Fenomena luar biasa di angkasa pernah berlaku ketika 31 Ogos 1957


  • Massa
  • Jumaat, 23 Ogos 2024

Fenomena luar biasa di angkasa lepas pada tarikh keramat 31 Ogos 1957. — Stellarium Web Online Star Map

TAHUKAH anda di sebalik tarikh keramat 31 Ogos 1957, secara kebetulan berlaku fenomena luar biasa di angkasa lepas?

Sambutan hari Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos menarik perhatian ramai, termasuk Pengiat Astronomi Mohamad Redzuan bin Tahar, 41.

Baru-baru ini, Redzuan berkongsi imej deretan objek cakerawala yang berlaku pada tarikh hari kemerdekaan Tanah Melayu.

BACA LAGI: Bekas SU Politik Hamzah Zainuddin hadapi 2 lagi tuduhan rasuah

BACA LAGI: Pengundi luar bukan alasan, PN tak perlu buat petisyen — Pakar politik

photo_6217389242192084310_x

Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan secara rasmi tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1957. — Arkib

Menurut Redzuan, penyelidikannya mengenai Pakar Falak yang juga Mufti Pulau Pinang pertama, Syeikh Abdullah Fahim yang mencadangkan tarikh tersebut sebagai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu mencetuskan rasa ingin tahu mengenai keadaan langit pada malam bersejarah itu.

Redzuan berkongsi ilmunya itu setelah membaca artikel mengenai Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim dan cadangan beliau mengenai tarikh kemerdekaan.

"Saya menggunakan aplikasi Stellarium dan SkySafari untuk memeriksa keadaan langit pada 31 Ogos 1957.

"Saya sangat teruja apabila mendapati planet-planet seperti Marikh, Utarid, Musytari, Zuhrah, Neptune, Zuhal, Bulan, dan buruj Virgo berada dalam keadaan sebaris atau sejajar di langit barat Tanah Melayu pada malam tersebut,” kongsinya.

Menurut Redzuan, walaupun ramai yang mungkin sudah mendengar atau membaca mengenai Syeikh Abdullah Fahim, perkongsian visual peta bintang pada tarikh kemerdekaan boleh menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat umum, terutamanya kepada peminat astronomi.

“Dengan perkongsian ini, saya berharap ia akan memotivasi orang ramai untuk lebih teruja dan mendalami sejarah di sebalik kemerdekaan negara kita,” ujarnya.

Sebagai seorang peminat astronomi, Redzuan amat kagum dengan kepakaran Allahyarham dalam mentafsir kedudukan objek cakerawala pada malam tersebut, memandangkan kelengkapan astronomi pada masa itu tidak sehebat sekarang.

Redzuan yang merupakan lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer dari Rensselaer Polytechnic Institute (RPI), Amerika Syarikat dan Sarjana Sains Fizik dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur, berharap perkongsian itu dapat menggalakkan penyertaan lebih ramai dalam aktiviti yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta persatuan dan kelab berkaitan.

Redzuan berkongsi, Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim turut mencadangkan tarikh yang sama pada tahun 1962 untuk merayakan kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada tahun 1963, Sabah juga meraikan Hari Sabah pada 31 Ogos untuk memperingati kemerdekaannya.

Menurut aplikasi SkySafari, langit Sabah pada tarikh tersebut dihiasi dengan BimaSakti, mencerminkan kegembiraan seluruh alam dalam merayakan kemerdekaan Sabah.

Perkongsian itu tidak hanya memperdalam pemahaman mengenai sejarah kemerdekaan, tetapi juga menghidupkan kembali keajaiban astronomi yang menyertai peristiwa bersejarah tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram