[VIDEO] Minta izin, elak buah rosak antara 3 pertimbangan wajar sebelum petik hak milik orang


  • Mukmin
  • Rabu, 16 Okt 2024

Mengambil buah-buahan dari ladang kampus adalah bergantung kepada adat setempat sama ada dibolehkan atau tidak untuk ambil. — Gambar hiasan/UPM

ISU pemilikan hasil pertanian terutamanya pengambilan buah-buahan di ladang universiti, sering menimbulkan persoalan dalam kalangan pelajar mengenai hak dan etika tindakan tersebut.

Dalam konteks muamalat Islam, penting untuk memahami aspek pemilikan dan hak terhadap sumber alam agar tidak mencetuskan pertikaian.

Sebagai pelajar mahupun orang awam sekalipun, pernahkah anda terfikir sama ada mengambil buah-buahan dari ladang kampus adalah dibenarkan serta mempertimbangkan pandangan dari segi hukum dan adat setempat.

BACA LAGI: Bukan 'hafiz dan fakih' tak mengapa, 3 kriteria utama layak duduk belakang gantikan imam

BACA LAGI: Situasi Fattah-Fazura boleh jadi pengajaran, ketahui 5 situasi suami boleh fail nusyuz terhadap isteri

Mungkin segelintir akan berfikir bahawa pelajar membayar yuran dan berhak mengambil buah-buahan di ladang universiti, namun apakah terdapat pertikaian isu pemilikan dan etika di sebalik tindakan itu?

Menjelas terperinci mengenai perbahasan itu, Pendakwah bebas, Ustaz Suhail Sufian berkata, dalam konteks Islam adalah amat penting dan perlu mempertimbangkan isu pemilikan buah-buahan tersebut.

Katanya, dalam muamalat, isu tersebut melibatkan 'milkiah' atau pemilikan yang memerlukan pengenalpastian terhadap pemilik dan urusan pemilikan itu sendiri.

"Contohnya, jika seorang jiran menanam pokok cili di tanah awam, bolehkah kita mengambil cili tersebut tanpa izin?

"Dalam kes ini, walaupun tanah itu milik orang lain dan pemilik pokok telah menjaganya, mengambil hasil tanpa izin boleh menyebabkan perselisihan.

"Dalam Islam, penting untuk mengelakkan pertengkaran dalam urusan muamalat.

"Sekiranya pemilik seperti universiti telah menetapkan syarat adalah sebaiknya bertanya dahulu.

"Jika tiada larangan jelas dan buah-buahan itu tidak mengganggu persekitaran, mungkin adalah dibenarkan untuk mengambilnya.

"Namun perlu diingatkan, kita juga perlu mempertimbangkan adat setempat.

"Di sesetengah tempat, mengambil buah dari pokok yang dibiarkan tidak dianggap salah tetapi di tempat lain mungkin sebaliknya.

"Misalnya, di Mesir, orang sering mengambil buah dari pokok yang tidak dijaga akan tetapi di Malaysia, kita perlu lebih berhati-hati dan menghormati hak pemilik.

"Misalnya ladang tanaman di Universiti Putra Malaysia membenarkan pelajar mengambil buah-buahan secara terbuka jika tidak silap, jadi tiada masalah," katanya kepada Majoriti.

Secara ringkasnya, Suhail Sufian menekankan beberapa langkah yang perlu dipertimbangkan sebelum mengambil buah-buahan tersebut dan sebaiknya meminta izin terlebih dahulu daripada pihak yang berkenaan.

"Kedua, jika buah tersebut cepat rosak dan tidak ada larangan, kita boleh ambil tetapi harus memaklumkan kepada pemiliknya selepas itu.

"Ketiga, sentiasa berpegang pada prinsip untuk mengelakkan konflik dan memastikan urus dan syarat pemilikan dipatuhi," jelasnya.

Tegasnya, sekiranya individu mengamalkan langkah-langkah tersebut dapat ia dapat membantu mengelakkan timbulnya masalah dan menjaga hubungan baik dengan orang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram