KELUARGA yang memiliki pertelingkahan seharusnya menyelesaikan masalah itu secara tertutup tanpa bertindak menyebarkan aib masing-masing menerusi media sosial, kata Mufti Terengganu.
Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata sedemikian bagi mengulas mengenai isu perbalahan di antara pelakon jelita, Zara Zya bersama bapanya.
Zara Zya baru-baru ini memaklumkan bahawa bapanya sering menghinanya di media sosial.
BACA LAGI: 'Tolong jangan buli saya dan cakap bukan-bukan', Zara Zya berjuang lawan penyakit misteri
BACA LAGI: 'Pelawak yang baik tidak perlu terloncat', pesanan Hamid Gurkha buat peminat rindu serindu-rindunya
Zara Zya mendedahkan di media sosial tentang permasalahan yang berlaku membabitkan dia dengan ayahnya.
"Ayah saya? Sudah berapa banyak akaun palsu dia yang saya sekat. Hina, mengata saya di media sosial. Itu secara dalam talian, secara offline?
“Semestinya lebih rancak. Pernah wartawan cari saya dan cakap ada seorang lelaki hubunginya, cerita tentang saya, dia kenalkan diri sebagai ayah saya,” katanya.
Zara Zya turut mengeluarkan perkataan seumpama sudah tiada sosok bapa dalam hidupnya.
"Saya ada ayah tetapi 'tak ada'," katanya.
Tampil menjelaskan isu terbabit, Mohamad Sabri berkata, masalah peribadi berkait hal kekeluargaan tidak perlu ditonjolkan secara terbuka.
"Cara yang terbaik adalah berbincang sesama keluarga terlebih dahulu dan tidak perlu beritahu di media sosial," katanya kepada Majoriti.
Ini kerana, Mohamad Sabri menegaskan bahawa setiap insan tidak akan lari daripada melakukan kesalahan.
"Setiap ahli keluarga miliki jasa yang patut dikenang. Kadang keburukan yang ada itu tidak banyak mana pun berbanding jasa yang diberikan.
"Tanpa ibu bapa, kita tidak lahir di dunia, jadi mengapa kita mahu bergaduh dengan orang tua kita," katanya.
Mohamad Sabri turut memetik kata-kata yang pernah disebut dalam al-Quran yang membawa erti lebih baik jika seseorang itu bersabar dengan segala kejahatan yang menimpa dirinya.
"وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا۟ بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِۦ ۖ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌۭ لِّلصَّـٰبِرِينَ ١٢٦
Maksudnya: Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar (Surah An-Nahl ayat 126)
Memandangkan Zara Zya merupakan seorang selebriti yang memiliki pengaruhnya sendiri, Mohamad Sabri beranggapan bahawa perkara itu berpotensi membawa pengaruh tidak baik untuk orang lain.
"Kita ada follower masing-masing jadi tidak patutlah tunjukkan contoh tidak baik kepada follower. Lagi-lagi selebriti sepatutnya lebih jaga hal peribadi supaya tidak tersebar.
"Kerana orang yang membaca apa kita luahkan tidak semuanya matang. Sepatutnya kena tunjuk imej yang baiklah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram