SEORANG lelaki maut selepas dihempap sebuah kren ketika kerja-kerja pemangkasan dan penebangan pokok dipercayai berlaku di sebuah kawasan perumahan di Mexico.
Insiden tragis tersebut tular di laman X (Twitter) pada Jumaat dan kejadian itu dipercayai berlaku pada Julai lalu berdasarkan laporan portal berita Mexico, El Heraldo.
Rakaman insiden itu juga pernah dimuat naik oleh akaun @lamanoconpelos1 pada bulan yang sama.
Dalam rakaman tersebut, kelihatan seorang lelaki bersama rakan sekerjanya sedang berusaha menebang dahan pokok namun malangnya dia dihempap oleh sebuah kren yang digunakan untuk membantu proses penebangan tersebut.
Menurut laporan El Heraldo, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi individu yang berada berdekatan lokasi turut mengalami kecederaan parah.
Identiti kedua-dua mangsa bagaimanapun tidak dapat dipastikan dan tiada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian itu.
Kejadian itu bukan sahaja mengejutkan masyarakat, tetapi juga menimbulkan persoalan tentang keselamatan di tempat kerja terutamanya dalam aktiviti yang melibatkan penggunaan mesin berat seperti kren.
Video tular tersebut meraih perhatian ramai netizen yang turut berkongsi rasa simpati terhadap mangsa dan keluarganya serta mengkritik kurangnya langkah keselamatan ketika melakukan kerja berbahaya itu.
Bagaimanapun, warga maya turut mengulas insiden itu dengan berpendapat mangsa boleh diselamatkan jika dia sempat melompat sebelum kren berkenaan menimpannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram