[VIDEO] 'Jangan buka aib, lupakan kebaikan pasangan selepas bercerai'


  • Mukmin
  • Rabu, 09 Okt 2024

Perceraian tidak sepatutnya menjadi asbab bagi seseorang membuka pekung pasangan kepada khalayak. — Gambar hiasan

SEHINGGA hari ini, masih ramai umat Islam kurang jelas mengenai hak bagi pasangan yang berpisah apabila ada daripada mereka dengan terbuka menyebarkan aib sesama sendiri.

Lebih menyedihkan lagi, sesetengah daripada mereka mengambil langkah lebih ekstrem dengan berkongsi kisah-kisah tersebut di media sosial atau kepada khalayak tanpa ada rasa malu.

Namun, tahukah anda bahawa perkara itu adalah salah kerana pasangan suami isteri perlu menjaga aib satu sama lain meskipun sudah berpisah dengan tidak menyebarkan cerita-cerita yang mungkin sedikit memalukan.

BACA LAGI: Dakwa curang dan abai anak bertahun lamanya, Fazura-Fattah Amin sah bercerai talak 1

BACA LAGI: Tak ada niat tapi buat gimik bercerai demi 'marketing' tetap berdosa, tegas pakar agama

1719124

Media sosial menjadi medan untuk membuka pekung pasangan masing-masing. Gambar hiasan

Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis, Dr Ahmad Kamilin Jamilin berkata, perkara itu sudah dijelaskan menerusi firman ALLAH SWT dalam ayat ke-187 surah Al-Baqarah yang bermaksud '...Mereka (para isteri) adalah pakaian bagi kalian (para suami) dan kalian adalah pakaian bagi mereka...'

"ALLAH gunakan perumpamaan pakaian sebab pakaian ini sifatnya adalah untuk menutup keaiban dan menutup aurat, iaitu apa yang sepatutnya kita tutup pada diri, bukan saling melondehkan, bukan saling membuka pekung yang boleh mengaibkan.

"Orang luar tidak akan memahami konflik dalaman atau hakikat yang berlaku kerana kadang-kadang, sangat rumit untuk difahami. Tetapi, apabila sering cuit itu, cuit ini dan mengatakan kepada pasangan, timbullah persepsi yang disalah erti oleh orang luar yang tidak mengerti," katanya.

Penjelasan itu diberikan menerusi satu hantaran video di akaun TikTok pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang setakat ini sudah meraih hampir 150,000 tontonan.

Kupasan diberikannya sememangnya jelas memandangkan pasangan yang bercerai kebelakangan ini sering berkongsi kisah buruk dengan tujuan tersendiri di khalayak ramai, termasuk menerusi media sosial.

Jadi, melihat kepada peringatan diberikan Kamilin itu, suami mahupun isteri perlu berusaha menutup pekung pasangan masing-masing walaupun sudah tidak sehaluan atau erti kata lain, sudah bercerai.

Dalam pada itu, dia turut mengingatkan seseorang itu perlu mengingati kebaikan pasangan dengan perkara berkenaan sudah diingatkan menerusi firman ALLAH SWT dalam ayat ke-237 surah Al-Baqarah yang bermaksud '... Dan janganlah kalian (kedua-dua pihak) melupakan kebaikan pasangan...'

"Ini kerana ALLAH SWT tahu manusia ini sifatnya cenderung untuk mencela ataupun mengaibkan pihak yang sudah tidak lagi sehaluan dan kadang kala, boleh menjadi fitnah," katanya.

Peringatan tersebut boleh dikaitkan dengan penjelasan awal yang mengatakan sesebuah pasangan berpisah tidak boleh menceritakan aib masing-masing seperti mana sering dilakukan hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram