Trend 'tebuk' al-Quran, hafal tapi sayang tak amal, Ustaz Sobri ada penjelasan


  • Mukmin
  • Jumaat, 09 Ogos 2024

Rasulullah SAW menekankan bahawa membaca al-Quran dengan bacaan yang betul serta memahami maknanya adalah lebih baik. — ZHAFARAN NASIB/The Star

TREND tebuk al-Quran yang tular di media sosial kini menjadi perbahasan orang ramai apabila seorang pempengaruh terkenal sering membuat konten menguji bacaan kitab suci itu yang semakin mendapat tempat di hati penonton.

Uji hafalan al-Quran itu menjadi buah mulut netizen apabila pempengaruh itu sering melakukan konten bersama individu yang dianggap berpakaian 'tidak sopan' kerana memakai perhiasan seperti rantai dan tidak mencerminkan imej Islam.

Terdapat juga netizen yang memberi komen bahawa jangan sekadar menilai luaran seseorang itu kerana penampilan tidak menjadi masalah selagi mana tidak haram dan menutup aurat.

BACA LAGI: Lafaz talak ketika isteri suci, ramai lupa 5 adab cerai ikut ajaran Islam

BACA LAGI: 'Patutnya 'settle' tepi bukan cerai depan orang ramai ketika TikTok live'

mausadah01_1573196209

Dr. Mohd Sobri Ellias menegaskan seseorang yang menghafal al-Quran tetapi tidak mengamalkannya, adalah tak berdosa, akan tetapi lebih baik jika dia menghayati dan mengamalkannya. — Eizairi Shamsudin

Rata-rata netizen juga mempersoalkan golongan itu yang mampu menghafal 30 juzuk al-Quran tetapi tidak mengamalkannya.

Tampil memperjelas isu berkenaan, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd Sobri Ellias berkata, membaca al-Quran al-Karim memerlukan adab yang sesuai dengan ajaran Islam dan harus dihayati dengan penuh perhatian.

Adab tersebut meliputi aspek pakaian, perilaku, dan akhlak seseorang.

"Membaca al-Quran tidak hanya sekadar aktiviti rutin tetapi seharusnya memberi kesan kepada cara berfikir, tingkah laku, dan percakapan seseorang," katanya.

Menurutnya, sebagai contoh, jika seseorang hanya membaca al-Quran tanpa menghayati kandungannya, maka kesan positif yang diharapkan tidak akan tercapai.

Bacaan yang disertai dengan penghayatan akan lebih memberi kesan mendalam terhadap individu.

"Bacaan kitab itu seharusnya diiringi dengan amalan adab-adab yang diajarkan oleh para ulama dan Rasulullah SAW, seperti yang digariskan dalam kitab Bari'at-Tibian Fi Adabi Haqqalati Al-Quran oleh Imam Nawawi RA," katanya.

Pendebatan netizen di media sosial itu disangkal oleh beliau di mana diperjelas mengenai kekeliruan pandangan penampilan individu yang 'ditebuk' seakan-akan sekadar menghafal al-Quran di kerongkong tetapi tidak mengamalkannya.

Justeru, beliau menegaskan seseorang yang menghafal kalam ALLAH tetapi tidak mengamalkannya, adalah tidak berdosa, akan tetapi lebih baik sekiranya dia menghayati dan mengamalkannya.

"Jika bacaannya dijaga dan mengikut tajwid yang sepatutnya, tidak menjadi masalah pun," katanya kepada Majoriti.

al-quran_43

Jika seseorang hanya membaca al-Quran tanpa menghayati kandungannya, maka kesan positif yang diharapkan tidak akan tercapai. — detikNews

Hal berkenaan perlu diperjelas lanjut agar orang ramai tidak salah faham.

Mengenai pemakaian perhiasan seperti rantai bagi lelaki tidak dianggap menyerupai wanita jika rantai tersebut adalah khusus untuk lelaki dan bukannya rantai emas.

Namun, rantai emas misalnya yang khas untuk wanita, seperti rantai yang bersifat feminin, adalah dilarang buat kaum Adam.

Oleh itu, pemilihan rantai harus mengikut jantina yang sesuai dan tidak menyerupai aksesori wanita.

Penggunaan rantai yang tidak menyerupai rantai wanita atau tasbih pada leher adalah dibolehkan dalam Islam.

Sementara itu, Dr. Sobri tampil memperjelas berkenaan trend tebuk al-Quran itu di mana terdapat segelintir netizen berpandangan bahawa kebiasaan penghafal kitab suci itu tidak akan memberitahu jumlah juzuk yang dihafal ibarat bangga akan jumlah hafalan.

Beliau melihat dari sudut positif mengulas bahawa perkara itu tidak menjadi masalah pun.

"Ia bukan hanya mempromosikan budaya menghafal al-Quran tetapi juga memberi inspirasi kepada orang lain untuk turut menghafal kalam ALLAH.

"Berbangga dengan pencapaian tersebut adalah perkara baik selama ia dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tidak melanggar adab-adab lain," jelas beliau.

WhatsApp-Image-2022-12-12-at-12.36.57

Secara umum, pemakaian rantai bagi lelaki tak dianggap menyerupai wanita jika rantai tersebut adalah khusus untuk lelaki dan bukannya perhiasan rantai emas. — Gambar hiasan/Agensi

Penampilan individu yang diambil untuk konten media sosial perlu diteliti agar mencerminkan imej Islam yang baik.

Penampilan yang tidak sesuai atau tidak menjaga adab-adab Islam boleh mengundang pandangan negatif.

Oleh itu, penting untuk memastikan bahawa individu yang terlibat dalam pembacaan al-Quran atau konten berkaitan Islam mematuhi adab yang sesuai.

Secara keseluruhan, membaca al-Quran adalah satu ibadah yang amat baik.

Rasulullah SAW menekankan bahawa membaca al-Quran dengan bacaan yang betul serta memahami maknanya adalah lebih baik.

Penghayatan dan amalan terhadap kandungan kitab suci itu memberikan kesan yang lebih positif dibandingkan dengan hanya membaca tanpa memahami.

Dalam konteks ini, adalah lebih baik jika seseorang itu bukan sahaja membaca al-Quran tetapi juga memahami dan mengamalkan isi kandungannya.

Ini adalah langkah penting dalam meningkatkan keberkatan dan manfaat daripada membaca al-Quran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram