HARI kiamat adalah hari setiap amal dan perbuatan manusia akan dinilai dengan seadil-adilnya.
Dalam suasana penuh dengan kesibukan dan kekacauan itu, terdapat satu kisah yang menyentuh hati melibatkan Rasulullah SAW dan umatnya yang baru sahaja hendak mendekati baginda untuk mendapatkan minuman dari telaga al-Kawthar.
Kisah tersebut menggambarkan betapa besarnya kasih sayang Nabi Muhammad SAW terhadap umatnya serta pengajaran penting tentang taubat dan penggunaan kuasa.
Antara golongan yang dapat merasai air telaga Nabi Muhammad SAW adalah mereka yang memelihara wuduk. — Gambar fail
Pernahkah terlintas di fikiran anda, adakah kita menjadi sebahagian dari umat Islam yang dapat menikmati air telaga al-Kautsar tersebut?.
Ternyata ada juga golongan yang dihalang dari menikmati untuk minum dari telaga itu.
Menurut satu perkongsian video yang dikongsi oleh Hariz Najmi di TikTok, berkenaan kisah umat nabi Muhammad SAW yang dihalau oleh malaikat dari mendekati telaga al-Kautsar ada menjelaskan sewaktu tibanya hari kiamat.
"Suasana pada ketika itu digambarkan sangat penuh dengan manusia yang datang untuk menerima timbangan masing-masing.
"Dalam keadaan yang sangat sibuk itu, terdapat satu kelompok yang terdiri daripada 50 hingga 60 orang sedang berusaha mendekati Nabi Muhammad SAW untuk mendapatkan minuman dari telaga al-Kawthar.
"Namun, pada ketika itu, malaikat mula menarik mereka ke belakang.
"Dalam situasi tersebut, Rasulullah SAW dengan penuh kasih sayang memanggil malaikat dan berkata, "Halumah, halumah ashabi" yang bermaksud bawalah umatku ke sini.
"Rasulullah SAW menunjukkan betapa besarnya kasih sayang baginda terhadap umatnya, meskipun mereka baru sahaja mendekati baginda untuk minum air dari telaga al-Kawthar," kata Ustaz Wadi.
Beliau berkata, malaikat menjelaskan kepada Nabi SAW bahawa golongan itu dihalau kerana melakukan banyak kemungkaran dan penipuan selepas kewafatan baginda.
Segala maksiat yang dilakukan di atas dunia akan menjadi perhitungan semasa di padang mahsyar. — Gambar hiasan/Agensi
"Malaikat menjelaskan bahawa mereka diperintahkan oleh Allah untuk mengusir golongan ini seperti mengusir binatang.
"Keadaan ini menunjukkan betapa beratnya tindakan mereka yang tidak bertaubat sebelum meninggal dunia.
"Menurut alimah Munawawi, mereka yang dihalau adalah orang-orang yang mengaku beragama Islam tetapi tidak sempat bertaubat dari dosa-dosa besar mereka.
"Mereka juga termasuk pemerintah yang zalim yang menggunakan kuasa mereka untuk menyekat Islam.
"Ini adalah peringatan agar kita berhati-hati dengan kekuasaan yang kita miliki, kerana suatu hari nanti, kita mungkin akan kehilangan kekuasaan tersebut," ujarnya.
Ustaz Wadi atau nama sebenarnya Mohamad Wadi Annuar Ayub mengulas adalah penting diingatkan bahawa mereka yang termasuk dalam kelompok itu adalah orang-orang yang diberikan kuasa dalam masyarakat Islam tetapi menyalahgunakannya.
"Mereka yang menolong pemerintah zalim juga termasuk dalam kategori ini," tambahnya.
"Akhirnya, apabila malaikat mengatakan kepada Nabi SAW tentang kesalahan-kesalahan tersebut, baginda hanya mampu berkata, "Suhqun" yang bermaksud pergilah.
"Dengan kata-kata itu, Nabi SAW memberikan izin kepada malaikat untuk mengusir mereka.
"Ini adalah gambaran tentang betapa seriusnya kesalahan mereka dan bagaimana mereka diperlakukan dengan tegas di hadapan Rasulullah SAW.
"Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran dari kisah ini dan sentiasa berusaha untuk berada di jalan yang benar serta bertaubat dengan sepenuh hati sebelum terlambat," kata Ustaz Wadi.
@hariznajmi2 Kisah Di Telaga Nabi | Kisah Mahsyar | Umat Yang Dihalau Malaikat | Ustaz Wadi Annuar | UWA #ramadan #ramadanmubarak #seo #ceramahustazwadi #ustazwadiannuar #ceramahustazwadianuar #ceramahpendek #kisahmahsyar #kisahtelaganabi #taubat ♬ Selawat Nabi Muhammad Saw - N.I.A
Memetik penulisan Pengarah Majlis Hukama' Mulis, Mohamad Razif Mohamad Fuad menerusi bukunya yang bertajuk 59 Mutiara Nabawi ada menceritakan tentang gambaran telaga Haudh.
Menurut penulisan itu, Al-Haudh dari segi istilah ialah air yang mengalir dari telaga al-Kauthar milik nabi SAW di padang mahsyar pada hari kiamat.
Mungkin ada di antara kita menggambarkan telaga tersebut adalah seperti di dunia.
"Telaga Haudh adalah salah satu daripada karamah Nabi SAW yang jelas diperakui melalui sumber-sumber yang sahih, demikian kenyataan daripada Ibn Hazm al-Andalusi.
"Menurut Syeikh Zain al-'Abidin bin Muhammad al-Fatani, orang yang pertama minum air dari telaga tersebut alah para nabi, orang Muhajirin dan kemudiannya selain kedua-duanya, iaitu daripada kalangan orang beriman.
"Seterusnya orang yang melakukan maksiat daripada kalangan orang beriman.
"Berdasarkan pendapat yang sahih, mereka meminumnya sebelum dimasukkan ke dalam neraka.
"Dengan rahmat ALLAH, air tu mendinginkan tekak mereka daripada terbakar dan menghilangkan rasa lapar dan dahaga selama mereka di neraka," memetik ayat pada halaman muka surat 245.
Penulisan itu ada menyatakan Syeikh Zain al-'Abidin bin Muhammad al-Fatani menjelaskan terdapat dua golongan daripada umat Nabi SAW, iaitu mereka yang dibenarkan meminum air telaga itu.
"Mereka adalah kalangan orang yang bertakwa dan mereka yang tidak dibenarkan meminumnya, iaitu daripada kalangan orang kafir dan mereka yang diazab," memetik buku itu.
Terdapat golongan yang dihalau dari meminum telaga itu adalah kerana melakukan kemungkaran di dunia misalnya penyalahgunaan kuasa. — Gambar hiasan/Agensi
Bagaimana cara bagi umat Islam untuk mendapat peluang merasai air telaga Rasulullah?
Menurut buku 59 Mutiara Nabawi itu menjelaskan panduan bagi mendapat peluang merasai air tersebut pada hari akhirat kelak.
Antaranya adalah umat Islam mestilah berpegang teguh dengan al-Quran dan mencintai keluarga nabi (ahlul bait).
Selain itu, umat Islam mestilah menjauhi sikap ego, sombong, pentingkan diri serta sentiasa bersikap sabar.
Bahkan memelihara wuduk juga merupakan salah satu amalan yang dapat membantu umat Islam merasai air telaga Nabi SAW.
Pada halaman muka surat 244, Abdullah bin 'Amru berkata, Rasulullah SAW bersabda:
«حوضِي مسِيرةُ شهرٍ, ماؤُهُ أبيضُ مِن اللبنِ, ورِيحُهُ أطيبُ مِن المِسكِ, وكِيزانُهُ كنُجُومِ السماءِ, من شرِب مِنها فلا يظمأُ أبدا.»
Maksudnya: "Telagaku jaraknya sejauh perjalanan sebulan. Airnya lebih putih daripada susu, aromanya lebih wangi daripada minyak musk, dan cangkirnya bagaikan bintang-bintang di langit. Siapa yang meminumnya, ia tak akan haus selama-lamanya.(HR. Bukhari: 6579, Muslim: 2292) — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram