INDIVIDU dengan masalah kemurungan, skizofrenia dan bipolar lebih berisiko menjadi ketagih kepada rokok dan vape! Fakta atau mitos?
Ketagih rokok dan vape, bukan lagi perkara baharu dalam kalangan masyarakat. Apatah lagi ia menyumbang kepada jutaan penyakit yang membawa maut.
Tinjauan Majoriti mendapati, masyarakat terlibat dalam tabiat itu mengaku rokok dan vape adalah 'peneman' hidup dan membantu mengatasi tekanan mereka.
BACA LAGI: GTSM nafi dakwaan teksi terbakar di Merlimau berpunca daripada kebocoran tangki gas NGV
Kaki rokok dan vape seolah-olah tidak sedar bahawa yang dianggap sebagai penyelesaian kepada tekanan itu sebenarnya membawa risiko kesihatan yang serius.
Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan memperkenalkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), bertujuan mengurangkan penggunaan rokok dan produk tembakau termasuk larangan merokok di tempat awam dan pengurangan iklan tembakau.
Dr Mohamad Hussain menegaskan, penggunaan vape terutama dari aspek jenis kandungan dan kuantitinya perlu dipantau dengan teliti oleh pihak berkaitan khususnya KKM.
Gangguan mental
Tahukah anda, pengambilan nikotin meningkatkan pengeluaran dopamin di dalam otak yang berfungsi sebagai ‘bahan kimia kebahagiaan’ dan memberikan rasa kepuasan?
Perkara itu jelas membuktikan mengapa ramai individu merasa lebih tenang selepas merokok atau menggunakan vape, tetapi pada masa yang sama, proses ini juga mengakibatkan ketagihan yang sukar dipisahkan seolah-olah mereka terperangkap dalam kepulan asap yang dihembuskan.
Menurut Pakar Runding Psikiatri dan Penagihan Universiti Mahsa, Profesor Dr Mohamad Hussain Habil, kedua-dua rokok dan vape mengandungi nikotin yang mampu membawa mereka ke 'alam' yang lebih tenang sekali gus meningkatkan tahap fokus mereka.
"Nikotin ini memang bila dihisap sama ada melalui rokok ataupun vape, antara kebaikannya ialah boleh menenangkan fikiran dan boleh mengatasi stres," jelasnya kepada Majoriti.
Namun, kesan ketenangan ini datang dengan harga yang tinggi. Selain memberi kesan positif dalam jangka pendek, rokok terutamanya mengandungi toksin berbahaya boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti barah dan penyakit jantung.
"Walaupun ada kebaikan tetapi racun yang ada dalam asap rokok itu tadi boleh menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan. Sakit jantung, pelbagai jenis barah yang berpunca daripada asap rokok.
Dr Mohamad Hussain juga menjelaskan hubungan antara gangguan mental dan ketagihan kepada kedua-dua produk berkenaan.
"Mereka yang mengalami gangguan mental seperti kemurungan, skizofrenia, dan bipolar lebih berisiko untuk menjadi ketagih kepada rokok," kata beliau.
Masalah ini bertambah buruk dengan kesan psikologi yang dihasilkan oleh rokok dan vape yang mana nikotin merangsang otak untuk melepaskan dopamin, bahan kimia yang menyebabkan rasa tenang.
"Sekiranya mereka tidak merokok atau menggunakan vape, dopamin itu akan berkurangan, dan mereka akan mengalami sindrom tarikan atau 'gian'," tambah beliau.
Kesan psikologi ini turut dilihat dalam perbezaan antara pengguna rokok dan vape. Walaupun kedua-duanya mengandungi nikotin, vape dianggap lebih selamat dalam aspek pengurangan risiko kesihatan.
Namun, Dr Mohamad Hussain menegaskan bahawa penggunaan vape terutama daripada aspek jenis kandungan dan kuantitinya juga harus dipantau dengan teliti oleh pihak berkaitan khususnya KKM.
Vape yang melalui pemantauan merupakan salah satu mekanisme berkesan bagi kaki rokok yang ingin berhenti daripada tabiat itu. — Gambar hiasan
Kerajaan perlu wujud garis panduan
Justeru, beliau mencadangkan pihak tersebut mewujudkan garis panduan dalam menjalankan pemantauan dan penilaian terhadap kandungan yang dimasukkan ke dalam vape sebelum ia dipasarkan kepada pengguna.
Cadangan itu disuarakan berikutan bahan kimia berbahaya dalam vape boleh mengancam kesihatan pengguna sekiranya ia tidak ada pemantauan.
Beliau juga tidak menafikan bahawa vape yang melalui pemantauan merupakan salah satu mekanisme berkesan bagi kaki rokok yang sedang 'bergelut' untuk keluar dari tabiat tersebut.
"Apa jua yang berkaitan dengan vape termasuk bahan kimia yang dimasukkan perlu ada pemantauan dan peraturan khusus bagi memastikan ia tidak disalah guna," jelasnya.
"Kalau kita tengok daripada toksin dalam vape itu yang mana saya maksudkan ialah vape yang melalui proses pemantauan, maka ia kurang mudarat.
"Kesan buruknya tentu ada tapi kurang mudarat berbanding asap rokok kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang sekeliling (second hand smoker) yang menghidu bau asapnya.
"Racun dalam asap rokok itu sebenarnya yang menyebabkan masalah kesihatan. Jadi kalau pihak terlibat dapat mengurangkan jenis-jenis bahan di dalam vape, maka sebenarnya dia lebih selamat," ujarnya.
Dr Mohamad Hussain berkata, faktor kemiskinan menyumbang kepada ketagihan rokok. — Gambar hiasan
Kemiskinan punca ketagih
Mengulas mengenai faktor-faktor yang menyumbang kepada ketagihan produk tembakau dan cecair nikotin itu, beliau berkata, kemiskinan adalah salah satu puncanya.
"Kebanyakan mereka yang ketagihan ini, kalau kita tengok daripada segi sejarah kita dapati mereka ini mengalami toxic stress. Antara punca utama, toxic stress ini adalah kemiskinan.
"Sebab itu kalau kita tengok pun, mereka yang bermasalah dengan dadah ataupun termasuklah rokok ini tadi, kebanyakan mereka adalah dari golongan B40," katanya.
Selain itu, dalam usaha untuk membantu mereka yang ketagih kepada rokok dan vape, Dr Mohamad Hussain mencadangkan penggunaan terapi penggantian nikotin (NRT).
"Kalau kita tengok ada pelbagai cara untuk berhenti termasuk NRT yang mana ia melibatkan tampalan nikotin, gula-gula getah dan semburan termasuk ubat bagi mengurangkan ketagihan.
"Kita juga ada ubat yang kita panggil 'veranicline' untuk mengurangkan gian. Jadi mereka boleh cuba, tak semestinya mereka tak boleh cuba kaedah-kaedah tersebut," tambahnya.
Namun, beliau mengingatkan bahawa segala bentuk rawatan perlu dipantau dengan betul oleh pakar perubatan.
"Cumanya, bila mereka dah cuba dan mereka masih lagi gagal, maka di situlah peranan yang kita panggil medical vaping. Menggunakan vape secara mendapatkan nasihat daripada doktor ataupun pakar penagihan ataupun mereka yang bertauliah untuk merawat mereka yang ketagih nikotin
"Jadi ia menambah platform tadi supaya kalau mereka gagal, mereka tahu kaedah-kaedah lain yang mereka boleh dibantu dan akhirnya berhenti daripada merokok," katanya lagi.
Tabiat menghisap vape boleh mengakibatkan perokok menghidap penyakit Evali. — Facebook/KKM
Evali penyakit pertama akibat ketagih vape
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan penyakit Evali yang berpunca daripada penggunaan vape.
"Antara puncanya adalah racun yang dimasukkan dalam vape itu mampu membunuh dan merosakkan organ-organ tertentu terutamanya paru-paru. Kita (pegawai perubatan) dah baca banyak kes-kes macam itu bukan hanya kerana nikotin. Kalau kandungan nikotin terlalu tinggi, maka itu juga boleh menyebabkan keracunan," jelasnya.
Pada 21 November lalu, media melaporkan kes pertama berkaitan penyakit tersebut dikesan di Thailand walaupun negara itu mengharamkan penggunaan cecair nikotin terbabit sejak 2014.
Walaupun vape mungkin dilihat sebagai alternatif yang lebih selamat berbanding rokok, ia masih berisiko dan perlu diuruskan dengan berhati-hati.
Ketagihan kepada kedua-dua produk ini, selain memberi kesan kepada fizikal, juga mempunyai impak yang besar terhadap kesihatan mental pengguna.
Oleh itu, penting untuk melakukan pemantauan yang ketat, menyediakan rawatan yang tepat serta memberi sokongan sosial untuk membantu individu mengatasi ketagihan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram