Ada tawar khidmat sihir online, pakar gesa kerajaan segera wujudkan undang-undang jenayah sihir


  • Mukmin
  • Rabu, 07 Ogos 2024

Dengan perkembangan teknologi, amalan sihir juga boleh dilakukan secara dalam talian. — Gambar/AFP

KITA sering mendengar tentang penggunaan sihir secara atas talian dalam masyarakat, namun ia bukanlah satu isu baru.

Dengan zaman yang serba canggih, golongan yang mengamalkan sihir tidak perlu lagi ke rumah bomoh dan kini boleh menggunakan servis atas talian untuk perbuatan syirik itu.

Pensyarah kanan Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Dr. Mahyuddin Ismail yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu berkata, penggunaan sihir wujud sejak zaman dahulu, bahkan sejak tamadun Mesopotamia, Yunani, Rom, China, dan India.

BACA LAGI: Lafaz talak ketika isteri suci, ramai lupa 5 adab cerai ikut ajaran Islam

BACA LAGI: 'Patutnya 'settle' tepi bukan cerai depan orang ramai ketika TikTok live'

TO GO WITH Malaysia-religion-Islam-magic, FEATURE by Romen BoseIn a picture taken on August 16, 2010 a Malay Bomoh, or witch doctor, Pak Su explains his treatments in front of paraphanelia he uses to cure patients of their ailments on the outskirts of Kuala Lumpur.  As in many parts of Asia, a belief in the supernatural is widespread in Malaysia, but the practice has a different twist in the Muslim-majority country where meddling with the occult is banned under Islam.  AFP PHOTO / Saeed Khan / AFP PHOTO / SAEED KHAN

Beliau juga mengingatkan bahawa ada pengamal sihir yang menyamarkan diri mereka sebagai ustaz atau perawat berautoriti untuk menipu orang ramai. — Gambar/Agensi

"Sejak zaman dahulu, sihir telah menjadi masalah dalam pelbagai tamadun. Undang-undang dan pemerintah pada zaman dahulu juga telah cuba menangani isu ini.

"Kini pada zaman moden, sihir tidak hanya terhad kepada amalan tradisional. Dengan perkembangan teknologi, amalan sihir juga boleh dilakukan secara dalam talian," katanya.

Dr. Mahyuddin berkata, amalan sihir dalam talian termasuklah penjualan barang-barang seperti minyak pengasih dan tangkal serta servis menundukkan pasangan kini mudah diperoleh begitu sahaja.

Minyak pengasih yang dijual secara berleluasa secara atas talian diperoleh dengan harga RM350.

"Sekarang orang boleh membeli barang sihir melalui platform e-dagang seperti Shopee. Ini menunjukkan bahawa amalan sihir telah berkembang mengikut perkembangan zaman," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau juga mengingatkan bahawa ada pengamal sihir yang menyamarkan diri mereka sebagai ustaz atau perawat berautoriti untuk menipu orang ramai.

"Ada individu yang menggunakan penampilan seperti ustaz untuk menyembunyikan niat sebenar mereka.

"Hal ini boleh membingungkan dan merugikan orang yang mencari bantuan," katanya kepada Majoriti.

Beliau menegaskan agar masyarakat perlulah berhati-hati kerana amalan sihir memerlukan sesuatu yang berkaitan dengan tubuh manusia seperti rambut, kuku, atau pakaian untuk menyihir seseorang itu.

"Jika sihir dilakukan melalui barang-barang peribadi seperti rambut atau pakaian, kesannya mungkin lebih kuat. Namun, gambar semata-mata biasanya kurang berkesan," katanya.

1740152

Pihak kerajaan berkaitan perlu memperketatkan kawalan dan undang-undang untuk mengawal kegiatan syirik dan penjualan barang-barang sihir. — Gambar/mStar

Untuk mencegah terkena sihir, beliau menyarankan agar tidaklah terlalu menunjuk-nunjuk kelebihan diri di media sosial.

"Elakkan menunjuk kekayaan, kecantikan, atau kejayaan yang boleh menimbulkan rasa iri hati. Ini boleh mengundang sihir atau gangguan lain," katanya.

Selain itu, amalan membaca surah-surah pelindung seperti Al Mu'awwidzatain (Surah An-Nas dan Al-Falaq) serta Ayat Kursi juga disarankan sebagai langkah perlindungan.

"Nabi Muhammad SAW juga mengamalkan bacaan ini untuk melindungi diri daripada sihir," jelasnya.

Beliau juga memberi amaran tentang bahaya membeli barang sihir dalam talian.

"Kita perlu berhati-hati dan tidak terpedaya dengan penjual yang menawarkan barang sihir.

"Ini boleh menyebabkan lebih banyak masalah dan tidak memberi manfaat, malah boleh merugikan di dunia dan akhirat."

Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap pengamal dan penjual barang sihir dalam talian.

"Pihak kerajaan berkaitan perlu memperketatkan kawalan dan undang-undang untuk mengawal kegiatan syirik ini dan penjualan barang-barang sihir.

"Ini penting untuk melindungi masyarakat daripada penipuan dan bahaya sihir," katanya.

Menurutnya, beliau menegaskan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) antaranya mengambil langkah segera bagi menyekat kegiatan mereka mempromosi perkhidmatan sihir itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram