Waris tak perlu bergaduh nak tentukan kebumi arwah, ketahui siapa lebih berhak


  • Mukmin
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Pengebumian jenazah mestilah dilakukan dengan penuh hormat dan mengikuti tatacara yang ditetapkan oleh syariat. — Gambar hiasan/NSTP

DALAM Islam, pengebumian jenazah merupakan salah satu daripada rukun jenazah yang penting, dilakukan dengan penuh hormat dan mengikuti tatacara yang ditetapkan oleh syariat.

Proses itu mencerminkan rasa hormat dan tanggungjawab umat Islam terhadap mereka yang telah meninggal dunia.

Namun begitu, proses pengebumian dalam Islam bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan perhatian dan pematuhan yang teliti terhadap syariat bagi memastikan jenazah dihormati dengan cara yang sesuai dan penuh beradab.

BACA LAGI: Campur ayat al-Quran dengan muzik 'jedaq jedug' bukan cara mulia pikat cintai kalam suci

BACA LAGI: Bukan tak boleh berwuduk dalam tandas, hati-hati lafaz niat elak jatuh hukum makruh

19d3b908bcada56e697bce7bdcd79332

Terdapat juga situasi pertikaian oleh waris dalam menentukan siapa yang lagi berhak menentukan tempat arwah dikebumi. — Gambar hiasan/BETV

Terdapat juga situasi apabila berlaku pertikaian oleh ahli keluarga mengenai siapa yang lagi berhak menentukan tempat pengebumian arwah si mati.

Situasi ini tidak kira sama ada waris itu melibatkan antara isteri dengan anak atau keluarga si mati dengan keluarga mertua atau seumpamanya.

Jadi bagaimanakah pandangan Islam mengenai hal tersebut?

Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, waris terdekat perlu berbincang secara baik sama ada anak, isteri, atau suami bagi mengebumikan si mati di tempat meninggal atau di tempat tinggalnya.

"Keputusan terbaik adalah kesepakatan hasil perbincangan dan mengikut ajaran Islam apabila mengebumikan si mati di tempat dia meninggal kerana itu adalah kaedah paling segera dalam urusan pengkebumian," katanya kepada Majoriti.

Bagi menggambarkan situasi itu, Mohd Izhar Ariff turut memetik sabda Nabi Muhammad SAW yang berbunyi:

"Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya.

"Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu." (Hadith riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Selain itu, beliau juga memetik penulisan Syeikh ‘Ilisy al-Maliki menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadis di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan, namun tanpa tergopoh-gapah.

"Bahkan, makruh hukumnya jika dengan kelajuan yang menyukarkan untuk orang lain untuk mengikutinya." (Rujuk Fatwa Syeikh Ilisy, 1:155)

keranda-almarhumah-ibunda-ustaz-20220427080053

Mempercepatkan proses pengebumian mengikut Islam adalah kaedah yang terbaik — Gambar hiasan/Grid.ID

Mengulas lanjut bagi situasi pertikaian itu, Mohd Izhar Ariff menegaskan agar keputusan menentukan pengebumian hendaklah didahulukan kepada waris terdekat.

Misalnya, terdapat situasi apabila si isteri hendak mengebumikan arwah suami di tempat meninggal tetapi ibu dan adik beradik suami menyatakan mereka lagi berhak menentukan.

"Dalam situasi tersebut, hendaklah didahulukan si isteri dan anak-anak kerana mereka lebih dekat dengan si mati.

"Dari sudut faraid sekali pun, isteri dan anak-anak lebih banyak bahagian mereka berbanding ibu dan adik beradik si suami," ulasnya.

Mohd Izhar Ariff yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu bagaimanapun berkata, adalah diharuskan dan dibolehkan untuk menangguhkan pengebumian jika mempunyai sebab yang kuat dan maslahah yang lebih besar.

"Antara sebab yang dibolehkan adalah jika tempat tersebut sukar bagi urusan pengebumian.

"Kos yang tinggi berbanding dibawa pulang atau kawasan tersebut bukan kawasan umat Islam dan sebagainya.

"Apa-apa keputusan mestilah berbalik kepada perbincangan ahli waris," tambahnya.

Mohd Izhar Ariff berkata, sekiranya si mati ada mewasiatkan agar dikebumikan di tempat lahirnya, maka, wasiat tersebut boleh diikuti oleh ahli waris.

"Namun selagi mana ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada si mati atau ahli keluarga adalah dibolehkan," tegasnya.

2790538

Sebagai umat Islam kita sangat digalakkan untuk mengetahui dan mempelajari cara melaksanakan solat jenazah ini. — Gambar fail

Mengulas lanjut berkenaan penangguhan pengebumian arwah, beliau berkata, antara sebab lain yang dibolehkan adalah misalnya menunggu kedatangan ahli waris untuk melihat jenazah buat kali terakhir selagi mana tempohnya tidak terlalu lama.

Katanya, hal tersebut ada disebutkan di dalam kitab Faydh al-Qadir:

ينبغِي انتِظارِ الولِيِ إِن لم يخف تغيرُهُ

Maksudnya: Hendaklah menunggu walinya (untuk melihat jenazah) selagimana tidak dikhuatiri perubahan berlaku pada mayat. (Rujuk Faydh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 3:377)

"Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa menangguh pengebumian adalah diharuskan jika sekiranya terdapat sebab yang munasabah dan bahkan dituntut jika terdapat maslahah yang lebih besar apabila menangguhnya pada kadar yang tidak terlalu lama.

"Para ulama juga menyatakan bahawa adalah disunatkan untuk mengebumikan jenazah di tempat dia meninggal dunia.

"Antaranya ialah apa yang disebut oleh Syeikh Abu Bakr al-Mundzir al-Naisabur, adalah disunatkan untuk dikebumikan jenazah di negeri yang dia meninggal dunia.

"Dan begitulah situasi pada zaman Rasulullah SAW, dalam kalangan ahli ilmu dan juga kebiasaan orang awam. (Rujuk al-Awsat fi al-Sunan, al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf, 5:464)

Tegasnya lagi, penangguhan itu mestilah tidak mengambil masa yang lama sehingga dua atau tiga hari sebagai contoh.

"Jika mengambil masa terlalu lama, maka hukumnya adalah makruh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram