KADAR kes perceraian sejak kebelakangan ini dilihat semakin membimbangkan terutamanya pada generasi muda.
Alasan tidak sekufu mahupun "kafaah" merujuk pada kesetaraan atau kesepadanan dalam pernikahan yang sering menjadi ukuran keseimbangan dari semua aspek.
Sekufu bagi mereka bukan sahaja berdasarkan harta, keturunan, kecantikan, agama tetapi termasuk juga cara pemikiran dan gaya hidup suami isteri agar tidak mencetuskan sebarang komplikasi dalam hubungan di kemudian hari.
BACA LAGI: Lafaz talak ketika isteri suci, ramai lupa 5 adab cerai ikut ajaran Islam
BACA LAGI: 'Patutnya 'settle' tepi bukan cerai depan orang ramai ketika TikTok live'
Sekufu ini adalah berada pada tahap yang memang tidak boleh bertolak ansur. — Gambar/Iman Publication
Perkara tersebut dipersetujui oleh pendakwah bebas, Ustaz Suhail Sufian yang berpendapat bahawa sekufu adalah situasi di mana sepasang suami isteri itu serasi atau tidak sebelum menjalani bahtera perkahwinan.
Beliau berkata, perkara tersebut adalah normal dan mungkin berlaku sebenarnya pada setiap perkahwinan.
"Ramai yang cuba elak mengenai isu sekufu ini dengan cara 'couple' dahulu untuk mengenali pasangan masing-masing.
"Sedangkan bercinta sebelum berkahwin tidak menjamin dan menentukan mereka itu sekufu.
"Ini kerana, kebiasaannya bila di fasa bercinta, orang akan berpura-pura berlakon dan menunjukkan sisi baik sahaja," katanya kepada Majoriti.
Tegasnya, kebanyakkan isu sekufu timbul apabila benda-benda yang tidak baik berlaku misalnya disebabkan tabiat-tabiat tertentu yang berbeza ataupun disebabkan keburukan masing-masing.
Suhail berkata, bagi mengelakkan berlakunya tidak sekufu sebelum berkahwin, sebaiknya hendaklah melibatkan perbincangan orang yang berpengalaman seperti ibu bapa dan bakal keluarga mentua.
Tambahnya, sekiranya seseorang itu selepas berkahwin baru menyedari bahawa hubungan suami isteri tidak sekufu, cadangannya adalah dengan merujuk kepada pihak Jabatan Agama, unit kaunseling, ustaz mahupun ibu bapa.
Perkahwinan yang bahagia dan sakinah adalah pasangan yang saling bertolak-ansur kerana dari situlah datangnya cinta.
Justeru, dilihat isu sekufu adalah berada pada tahap yang memang tidak boleh bertolak ansur.
Sekufu yang utama adalah dari aspek agama yang sangat memainkan peranan kerana asas keluarga itu dibina berlandaskan jua kertas Al-Quran sebagai rujukan ibadah dan panduan.
Pendakwah bebas itu, memberi cadangan agar mereka yang mengalami situasi sebegini yang pertama mestilah mengenal pasti dahulu isu tersebut sama ada boleh diselesaikan atau tidak secara baik.
Dan kedua, seseorang itu mestilah mendapatkan rujukan pakar yang arif dan sekiranya tidak dapat diselesaikan barulah pertimbangkan solusi untuk berpisah.
"Generasi sekarang sangat merisaukan kerana mereka tidak melakukan perkara berkenaan terlebih dahulu sebaliknya memilih untuk bercerai," katanya.
Suhai mengulas lanjut, sekufu berkait dengan penerimaan diri terhadap pasangan masing-masing terutamanya hal status sosial, ekonomi, pendidikan, dan faktor lain.
"Sesetengah orang menggunakan alasan tidak sekufu sebagai alasan nombor satu kepada punca perceraian di mana mereka tidak bermuhasabah tentang perkara-perkara yang tidak ingin mereka perbaiki.
Suhail berpandangan orang menggunakan alasan kafaah mahupun tidak sekufu untuk lari daripada masalah untuk mengelak dari berbincang secara baik dan pada akhirnya membawa kepada perceraian.
Katanya, sekiranya pasangan suami isteri sudah tidak ingin lagi meneruskan perkahwinan itu sebaiknya berlaku jujur, jangan mempergunakan alasan tidak 'sekufu' untuk mengakhiri perkahwinan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram