[VIDEO] Jangan buang selipar terkena najis anjing, elak keliru antara samak dan sertu


  • Mukmin
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Menurut masjid tersebut, sekiranya terkena najis anjing pada selipar tidak perlu sampai membuang kerana boleh disertu.

DALAM kehidupan seharian, kita sering berhadapan dengan pelbagai situasi yang memerlukan pemahaman tentang kebersihan dan hukum najis dalam Islam.

Khususnya, ketika berhadapan dengan najis muallaghah seperti yang berlaku apabila terkena air kencing anjing atau babi, jadi adalah penting untuk mengetahui prosedur yang betul.

Di sinilah konsep sertu dan samak menjadi relevan dan perlu penelitian yang betul agak tidak tersalah buat.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bukan macam ini caranya nak berlatih mati,' penduduk Baling 'basuh' lelaki tidur dalam keranda van jenazah

BACA LAGI: Guna kapak ketika berkhatan, Nabi Ibrahim AS manusia pertama diperintah bersunat ketika umur 80 tahun

Dalam membahas topik itu, kita seharusnya mendalami perbezaan antara kedua-duanya dan proses dalam menjaga kesucian dan barang peribadi dari terkena najis-najis yang tidak sepatutnya.

Menerusi klip video berdurasi 1.49 minit, pihak Masjid Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor memberikan penjelasan mengenai perbezaan samak dan sertu serta proses melakukan penyucian najis.

Hantaran yang dimuat naik menerusi TikTok itu memaparkan POV individu keliru terhadap perkara yang perlu dilakukan sama ada sertu atau samak terkena najis anjing (air kencing) pada seliparnya.

Jadi apa perbezaanya antara samak dan sertu itu?

"Samak merujuk kepada pembersihan kulit yang terkena najis menjadi suci manakala sertu pula proses pembersihan yang lebih ketat melibatkan pembersihan perkara-perkara yang terkena najis muallaghah seperti situasi inilah.

"Contoh, Haji Man ternampak bangkai lembu di tepi jalan dan itu adalah najis.

"Nak makan tidak boleh, tapi Haji Man boleh menggunakan kulit lembu itu buat baju raya.

"Jadi, Haji Man ambil bahagian kulit lembu itu lalu basuh, buang lemak, buang darah dan kotoran pada kulit itu...yang itu baru namanya samak.

"Situasi berkaitan dengan najis babi dan anjing itu adalah kena cuci dengan air bercampur tanah sekali diikuti air bersih enam kali.

"Kalau malas nak fikir dan tiada pengalaman sertu, buang je selipar ini dan beli yang baru... lagi senang," kata masjid berkenaan.

Mengulas lanjut berkenaan proses terperinci sertu, pihak masjid tersebut berkata, jika terkena najis anjing tidak perlu membuang selipar berkenaan dan langkah pertama perlu dibuat adalah memasukkan selipar dalam plastik.

"Masukkan selipar dalam plastik agar air najis tidak terkena atau menitik pada pakaian.

"Lalu, sediakan peralatan dan carilah tanah untuk bahan sertu dan boleh guna apa sahaja tanah yang penting pastikan suci daripada najis.

"Ambil tanah secukup rasa sahaja bagi mengeruhkan air dan kemudiannya lalukan air tanah satu kali ke atas selipar.

"Siram sahaja kesemua tempat yang terkena najis dan tidak perlu menggosoknya kerana najis itu hanyalah air kencing.

"Terakhir sekali, siram sahaja air mutlak 6 kali ke atas seluruh permukaan selipar dan tidak semestinya mengalirkan air ke lubang selipar.

"Boleh sahaja basuh di longkang atau bilik air," jelas pihak masjid. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram