SEMASA tahun 2011, penduduk tempatan di Caribbean, Amerika Tengah terkejut apabila rumpai laut invasif membiak dengan cepat dan memberi kesan kepada habitat mula memenuhi pantai-pantai mereka.
Rumpai laut sargassum yang dibawa oleh arus dari Laut Sargasso dikaitkan dengan perubahan iklim menyebabkan pantai yang indah itu dipenuhi dengan timbunan rumpai yang busuk dan menakutkan pelancong.
Masalah itu dilihat menjadi satu cabaran besar bagi pulau-pulau kecil yang bergantung pada pelancongan dan kekurangan sumber untuk menanganinya.
BACA LAGI: Menantu contoh bergadai nyawa harungi banjir 100 meter di Paka demi bapa mentua lumpuh
BACA LAGI: [VIDEO] Kes langgar doktor, anak di Kluang, remaja berdepan hukuman 5 tahun penjara
Sargassum yang meliputi beberapa pantai antaranya di Antigua.
Ekoran peristiwa itu, Perdana Menteri Barbados, Mia Mottley mengisytiharkan sargassum sebagai ancaman terhadap negara pada 2018.
Kini, sekumpulan saintis dan aktivis alam sekitar Caribbean berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan mengubah rumpai laut menjadi biofuel yang menguntungkan.
Difahamkan baru-baru ini, mereka melancarkan salah satu kenderaan pertama di dunia yang dikuasakan oleh gas asli bio-terkompres.
Sumber bahan api inovatif itu dihasilkan di Universiti West Indies (UWI) di Barbados yang turut menggunakan air sisa dari kilang penyulingan rum tempatan (air alkohol) dan najis dari kambing hitam asli Barbados yang berperanan menyediakan bakteria penting.
Pasukan saintis dan aktivis itu berkata, mana-mana kereta boleh diubah untuk menggunakan gas berkenaan melalui proses pemasangan selama empat jam dengan kos sekitar AS$2,500 (RM12,000).
Pada awalnya, penyelidik melihat penggunaan tebu untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang diimport tetapi walaupun Barbados masih menghasilkan tebu, kuantitinya tidak mencukupi untuk mencapai sasaran mereka yang lebih besar.
Sebaliknya, sargassum adalah sumber yang tidak akan habis.
Dr Legena Henry mendakwa tidak ada kekurangan sargassum untuk menjana bahan api kereta.
Dr. Legena Henry, pengasas projek tersebut, menjelaskan bahawa pelancongan sangat terjejas oleh rumpai laut apabila hotel-hotel terpaksa membelanjakan jutaan untuk menanganinya.
Idea untuk menggunakan sargassum dicadangkan oleh salah seorang pelajarnya, Brittney McKenzie, yang melihat banyak trak digunakan untuk mengangkut sargassum dari pantai-pantai Barbados.
Penyelidikan awal menghasilkan keputusan yang sangat baik dan pasukan itu memfailkan paten pada formula mereka.
Pada 2019, mereka mempersembahkan projek tersebut kepada pelabur di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan mendapat dana sekitar $100,000 (RM 475,000) dari Blue Chip Foundation.
Projek tersebut juga melibatkan eksperimen oleh ahli biologi Shamika Spencer yang berusaha mencari campuran terbaik antara sargassum dan air sisa untuk menghasilkan biogas.
Sargassum bukan sahaja menjejaskan pelancongan tetapi juga membawa ancaman kepada kesihatan manusia dan hidupan liar.
Dengan peningkatan pencemaran air dan suhu laut yang semakin panas, sargassum semakin banyak dihasilkan.
Perkara itu memberi kesan buruk kepada perubahan iklim yang dialami oleh Caribbean.
Walaupun kawasan Carribbean tidak banyak menyumbang kepada masalah tersebut, ia sering terkesan.
Dr. Henry bagaimanapun berharap projek itu dapat membantu membentuk masa depan alam sekitar Caribbean dengan menjadikan sargassum sebagai sumber tenaga yang berguna.
Brittney McKenzie teruja melihat ideanya dipraktikkan dan bakal diperkembangkan di peringkat antarabangsa.
Pasukan berkenaan merancang untuk memperluaskan kerja mereka dengan menubuhkan stesen biogas yang lebih besar dan memperkenalkan inovasi baru yang berasaskan sargassum seperti produk kawalan perosak.
Mereka berharap dapat menunjukkan prototaip kenderaan yang boleh beroperasi dengan bahan api itu kepada pelabur dan akhirnya menjual gas kepada 300 teksi di Barbados.
Brittney yang pada mulanya merasa teruja dengan idea itu, kini berbangga melihat kereta yang dikuasakan oleh biogas boleh berfungsi.
"Saya berasa berbangga dan teruja melihat kereta ini beroperasi dengan baik," katanya.
Dr. Henry turut mengakui, projek itu adalah contoh inovasi UWI yang boleh memberi manfaat kepada seluruh dunia kerana bukan hanya di Caribbean yang terjejas dengan sargassum.
Malah ia juga memberi impak kepada beberapa kawasan di Afrika Barat, Amerika Selatan dan Florida," tambahnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram