Dua dikhuatiri lemas, dua lagi terselamat bot berlanggar di perairan Sabah


  • 112
  • Khamis, 08 Ogos 2024

Dua masih hilang manakala dua terselamat selepas bot yang mereka naiki dilanggar sebuah bot lain dalam kejadian di perairan Pulau Sebangkat, Sabah pada Selasa.

DUA penumpang dikhuatiri lemas manakala dua lagi selamat selepas bot yang mereka naiki dilanggar sebuah bot lain dalam kejadian di perairan Pulau Sebangkat, Sabah pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa yang hilang dikenali sebagai Rommek Tura dan Jimal manakala dua terselamat dikenali sebagai Reymar dan Bocoi yang berusia 30 tahun.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah diaktifkan untuk Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat).

BACA LAGI: 'Doktor pun manusia biasa perlukan rehat,' keputusan kembalikan cuti bersalin 90 hari disambut baik

BACA LAGI: Kajian dapati mood terganggu sehari suntuk jika tidak bersarapan

"Pihak Maritim telah mengatur gerak Bot Bangi 11 dan Bot Adal 18 dari Zon Maritim Semporna ke lokasi kejadian bagi menyelamat mangsa sebaik menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, bot yang dinaiki empat mangsa dikatakan keluar ke laut pada pukul 5 petang Isnin sebelum bot mereka dilanggar oleh sebuah bot lain di perairan berkenaan.

"Namun individu yang melanggar bot mangsa telah melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Amir turut memaklumkan, dua penumpang terselamat namun salah seorang iaitu Reymar mengalami cedera parah.

"Mangsa cedera di bahagian lengan, lutut serta belakang badan dan telah mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Semporna.

"Dua lagi penumpang masih hilang dan operasi memasuki hari ketiga kini diperluaskan kepada lima sektor dengan penambahan radius kawasan kepada 27 batu nautika persegi," katanya.

Beliau memaklumkan, operasi turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Taman- Taman Sabah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram