Akhirnya! 'Stalking' kini satu jenayah tidak kira secara fizikal atau online


  • Massa
  • Khamis, 06 Apr 2023

Mana-mana individu yang didapati bersalah mengekori berdepan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

PADA 29 Mac, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Kanun Keseksaan menjadikan menghendap oleh penghendap (stalker) secara fizikal dan dalam talian sebagai satu jenayah.

Seksyen 507A baharu dimasukkan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk menjadikan perbuatan mengintai sebagai satu kesalahan dan mana-mana individu yang didapati bersalah berdepan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah yang diluluskan bertujuan menjadikan perbuatan menghendap sebagai jenayah adalah satu langkah positif bagi mangsa yang terselamat demi mencari bantuan dan mendapatkan perlindungan.

Salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Aina, 37, mengaku berasa lega setelah beberapa tahun menjadi mangsa diintai bekas kekasih yang enggan melepaskannya.

“Akhirnya! Saya harap mangsa lain yang terselamat tidak perlu melalui apa yang saya lalui. Saya sentiasa berada dalam keadaan ketakutan dan bimbang pada setiap minit, setiap hari, selama dua tahun sehingga terpaksa bertukar tempat kerja, berjauhan dengan keluarga dan rakan-rakan supaya berasa selamat.

"Dia juga akan menghendap di akaun media sosial rakan-rakan untuk cuba mencari saya," kata eksekutif pentadbiran yang mendedahkan bahawa bekas kekasihnya pernah muncul di rumah dan tempat kerjanya, malah mengganggu keluarga dan rakannya tanpa henti.

Minister in the Prime Minister's Department (Law and Institutional Reform) Ramkarpal Singh. - Bernama

Ramkarpal Singh

Malah, Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh, berkata, tindakan menjejak atau cubaan mengesan mangsa juga dimasukkan sebagai kesalahan menghendap.

"Penjejakan bermaksud menjejaki mangsa secara bukan fizikal melalui sebarang peranti seperti kamera tersembunyi atau penjejak Sistem Kedudukan Sejagat (GPS)," kata Ramkarpal.

Di bawah Seksyen 507A baharu, sesiapa yang berulang kali melakukan sebarang tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan atau mengetahui bahawa berkemungkinan menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada seseorang mengenai keselamatannya, boleh disabitkan melakukan kesalahan menghendap.

Turut dibentangkan ialah pindaan kepada Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk mewujudkan Seksyen 98A baharu.

Menurut Ramkarpal, undang-undang baharu itu akan memberi perlindungan kepada mangsa terhadap penghendap.

Pada masa ini, perintah perlindungan hanya tersedia untuk pasangan yang bercerai, tetapi undang-undang baharu ini akan menawarkan perlindungan kepada mangsa, sama ada mereka digangu oleh orang yang tidak dikenali atau dikenali mangsa, seperti saudara mara, bekas pasangan atau pasangan.

Perintah perlindungan boleh dikeluarkan terhadap individu yang sedang disiasat atau didakwa kerana menghendap. Melanggar perintah perlindungan bermakna menghadapi hukuman penjara sehingga satu tahun, denda, atau kedua-duanya.

majoriti2023 (65)

Abinaya Mohan

Satu langkah yang positif

Pengarah Advokasi Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Abinaya Mohan, berkata, tindakan itu merupakan langkah positif bagi membendung masalah tersebut.

“Sudah diluluskan di Dewan Rakyat. Apabila pindaan diluluskan di Dewan Negara dan perkenan diraja diperolehi, maka mangsa akan mendapat perlindungan dan keselamatan melalui sistem keadilan,” jelasnya.

WAO menyifatkan menghendap sebagai tindakan gangguan berulang yang bertujuan atau berkemungkinan menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada mana-mana orang demi keselamatan mereka dan tindakan yang membentuk mengintai terdiri daripada: mengikuti atau menjejaki seseorang dalam apa jua cara.

Contohnya menjejak menggunakan peranti Sistem Kedudukan Sejagat (GPS); berkomunikasi atau cuba berkomunikasi dengan seseorang dalam sebarang cara termasuk gangguan dalam talian; berlegar-legar di tempat kediaman atau perniagaan seseorang; memberi atau menghantar apa-apa kepada seseorang dalam apa jua cara atau dengan apa cara sekalipun.

Salah satu pindaan dibuat ialah pelanggaran perintah perlindungan adalah kesalahan yang besar. Sekiranya mangsa yang terselamat membuat laporan polis, mereka boleh memohon perintah perlindungan yang menghalang gangguan dan tindakan balas daripada pelaku. Sekiranya perintah perlindungan dilanggar, pelaku boleh ditangkap.

Menurut statistik dari WAO, satu pertiga daripada rakyat Malaysia mengaku mengalami memiliki pengalaman menjadi mangsa penghendap, dan 39 peratus daripada jumlah itu merupakan wanita. Beberapa kes turut menyebabkan kematian mangsa.

“Jenayah menghendap melindungi semua rakyat Malaysia tidak mengira sama ada lelaki atau wanita. Undang-undang anti menghendap adalah penting kerana menyediakan jalan keadilan bagi mangsa-mangsa.

"Ia meliputi tindakan menghendap berulang kali, tindakan menjejaki yang tidak diingini, berlegar-legar, dan berkomunikasi dengan tujuan untuk menimbulkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan.

"Akata ini juga akan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kes menghendap dan mengeluarkan perintah perlindungan untuk mangsa," jelas Abinaya.

Polis boleh bertindak

majoriti2023 (64)

Ivy Josiah

Tinjauan 2020 yang dijalankan oleh WAO bertajuk "Memahami Pengalaman Mengintai Rakyat Malaysia", mendapati 88 peratus responden tinjauan pernah mengalami perbuatan yang berkaitan dengan penghendap. Mereka yang membuat laporan polis berharap polis diberi kuasa untuk melakukan tindakan.

“Pindaan baharu itu akan membolehkan polis menyiasat kes menghendap dengan lebih berkesan dan juga membantu mencegah berlakunya kecederaan dan pembunuhan,” kata Abinaya.

Katnya, tindakan meluluskan pindaan itu harus dipuji, tetapi pihaknya turut menyeru kerajaan untuk melaksanakannya dengan pantas, dilengkapkan dengan latihan kepekaan untuk PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Wujudkan garis panduan yang jelas mengenai istilah betul, pengurusan gangguan dalam talian dan kes mengintai serta dalam mengeluarkan perintah perlindungan,” katanya.

Sebelum ini golongan aktivis berusaha meminta kerajaan untuk melakukan pindaan terhadap undang-undang penghendap demi keselamatan semua pihak.

Aktivis hak wanita, Ivy Josiah menyatakan bahawa hal itu penting bagi pertubuhan wanita kerana Ramkarpal Singh juga mengiktiraf sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu kepada kelulusan undang-undang.

“Semua undang-undang terhasil kerana sumbangan NGO dan selama ini, banyak undang-undang dibahaskan dan diluluskan termasuk pindaan perlembagaan, Akta Keganasan Rumah Tangga, pindaan kepada Akta Rogol, dan lain-lain,” kata Ivy.

"Ini merupakan salah satu usaha dan kerja keras NGO yang mengharapkan dapat memberikan kelestarian kepada masyakat. Nyata usaha dan kerja keras kami berbaloi," terangnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram