Iktibar kisah kaum Rass, diazab jadi pohon, haiwan dan batu hitam angkara ingkar dakwah Nabi Hanzhalah


  • Mukmin
  • Isnin, 30 Sep 2024

Kaum Rass diazab ALLAH menjadi batu hitam kerana ingkar ajaran Nabi Hanzhalah. — ERA.id

MASYARAKAT umumnya mengenali kisah-kisah mengenai 25 nabi dan rasul yang wajib diketahui dalam Islam.

Namun, sebenarnya terdapat banyak nabi lain yang juga mempunyai peranan penting dalam menyebarkan ajaran ALLAH yang jarang diselami ramai.

Salah satunya adalah Nabi Hanzhalah AS, yang kisahnya mungkin jarang diperdengarkan tetapi penuh dengan pelajaran berharga tentang keimanan dan perjuangannya.

BACA LAGI: Tak ada niat tapi buat gimik bercerai demi 'marketing' tetap berdosa, tegas pakar agama

BACA LAGI: [VIDEO] Ustaz Syamsul Debat kongsi 5 amalan 'power' elak terkena pukau

Memetik penulisan yang diceritakan dalam ERA.id, Nabi Hanzhalah AS adalah salah seorang nabi yang jarang dikenali walaupun beliau termasuk dalam ratusan ribu utusan ALLAH SWT.

"Beliau hidup pada zaman Dzulkarnain AS dan nama sebenarnya adalah Hanzhalah bin Sifwan dari Bani Israil.

"Nabi Hanzhalah diutus untuk membimbing kaum Rass dan merupakan nabi dan rasul dari Bani Israil, keturunan Yahuda, anak keempat Nabi Yakub.

"Dalam al-Quran, terdapat kisah kehancuran beberapa kaum termasuklah kaum Rass yang disebutkan dalam surah al-Furqan, ayat 38 dan ALLAH berfirman:

وعادا وثمُود وأصحاب الرسِ وقُرُونا بين ذٰلِك كثِيرا

"Dan (Kami binasakan) kaum 'Aad, Tsamud, penduduk Rass, dan banyak lagi generasi di antara kaum-kaum tersebut." (QS al-Furqan, ayat 38)," memetik portal.

Menurut ERA.id, penduduk Rass tinggal di kawasan Hadhramaut, di sebuah kota yang dinamakan Rass.

"Kota tersebut subur dengan pelbagai tanaman dan buah-buahan serta mempunyai kampung-kampung yang aman makmur.

"Di sana, terdapat beberapa kelompok yang menyembah berhala dan satu kelompok lagi menyembah api.

"Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bin Abi Thalib, dinyatakan bahawa Ashabur Rass adalah kaum yang menyembah pohon sanaubar yang dikenal sebagai syah dirakht (raja pohon)," memetik penulisan tersebut.

Penulis ada menjelaskan bahawa Yafits bin Nuh (anak Nabi Nuh) adalah orang pertama yang menanam pohon sanaubar setelah badai besar melanda tepian sungai yang dikenali sebagai Rousyan Oub.

"Yafits menyebarkan dua belas biji pohon sanaubar ke dua belas kampung di sepanjang sungai.

"Nama-nama kampung tersebut adalah Oban, Odzar, Die, Bahman, Isfand, Farwadin, Ordi Bahsyt, Khordad, Murdad, Tiir, Mihr dan Syahriwar.

"Nama-nama ini kemudian digunakan sebagai nama bulan dalam kalendar bangsa Ajami atau bangsa Persia.

"Kaum Rass percaya bahawa pohon sanaubar yang mempunyai mata air mengalir itu adalah sumber kehidupan tuhan di bumi.

"Untuk menghormati pohon tersebut, mereka mengadakan perayaan pada setiap bulan serta mempersembahkan daging haiwan yang dibakar.

"Selain itu, mereka melarang penduduk dan haiwan ternakan dari meminum air sungai di sekitar pohon sanaubar.

"Kaum Rass percaya bahawa pohon tersebut adalah Hayat al-ilahiyat (kehidupan ketuhanan) sehingga tidak boleh ada sesiapa yang mengganggu kewujudannya.

"Menurut kisah al-Kisa'i, di kota tempat Hanzhalah tinggal, terdapat gunung bernama Falaj yang merupakan rumah bagi burung raksasa Anqa'.

"Burung ini sangat besar sehingga mampu menutupi sinar matahari ketika terbang dan ia memiliki leher panjang serta empat sayap.

"Anqa' gemar menangkap haiwan besar seperti kuda, unta dan gajah untuk dijadikan mangsa.

"Kehadiran Anqa' menimbulkan ketakutan di kalangan kaum Rass sehingga mereka meminta bantuan Nabi Hanzhalah dan mereka berjanji akan mengikuti dakwahnya jika burung itu berhasil dibunuh, jelas ERA.id.

Menurut penulisan itu, Nabi Hanzhalah berdoa kepada ALLAH SWT untuk melenyapkan burung Anqa’ dan hasilnya, burung-burung Anqa’ jatuh dari langit dan terbakar sehingga tiada sekor pun hidup.

"Setelah itu, Nabi Hanzhalah mula berdakwah kepada kaum Rass tetapi mereka menolak ajakannya untuk beriman kepada ALLAH SWT dan menganggapnya menyesatkan dan kafir.

"Oleh kerana dakwahnya ditolak, Nabi Hanzhalah berdoa agar pohon sanaubar yang mereka sembah layu lalu ALLAH mengabulkan doanya dan pohon itu tiba-tiba mati.

"Kaum Rass sangat marah dan berkata, "Lelaki ini telah menyihir tuhan kita," menurut ERA.id.

Dalam penulisan itu menceritakan bahawa kaum itu berniat membunuh Nabi Hanzhalah.

"Mereka kemudian menggali lubang yang dalam untuk membuang Nabi Hanzhalah dengan tujuan menyebabkan dia mati kerana kelaparan dan kehausan.

"Setelah menangkap Nabi Hanzhalah, mereka melemparkannya ke dalam lubang dan menutupnya dengan batu besar. Seorang budak yang beriman melihat kejadian itu.

"Budak itu tidak dapat mengeluarkan Nabi Hanzhalah dari lubang, tetapi dia memberi makan secara diam-diam pada setiap hari setelah mencari kayu bakar.

"Sementara itu, Nabi Hanzhalah merintih dan berdoa agar ALLAH menghukum kaum Rass atas perbuatan mereka yang pada akhirnya ALLAH mengazab lalu menjadikan mereka pohon, haiwan ternakan dan batu hitam, kongsi ERA.id.

202104301522-main.cropped_1619770994-2

Kaum Rass meminta pertolongan Nabi Hanzhalah bagi menghapus burung Anqa’. — Gambar hiasan/ERA.id

Dalam pada itu, kisah tersebut turut disokong dalam satu penulisan Arab dari portal Life In Saudi Arabia menceritakan Ibn Jarir (sejarawan Islam) menyatakan bahawa penduduk Rass adalah golongan yang berhijrah selepas kaum Aad dimusnahkan ALLAH dan mereka berasal dari kabilah Tsamud.

Beberapa laporan menyebutkan bahawa golongan wanita dalam kaum Rass terlibat dalam perbuatan songsang iaitu lesbian, berlawanan dengan kaum Lut yang gay.

"Kaum Rass memiliki telaga yang mencukupi dan tanah yang subur serta seorang raja yang adil.

"Namun, selepas empat hari ketika raja mereka meninggal dunia, dikatakan syaitan muncul dan menipu mereka dengan mengatakan bahawa dia masih hidup.

"Dia (syaitan) menyuruh mereka memasang tirai lalu menyembahnya.

"Nabi Hanzalah AS diutus untuk membimbing kaum Rass ke jalan ALLAH lalu memberitahu mereka tentang penipuan syaitan dan mengajak mereka menyembah ALLAH.

"Namun, mereka menolak lalu membunuhnya dan melemparkan mayatnya ke dalam perigi dan akhirnya, ALLAH membinasakan mereka dan juga tempat tinggal kaum berkenaan," memetik penulisan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram