PERNAHKAH anda mendengar ungkapan kematian bukanlah untuk ditakuti tapi perlu dihadapi dan diinsafi?
Mati itu memang satu perkara yang pasti, dan ia disertai dengan kesakitan yang sangat hebat terutama apabila saat seseorang menghadapi sakaratul maut.
Perkara yang harus ditakuti sebenarnya adalah kehidupan selepas kematian, bukannya ketika di dunia dan takut menghadapi mati.
BACA LAGI: Hati-hati pilih pinggan mangkuk, 'fine bone' campuran tulang babi tak halal ikut syarak
Kehidupan selepas kematian adalah perkara yang harus ditakuti kerana ia perjalanan yang panjang berbanding di dunia yang singkat. — Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Memetik ceramah Tanyalah Ustaz (2020) yang bertopik 'Sakit Ketika Sakaratul Maut', tetamu jemputan Profesor Madya Ustaz Dr Sukki Othman berkata, sakit ketika mati adalah kesakitan yang paling teruk dan dianggap oleh para ulama sebagai sesuatu yang sangat mencabar.
Katannya, kesakitan itu mungkin diibaratkan seperti 300 libasan pedang atau 70 tusukan.
Dr Sukki Othman berkata, sakit yang dialami semasa kematian adalah berkaitan dengan perpisahan roh dari jasad.
"Selagi mana roh berada dalam jasad, kita boleh merasa sakit bila dicubit atau ditusuk.
"Begitu juga, perpisahan roh dari jasad yang telah sebati selama ini menyebabkan kesakitan yang sangat hebat," jelasnya.
Namun demikian, menurutnya terdapat perbezaan merasai pengalaman mati antara orang yang beriman dan yang tidak beriman.
Menjelas lanjut berkenaan adakah semua orang mengalami kesakitan yang sama ketika mati, Dr Sukki Othman berkata, sakit semasa kematian berbeza-beza antara orang beriman dan tidak beriman.
"Bagi orang beriman, proses kematian mungkin terasa lebih mudah kerana mereka boleh melihat tanda-tanda nikmat yang akan mereka peroleh selepas mati.
"Ini memberi mereka kekuatan untuk menghadapi kesakitan tersebut.
"Sebaliknya, bagi orang yang tidak beriman, proses kematian boleh menjadi sangat menyakitkan kerana mereka menghadapi malaikat maut dengan cara yang lebih kasar dan mengalami kesan buruk selepas kematian," ujarnya.
Beliau berkata, meninggal dalam tidur juga merupakan kematian yang menanggung kesakitan walaupun ia mungkin tidak sama dengan sakaratul maut yang diharungi oleh orang yang sedar.
Menurutnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa orang yang mati dalam tidur mungkin tidak mengalami kesakitan yang sama seperti mereka yang melalui proses sakaratul maut dengan kesedaran penuh.
Namun, kematian tetap merupakan satu proses yang melibatkan perpisahan roh dari jasad.
Dalam riwayat al-Bukhari, (6510) menjelaskan mengenai kematian iaitu:
" لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، إِنَّ لِلْمَوْتِ سَكَرَاتٍ ". ثُمَّ نَصَبَ يَدَهُ فَجَعَلَ يَقُولُ " فِي الرَّفِيقِ الأَعْلَى "
Maksudnya: "Tiada tuhan melainkan Allah. Sesungguhnya bagi kematian itu adalah kesakitan. Dan baginda menegakkan tangannya dan berkata, 'Menuju al-rafiq al-a'la".
Proses kematian bagi orang beriman mungkin terasa lebih mudah kerana mereka boleh melihat tanda-tanda nikmat yang akan mereka peroleh selepas mati. — Alodokter
Dr Sukki Othman berkata, setiap umat Islam perlu bersangka baik dan berdoa agar orang tersayang meninggal dalam keadaan baik dan diberkati.
"Kita sebagai insan yang masih hidup perlu menjaga emosi keluarga dan menghindari membuat kesimpulan buruk tentang kematian seseorang, sebaliknya memberikan sokongan dan doa yang baik terhadap mereka," tambahnya.
Penulisan oleh Pengarah Majlis Hukama' Mulis, Mohamad Razif Mohamad Fuad menerusi bukunya yang bertajuk 59 Mutiara Nabawi, muka surat 180 ada menyatakan kesakitan yang dirasai pada hakikatnya tidak dapat digambarkan dengan kata-Kata.
"Apa yang dinyatakan itu cuma simbolik bagi kesakitan yang hampir-hampir sama.
"Mungkin ia tidak dapat dirasa, namun akal kita sudah pasti mampu membayangkan bagaimana pedihnya digergaji, digunting mahupun dikenakan air yang sedang mendidih," memetik buku tersebut.
Pasti ada juga di kalangan anda tertanya-tanya mengapa Rasulullah juga merasai sakit sakaratul maut?
Menerusi penulisan itu, nukilan dari Ibn Hajar al-Asqalani ada menjelaskan kesengsaran sakaratul maut bukan petunjuk atas kehinaan martabat seseorang.
Hadis itu menyatakan bagi konteks orang yang beriman, sakit ketika mati itu adalah untuk menambah kebaikan atau menghapus kesalahan-kesalahan seseorang.
Penulisan dalam topik 42 yang bertajuk 'Sakitnya Sakaratul Maut' itu menerangkan bahawa menurut al-Qurtubi, kesakitan sakaratul maut juga ada kebaikan menurut para nabi.
Kebaikan yang pertama adalah supaya manusia tahu kadar kesakitan kematian.
Bagi orang yang tidak beriman, proses kematian boleh menjadi sangat menyakitkan kerana mereka menghadapi malaikat maut dengan cara yang lebih kasar. — Gambar Agensi
"Ada kalanya orang sekeliling melihat ada yang seakan mudah kematian seseorang dan merasakan mungkin mudah menghadapi sakaratul maut.
"Hakikatnya, ia tidaklah semudah yang disangka kerana mereka tidak mengetahui keadaan sebenarnya," tulis.
Kebaikan yang kedua adalah supaya manusia tahu kadar kesakitan kematian.
"Allah ingin menguji mereka untuk melengkapi keutamaan dan peningkatan darjat mereka di sisi-Nya.
"Walaupun begitu, kesakitan sakaratul maut bagi orang yang berbuat maksiat jauh lebih dahsyat dan tidak menyamai sama sekali.[Rujuk al-Tazkirah bi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirah, jil.1, hIm. 48-50].
"Kita takut masa semakin suntuk untuk kita melafazkan taubat.
"Kita khuatir entah diterima amal kita atau tidak.
"Apabila tiba saatnya di alam sana, orang yang tidak beriman meminta untuk dihidupkan agar boleh mereka memeluk Islam.
"Orang yang berbuat maksiat pula akan memohon untuk dikembalikan supaya boleh bertaubat dan melakukan amal soleh," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram