ABDULLAH bin Mas’ud adalah nama yang seringkali disebut dalam sejarah Islam sebagai role model yang memiliki keimanan dan sifat keberanian yang tinggi.
Dikenali sebagai salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang paling dekat dan berpengetahuan luas, kisah hidupnya memberikan inspirasi, pelajaran dan nilai yang sangat berharga.
Lalu bagaimana kisah Abdullah bin Mas’ud, dengan dedikasi dan keberaniannya dalam membela agama Islam, dapat menginspirasi umat Islam dalam menghadapi cabaran zaman moden ini?
BACA LAGI: [VIDEO] 'Sukan sesama murid, bukan lawan musuh', mufti desak KPM siasat sekolah laung Qunut Nazilah
BACA LAGI: Qunut Nazilah: Semai pelajar dengan kasih sayang, bukan dianggap musuh — mufti
Abdullah bin Mas’ud merupakan sahabat Nabi Muhammad SAW pertama yang berani membaca al-Quran secara terang-terangan.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Barang siapa yang ingin membaca al-Quran dengan baik seperti ketika pertama kali diturunkan, bacalah seperti bacaan Abdullah bin Mas’ud.
Menurut penulisan Hijrah Pedia, Abdullah bin Mas’ud merupakan antara sahabat terawal Nabi Muhammad SAW yang memeluk Islam.
Setelah memeluk Islam, beliau meminta izin untuk menjadi pelayan kepada baginda dan permohonannya dikabulkan.
Sejak itu, Abdullah bin Mas’ud selalu mendampingi Nabi, memenuhi pelbagai keperluan, dan sering kali masuk ke kamar untuk menguruskan tempat tidur Nabi Muhammad SAW.
Oleh disebabkan kedekatan yang rapat, Abdullah bin Mas’ud secara langsung mempelajari ilmu al-Quran dari baginda.
Beliau dikenali ramai kerana memiliki ingatan yang sangat tajam dan pemahaman mendalam tentang ayat-ayat al-Quran.
Nabi Muhammad SAW juga menganjurkan umat Islam mempelajari al-Quran dari empat orang sahabat, termasuklah Abdullah bin Mas’ud.
"Ambillah ilmu al-Quran itu dari empat orang iaitu dari Abdullah bin Mas'ud, Salim, Mu'adz bin Jabal dan Ubay bin Ka'ab," sabda Nabi Muhammad SAW.
Nabi Muhammad SAW sering meminta Abdullah bin Mas’ud untuk membacakan al-Quran, tidak hanya untuk memeriksa bacaan sahabatnya tetapi juga kerana baginda menyukai suaranya yang merdu.
Selepas Nabi Muhammad, beliau tercatat sebagai orang pertama yang membaca al-Quran secara terbuka di hadapan kaum musyrikin Quraisy.
Abdullah bin Mas’ud juga terkenal sebagai sahabat yang berani.
"Dalam Sirah Nabawiyah (Ibnu Hisyam, 2018) menceritakan bahawa suatu ketika para sahabat baginda berkumpul dan bertanyakan tentang siapa yang berani membaca al-Quran secara terbuka di hadapan kaum musyrikin Quraisy," menurut Hijrah Pedia.
Pada ketika itu, orang Quraisy belum pernah mendengar secara langsung bacaan al-Quran.
Beliau adalah orang pertama yang membacakan al-Quran secara terbuka di hadapan kaum musyrikin Quraisy, meskipun tindakan itu berisiko tinggi.
Abdullah bin Mas’ud mempelajari secara langsung ilmu al-Quran dari Nabi Muhammad SAW. — Kosmo
Para sahabat awalnya khuatir akan keselamatannya, tetapi Abdullah bin Mas’ud tetap berkeras melantunkan ayat suci al-Quran kerana percaya bahwa ALLAH akan melindunginya.
Abdullah bin Mas'ud datang ke Maqam Ibrahim pada waktu Dhuha di mana pada ketika itu kaum musyrikin Quraisy sedang duduk mengelilingi Kaabah.
Di hadapan mereka, Abdullah bin Mas'ud segera membaca Surah Ar-Rahman dengan suara yang nyaring dan merdu.
Ramai yang terpesona mendengar keindahan alunan ayat suci al-Quran yang dibaca olehnya.
Abdullah bin Mas'ud telah dipukul oleh kaum musyrikin Quraisy kerana tindakan tersebut.
Perkara yang ditakuti para sahabat tentang Abdullah bin Mas'ud menjadi kenyataan.
Meskipun demikian, Abdullah bin Mas’ud tidak gentar, bahkan bersedia untuk melakukannya lagi pada keesokan hari.
Namun, para sahabat mencegahnya daripada melakukan tindakan tersebut.
Tindakan berani itu memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa pentingnya berdiri teguh dalam prinsip dan kebenaran, meskipun menghadapi cabaran atau penentangan demi menegakkan agama Islam.
Selain pakar dalam al-Quran, Abdullah bin Mas’ud juga banyak meriwayatkan hadis, sekitar 840 hadis dari Nabi Muhammad SAW. — WeHalal
Dalam konteks moden, tindakan itu boleh diartikan sebagai berani mempertahankan nilai dan kebenaran dalam kehidupan sehari-hari dan dalam persekitaran profesional atau sosial kehidupan.
Keberanian Abdullah bin Mas’ud juga mencerminkan keyakinannya terhadap perlindungan ALLAH.
Hal itu mengajarkan kepada manusia agar perlu memiliki keyakinan dan kepercayaan bahawa ALLAH sentiasa ada dan tidak sendirian dalam menghadapi kesulitan.
Dalam dunia yang penuh dengan ketidakpastian, memiliki keyakinan sebegitu dapat memberi manusia kekuatan untuk terus maju dan menghadapi cabaran dengan lebih tenang.
Abdullah bin Mas’ud menunjukkan betapa pentingnya untuk memahami ajaran secara mendalam dan bukan hanya secara permukaan sahaja.
Dalam dunia moden yang serba boleh, umat Islam perlu memastikan bahawa diri benar-benar memahami nilai-nilai dan prinsip yang dipegang, agar dapat menerapkannya dengan bijak dalam pelbagai situasi.
Dalam pada itu, selain dikenali sebagai pembaca mahupun pakar al-Quran yang ulung, Abdullah bin Mas’ud juga banyak meriwayatkan hadis, sekitar 840 hadis dari Nabi Muhammad SAW.
Ali bin Abi Thalib memuji Abdullah bin Mas’ud sebagai seorang ahli ilmuan yang sangat menguasai al-Qur’an dan hadis.
Abdullah bin Mas’ud menunjukkan dedikasi yang mendalam dalam mempelajari dan menyebarkan al-Qur’an.
Abdullah bin Mas’ud meninggal dunia pada masa kekhalifahan Uthman bin Affan, tahun ke-32 Hijriyah, pada umur 65 tahun.
Abdullah bin Mas'ud telah dipukul oleh kaum musyrikin Quraisy kerana tindakan membaca ayat suci al-Quran. — Hijra Pedia
Justeru, sebagai iktibar perkara itu mengingatkan umat Islam agar sentiasa berusaha keras dalam menuntut ilmu dan meningkatkan pengetahuan.
Dedikasi itu boleh diterapkan dengan terus belajar dan memperdalam pemahaman dalam sesuatu bidang yang diminati, serta menggunakan pengetahuan tersebut untuk kebaikan masyarakat.
Abdullah bin Mas’ud merupakan seorang perawi hadis yang penting, berperanan dalam menyebarkan ilmu dengan betul dan menjaga integriti ajaran Islam sebenar.
Oleh hal yang demikian, amalan dan sifat baik yang dapat diteladani itu boleh diterapkan dengan memastikan bahawa sentiasa berkongsi maklumat dan pengetahuan yang benar dan bermanfaat.
Di samping itu, amatlah penting kepada umat Islam mengelakkan daripada penyebaran hadis palsu atau maklumat yang tidak sahih.
Hal tersebut kerana boleh menyebabkan berlakunya salah tafsiran dan ajaran akidah sebenar agama Islam terutamanya.
Dengan menerapkan pengajaran kisah tersebut, sebagai umat Islam pada akhir zaman dapat mempersiapkan diri menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan moden dengan lebih berkeyakinan, bijaksana, dan berprinsip. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram