknya yang tergelincir dan jatuh ke dalam salah satu lubang pada titi sungai.

“Mereka ke sana untuk memancing, tapi bukan kebiasaan. Apabila kedua-duanya jatuh, rakan anak balik beritahu kejadian kepada isteri saya,” katanya yang tinggal di Kampung Desa Machang, di Bachok pada Selasa, memetik Buletin TV3.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk bedah siasat.

Mohamad Ismail turut meminta agar ibu bapa lebih mengambil berat soal keberadaan anak-anak ketika musim sekolah ini, selain memberi jaminan pihaknya akan membuat rondaan di kawasan tumpuan memancing dan jabatan penerangan Bachok turut sama memberi kesedaran melalui hebahan kepada orang ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram