DALAM sejarah Islam, terdapat satu peristiwa penting yang menandakan penggunaan kalimat 'Bismillah' yang pertama kali ditulis.
Rata-rata mungkin tidak tahu bahawa orang yang mencatatkan kalimat suci tersebut adalah Nabi Sulaiman AS.
Beliau menggunakan 'Bismillah' sebagai pembuka surat penulisan termasuk suratnya yang terkenal dihantar kepada Ratu Balqis.
BACA LAGI: Bukan 'hafiz dan fakih' tak mengapa, 3 kriteria utama layak duduk belakang gantikan imam
Ratu Balqis bahkan menyebut surat dari Nabi Sulaiman AS itu sebagai surat yang mulia — Kalam
Memetik penulisan oleh Jihan Najla Qatrunnada, portal detik hikmah menyatakan perkara tersebut dinyatakan dalam firman ALLAH SWT, surah an-Naml, ayat 30:
اِنَّهٗ مِنْ سُلَيْمٰنَ وَاِنَّهٗ بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ ۙ
Maksudnya: "Sesungguhnya (surat) itu berasal dari Sulaiman dan isinya (berbunyi), 'Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."
Penulisan itu menjelaskan bahawa pada ketika itu, Nabi Sulaiman AS meminta Ratu Balqis untuk menyerahkan kekuasaannya dan menyembah ALLAH SWT dengan mengirimkan surat.
"Ratu Balqis sebenarnya sudah mengetahui bahawa surat yang diberikan oleh Nabi Sulaiman AS mengandungi perintah untuk tunduk kepada kekuasaannya dan meninggalkan sembahan yang sesat.
"Namun, Ratu Balqis tetap menerimanya dan membacanya.
"Alasan Ratu Balqis bersedia membaca surat tersebut adalah kerana kalimat 'Bismillah' yang sentiasa ditulis oleh Nabi Sulaiman AS sebagai pembuka kalam dalam surat-suratnya.
"Ratu Balqis bahkan menyebut surat dari Nabi Sulaiman AS itu sebagai surat yang mulia, "كِتَابٌ كَرِيمٌ."
"Kalimat 'Bismillah' inilah yang mengubah persepsi Ratu Balqis terhadap surat yang ditulis oleh Nabi Sulaiman AS sehingga akhirnya dia mematuhi ajakannya untuk menyembah ALLAH SWT dan meninggalkan kesesatan.
"Justeru, kalimat 'Bismillah' memiliki pengaruh yang sangat besar bagi orang-orang yang membacanya dan mengucapkannya," tulisnya.
Nabi Sulaiman AS menggunakan kalimat 'Bismillah' dalam setiap pembuka ayat dalam surat. — Kalam
Dalam pada itu, laman nurfeed turut menceritakan bahawa orang pertama yang menulis kalimat 'Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim' ialah Nabi Sulaiman AS, diriwayatkan oleh Ibnu Juraij dari Atha’ yang menyebut kata-kata Ibnu Abbas RA.
أَوَّلُ مَنْ كَتَبَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ سُلَيْمَانُ عَلَيْهِ السَّلَامُ
Maksudnya: “Orang yang mula-mula menulis 'Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim' ialah Nabi Sulaiman AS” (Riwayat At-Tabarani dalam Kitab Al-Awa’il).
Menerusi penulisan itu menjelaskan, surat tersebut ditulis oleh Nabi Sulaiman AS dan dihantar kepada Ratu Balqis melalui burung hud-hud.
"Menurut Mufassirun, Nabi Sulaiman AS menulis surat kepada Ratu Balqis dan kaumnya, lalu mengutus burung hud-hud untuk menghantarnya.
"Setelah sampai, burung hud-hud itu menyerahkan surat tersebut kepada Ratu Balqis yang membacanya.
"Imam Ibnu Kathir juga menyebut:
قال العلماء: ولم يكتب أحد ( بسم الله الرحمن الرحيم ) قبل سليمان، عليه السلام
Maksudnya: “Para ulama berkata: Tidak ada seorang pun yang menulis 'Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim' sebelum Nabi Sulaiman AS.” (Kitab Tafsir Ibnu Kathir)," memetik penulisan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram