NAMA pempengaruh, Ustaz Tido semakin 'panas' selepas banyak menimbulkan kontroversi terhadap agama Islam sejak kebelakangan ini.
Baru-baru ini, namanya kembali menjadi perbualan netizen selepas didakwa mencampuradukkan ayat al-Quran dengan muzik berunsur 'jedag jedug' sewaktu membuat live menerusi laman TikTok miliknya.
Mungkin terdapat segelintir individu yang berfikir tindakannya memasukkan unsur hiburan ke dalam bacaan al-Quran adalah untuk menarik lebih ramai pengikut dalam kalangan anak muda.
BACA LAGI: Hati-hati pilih pinggan mangkuk, 'fine bone' campuran tulang babi tak halal ikut syarak
Bacaan al-Quran tidak boleh dicampuradukkan dengan muzik.
Bagaimanapun, adakah dalam Islam membolehkan pencampuran di antara ayat suci al-Quran bersama muzik?
Tampil memberi penjelasan lanjut, Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan, Dr Kalimin Jamilin menjelaskan bahawa muzik dan ayat al-Quran tidak boleh dicampuradukkan.
"Imam Syafie sendiri berkata, muzik sebegitu (jedag jedug) boleh tumbuhkan nifaq (sifat munafik atau akhlak tercela) di dalam hati.
"Macam mana boleh campurkan cahaya ALLAH (al-Quran) dengan kegelapan (muzik jedag jedug)," katanya menerusi laman Facebook.
Untuk rekod, nifaq adalah perbuatan menampakkan keislaman dan kebaikan tetapi menyembunyikan kekafiran serta keburukan.
Hina kemuliaan al-Quran
Dr Kalimin turut meluahkan rasa kecewanya apabila pempengaruh yang menggunakan nama 'ustaz' berbuat perkara sedemikian yang dianggap sebagai menghina kemuliaan al-Quran.
"Kita rasa agak sedih dan kecewa kerana rasa macam satu penghinaan kepada al-Quran. Perkara itu juga mencemarkan kemuliaan pengajian al-Quran itu sendiri," katanya.
Dr Kalimin berkata, teknik mencampuradukkan ayat al-Quran dengan muzik sebegitu mampu mendatangkan kemurkaan ALLAH.
"Jangan sampai kita menjatuhkan atau pun mencemarkan kemuliaan al-Quran.
"Lagi-lagi apabila kita buat teknik yang dirasakan untuk pikat generasi muda. Tetapi sebenarnya kita mendatangkan kemurkaan ALLAH," katanya.
Individu kerap mendengar muzik mudah lupa ayat al-Quran yang sudah dihafalnya.
Tambahnya lagi, individu yang membiasakan diri dengan muzik kebiasaannya sukar untuk 'lekat' ke dalam otak hafalan ayat al-Quran yang dibuat.
"Ada beratus pelajar yang membuat hafalan al-Quran, yang mana kita boleh tahu jika mereka ini selalu mendedahkan diri dengan muzik.
"Sebabnya orang sebegitu automatik nak hafal al-Quran pun susah. Memang mudah lupa semula bacaan itu.
"Saya boleh jamin, cuba anda cari orang yang minat gila-gila dalam muzik. Memang kita tak jumpa yang mampu jaga 30 juzuk al-Quran," katanya.
Memetik kata-kata Imam Syafie:
شكوت إلى وكِيعٍ سُوء حِفظِي فأرشدنِي إلى تركِ المعاصِي وأخبرنِي بِأن العِلم نُور ونُورُ اللهِ لا يُهدى لِعاصِي
Maksudnya: "Aku pernah mengadu kepada Waki' tentang hafalan aku yang lemah. Kemudian dia menyuruhku meninggalkan maksiat. Dia memberitahu aku bahawa ilmu itu cahaya dan cahaya ALLAH tidak boleh diberikan kepada orang yang maksiat." (I'anatuth Tholibin, 2: 190).
Padahal Imam Syafie orang yang luar biasa, namun hafalannya terganggu dek kerana hal yang tidak disengajakan.
Mengulas lanjut, pada 15 Julai lepas, Ustaz Tido mengaku tidak mempunyai tauliah daripada mana-mana jabatan agama untuk mengajarkan al-Quran kepada masyarakat.
“Baiklah saya mengaku tidak ada tauliah, hanya belajar sekolah agama biasa. Saya tak layak digelar ustaz sebab saya tak ada tauliah dan tak mengaji agama tinggi sehingga menara gading.
“Insya-ALLAH saya usahakan dapatkan tauliah mengajar al-Quran. Jadi saya tukar nama panggilan saya daripada Ustaz Tido kepada Bro Tido,” katanya menerusi TikTok.
Bagaimanapun, dia memaklumkan akan tetap mengajar al-Quran dan berdakwah untuk pengikut-pengikutnya, selain menjelaskan maksud Tido ialah T (taklim), I (iman), D (dakwah) dan O (orang). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram