Hati-hati pilih pinggan mangkuk, 'fine bone' campuran tulang babi tak halal ikut syarak


  • Mukmin
  • Rabu, 17 Jul 2024

Ramai tidak menyedari bahawa ada sesetengah pinggan mangkuk diperbuat daripada tulang babi. — Gambar hiasan

PASTINYA pinggan mangkuk yang cantik dijual di kedai menarik hati ramai individu untuk membelinya.

Apatah lagi sesuatu barangan itu terlihat tahan lama dari sudut struktur rekaannya.

Namun, pernahkah anda memastikan agar bahan pembuatan barangan tersebut halal?

BACA LAGI: 'Solat amalan pertama dihisab', mati syahid tanpa beribadat kepada ALLAH hanyalah sia-sia — Agamawan

BACA LAGI: Kecil hati kerana jenazah lewat dikebumi, pakar pengurusan kata tak jadi masalah jika ada sebab tertentu

WhatsApp Image 2024-07-14 at 6.56.09 PM

Umat Islam perlulah berhati-hati sebelum membeli sesuatu jenis pinggan lebih-lebih lagi jika ada tulisan 'fine bone'.

Selaku umat Islam, perkara itu sememangnya penting memandangkan kita akan menghidangkan makanan-makanan yang sudah dimasak menggunakan bahan yang halal untuk disajikan di atas pinggan tersebut.

Menerusi satu hantaran di laman X, heboh diperkatakan mengenai set hidangan yang diperbuat daripada bahan tidak halal seperti tulang khinzir.

"Korang tahu tak sebenarnya ada pinggan yang tak halal sebab diperbuat daripada tulang babi?," kata seorang pengguna, Zalyazahari.

Zalyazahari turut memberi cara yang mudah untuk meneliti pinggan yang diperbuat daripada tulang babi.

"Pusing bawah pinggan untuk lihat. Biasanya akan tulis fine bone atau bone China. Ada di antaranya yang campuran lembu dan tulang babi tetapi tetap tak halal untuk orang Islam guna," katanya.

WhatsApp Image 2024-07-14 at 6.58.37 PM

Meskipun sesuatu pinggan terlihat cantik, umat Islam perlu meneliti status halalnya sebelum membeli.

Pejabat Mufti Wilayah menerusi laman web turut menerangkan lebih mendalam mengenai pemakaian pinggan mangkuk yang memiliki perkataan 'bone China'.

"Bone China diterjemahkan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai tembikar cina.

"Komposisinya memiliki 50 peratus debu tulang, 25 peratus kaolin dan 25 peratus batu cornish.

"Tulang yang digunakan ialah tulang haiwan yang dipanaskan pada suhu yang tinggi," katanya.

Tambahnya lagi, berdasarkan mazhab Shafie, muzakarah menegaskan bahawa sifat kenajisan babi masih kekal dalam produk bone China.

"Sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku," katanya.

Malah, mengikut pandangan muzakarah, jika penggunaan produk 'bone China' ini diharuskan, maka ia akan membuka ruang dan menyebabkan penggunaan produk bersumberkan haiwan yang tidak halal semakin berleluasa.

Muzakarah juga berpandangan bahawa peralatan atau perhiasan 'bone China' tidak mencapai tahap keperluan (darurat) kepada masyarakat untuk memiliki dan menggunakannya.

Sehubungan itu, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone China) tidak halal mengikut syarak.

Perkara itu termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak disembelih dengan benar mengikut syarak.

Bagaimanapun, hukum penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone China) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah diharuskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram