Guna, buang atau sedekah jika peniaga tertinggal barang? Ada 4 situasi perlu diambil kira


  • Mukmin
  • Rabu, 02 Okt 2024

Pernahkah anda mengalami situasi peniaga sayur terlupa atau tertinggal barang jualannya di rumah anda? — mStar

MUNGKIN ramai tidak tahu bahawa masih ada petani mahupun peniaga sayur dan ikan yang menjual produk mereka secara bergerak dari rumah ke rumah terutamanya di kawasan luar bandar.

Kaedah jual beli ini bukan sahaja memudahkan penduduk setempat mendapat bekalan basah malah menjadi salah satu cara mengekalkan nilai-nilai komuniti serta mempromosikan hasil tempatan.

Apabila membahas berkenaan bab jual beli, pernahkah anda mengalami situasi peniaga sayur terlupa atau tertinggal barang jualannya di rumah anda? Dan anda tidak membeli barang jualan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Ustaz Syamsul Debat kongsi 5 amalan 'power' elak terkena pukau

BACA LAGI: Iktibar kisah kaum Rass, diazab jadi pohon, haiwan dan batu hitam angkara ingkar dakwah Nabi Hanzhalah

110544zhyl636yh644q4hq

Adalah dibolehkan untuk mengambil barangan yang mudah rosak jika tidak ketahui siapa pemiliknya. — CariDotMy

Apakah yang seharusnya dilakukan sama ada perlu mengambil atau membuang sahaja barang-barang jualan tersebut tanpa pengetahuan pemiliknya?

Dari sudut hukum hakam bagaimana pula adakah dibolehkan untuk ambil atau tidak kerana penjual tersebut terlupa.

Kenal pasti pemilik dan hukum luqatah

Mengulas mengenai perkara itu, pendakwah bebas, Ustaz Suhail Sufian berkata, isu itu perlu dikenal pasti secara jelas dan individu perlu mengetahui pemilik asal sayur tersebut.

"Langkah pertama yang perlu diambil adalah mengenal pasti pemilik sayur tersebut.

"Adakah benar sayur itu milik orang yang mengakuinya atau mungkin ada pembeli lain yang tertinggal barang mereka dalam campuran sayur tersebut?

"Jika kita tidak dapat mengenal pasti pemiliknya, misalnya jiran atau individu yang mengaku milik mereka tidak bersetuju, maka kita perlu merujuk kepada hukum luqatah (hukum pengambilan barang jumpa).

"Hukum barang jumpa yang sebegitu tidak ada khilaf dan boleh diambil guna sekiranya tidak dapat kenal pasti siapa pemiliknya.

"Namun, tidak ada masalah untuk kita menggunakan barang tersebut setelah kita isytihar dan berusaha untuk mencari pemilik asalnya," katanya ketika dihubungi Majoriti.

Bayar atau beli barangan tertinggal

Menurut Suhail, dalam mazhab Syafi'i, terdapat konsep hukum al-baik al-fuzuli yang merujuk kepada pembelian barang tanpa izin atau tanpa wakil dari penjualnya.

"Situasi ini berkaitan dengan konsep apabila barang itu memang dikenal pasti pemiliknya, tetapi kita membelinya dalam keadaan dia tidak mahu menjualnya kepada kita.

Dalam situasi seperti itu, apabila kita bertemu dengan pemilik asal, kita perlu membayar semula apa yang dibeli pada kadar yang dipersetujui pada masa itu, menurutnya.

curi-jual-barang-kemas-ibu-26_29_023904

Jika barang tersebut melibatkan barang tidak mudah rosak seperti wang atau emas, kita harus menyimpannya dengan syarat tertentu.

"Ini adalah salah satu pandangan lama dalam mazhab Syafi'i yang membenarkan situasi sebegini.

"Al-fuzuli membenarkan kita menggunakan barang yang diambil dan apabila bertemu semula dengan pemiliknya perlu membayar semula.

"Namun, pada zaman sekarang adalah sebaiknya menghubungi pemilik untuk meminta izin terlebih dahulu.

"Jika pemilik bersetuju, kita boleh teruskan.

"Namun, jika semua pihak tidak mengaku pemilik barang, kita boleh mengambilnya berdasarkan hukum luqatah setelah kita mengisytiharkan.

"Setelah kita bertanya dan semua pihak tidak mengaku, kita boleh menggunakan barang tersebut pada kadar yang ada pada masa itu.

"Jika ternyata barang itu miliknya dan dia memberikan izin, kita perlu menyelesaikan proses jual beli, sama ada dia ingin menjual atau memberi sebagai hadiah.

"Namun, jika dia tidak mahu mengambil barang itu dan membiarkannya sampai rosak, kita tidak boleh mengambilnya," katanya.

Suhail mengulas lanjut bahawa dalam Islam, kita tidak boleh mengambil barang itu sembarangan kerana ia adalah hak pemilik dan dia bertanggungjawab kepada ALLAH.

"Mengambil barang tanpa izin adalah pembaziran dan jika pemiliknya tidak mengizinkan, kita harus menghormatinya.

"Namun jika barangan jualan itu mudah rosak misalnya seperti sayur dan ikan adalah dibolehkan untuk ambil.

"Kita guna dahulu dan kemudian bila jumpa barulah meminta izin hendak bayar dan katalah tidak jumpa-jumpa maka ia dibolehkan," jelas Suhail.

wasting-food

Membazir makanan adalah amalan syaitan. — Gambar hiasan/FMT

Boleh sedekah barang yang dijumpai (cepat rosak)

Katanya, dalam konteks ini, kita perlu mengulas mengenai hukum halal haram dan pandangan mazhab Shafi'e mengenai isu-isu tertentu.

"Imam Nawawi, dalam kitabnya, menekankan pentingnya mematuhi panduan yang telah ditetapkan.

"Contoh seperti ikan yang disimpan dalam freezer selama seminggu, jika tidak ada perubahan pada sifatnya dan tetap dalam keadaan yang baik, mungkin masih dianggap halal.

"Namun, penting untuk merujuk kepada pandangan mazhab dan ulama untuk memastikan bahawa semua aspek telah dipertimbangkan.

"Mungkin juga perlu mengambil kira keadaan semasa dan bagaimana ianya diperlakukan dalam konteks moden seperti dalam kes penyimpanan makanan.

"Jika ada keraguan, berunding dengan seorang ulama atau pakar fiqh adalah langkah yang bijak," katanya.

Suhail berkata, orang Islam perlu mempertimbangkan untuk menggunakan barang yang dijumpai itu dengan cara yang baik.

"Setelah pulangkan barang tersebut, kita boleh membuat penyesuaian lain seperti memberikan barang itu sebagai sedekah.

"Sebagai contoh, jika kita menemui sesuatu yang kita tidak perlukan, lebih baik kita menyerahkannya kepada rumah anak yatim atau kepada orang miskin untuk mereka manfaatkan.

"Ini adalah pandangan yang baik apabila kita mengelakkan menggunakan harta yang syubhat yang mungkin tidak jelas hukumnya untuk diri kita.

"Menurut pandangan Syed Sulaiman Makniak, ulama dalam bidang fiqh Malaysia berpendapat adalah lebih baik untuk menyedekahkan harta syubhat ini daripada menggunakannya untuk kepentingan sendiri.

"Jika kita mempunyai jiran yang susah atau orang miskin di sekitar kita, memberi sedekah kepada mereka adalah satu tindakan yang lebih baik.

"Ini adalah penyelesaian yang lebih tepat dalam pengurusan harta syubhat," ulasnya.

Mengulas lebih terperinci, beliau berkata adalah masih boleh memanfaatkan harta tersebut dan tetapi perlu diingatkan bahawa ia mungkin cepat rosak.

"Jika kita tiba-tiba tahu siapa pemiliknya dan kita yakin akan hal itu, tidak ada masalah untuk menggunakannya.

"Kita boleh berjanji untuk mengembalikannya kepada pemilik tersebut berdasarkan persetujuan dan kerelaan pada waktu itu.

"Ini berlandaskan kaedah al-ijazah laikah khalwakal asabiqah yang membenarkan seseorang untuk membayar kembali setelah menggunakan barang tersebut.

"Ada juga hadis yang menceritakan tentang Urwah, apabila Nabi Muhammad SAW membenarkan beliau menggunakan sesuatu dan akhirnya berkata bahawa tidak ada masalah dengan tindakan itu.

1755291

Menurut Suhail, jika barang yang tidak cepat rosak dibolehkan simpan atau tunggu hingga bertemu dengan orang yang memerlukan. —Gambar hiasan/Mingguan Wanita

Apa perlu buat jika waswas untuk ambil barang tersebut?

Bagi situasi seseorang yang berasa waswas untuk mengambil sayur yang ditinggalkan oleh peniaga dan memilih untuk membiarkannya rosak, sebaiknya merujuk kepada pandangan Syed Sulaiman Manek, katanya.

"Kita sering merasa tidak tenang menggunakan barang tanpa mengetahui pemiliknya yang boleh menimbulkan keraguan terutama dalam masyarakat yang peka terhadap isu makanan syubhat dan haram.

"Menurut pandangan Syed Sulaiman Manek, jika seseorang berasa lebih tenang untuk bersedekah, maka sebaiknya sedekahkan barang tersebut," ujarnya.

"Individu tersebut seharusnya mencari orang miskin atau masjid yang memerlukan.

"Contohnya, seseorang boleh menyediakan makanan pada malam Jumaat dan itu adalah pilihan yang lebih baik daripada membiarkan sayur tersebut rosak.

"Dalam Islam, terdapat perbezaan hukum antara barang yang cepat rosak dan yang tidak.

"Barang yang cepat rosak perlu ditangani dengan lebih segera kerana kita risau ia akan menjadi tidak berguna.

"Jika barang tersebut melibatkan wang, kita harus menyimpannya dengan syarat tertentu.

"Namun, sekiranya kita yakin mampu menyimpannya, maka simpanlah. Jika tidak, serahkan kepada orang lain atau pengurus masjid untuk menyimpannya," ujarnya.

"Kalau barang yang tidak cepat rosak, kita boleh simpan atau tunggu hingga bertemu dengan orang yang memerlukan.

"Contohnya, kita boleh lihat apa yang akan rosak dalam tempoh lima tahun dan simpan dulu sehingga kita bertemu dengan orang lain.

"Namun, dalam kes barang yang cepat rosak, hukumnya agak berbeza.

"Dalam Islam, membazir adalah satu perkara yang dilarang dan ALLAH menggambarkannya dalam al-Quran sebagai dekat dengan sifat syaitan.

"Oleh itu, barang yang cepat rosak dan tidak dapat digunakan lagi walaupun bukan harta kita tetap dianggap membazir.

"Kita seharusnya lebih berhati-hati dengan harta benda agar tidak berlaku pembaziran kerana hukumnya berbeza dan harus menghindari kerugian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram