[VIDEO] Bimbang salah kiblat solat dalam tren? Pakar agama beri panduan jawab kemusykilan


  • Mukmin
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Tangkap layar daripada video memaparkan pengguna kenderaan awam mengerjakan ibadah solat pada waktu Subuh.

MENUNAIKAN solat fardhu lima waktu adalah kewajipan seorang muslim pada setiap hari.

Dalam apa jua keadaan sekalipun solat wajib ditunaikan pada waktunya, akan tetapi menunaikan solat pada waktunya adalah sunnah.

Terdapat segelintir muslim tidak dapat menunaikan solat tepat pada waktunya oleh kerana kekangan masa terutamanya berkaitan waktu kerja, bahkan ada yang tidak sempat menunaikan solat wajib lima waktu itu.

BACA LAGI: Lafaz talak ketika isteri suci, ramai lupa 5 adab cerai ikut ajaran Islam

BACA LAGI: 'Patutnya 'settle' tepi bukan cerai depan orang ramai ketika TikTok live'

Justeru, hal ini membuatkan sebahagian dari mereka memilih untuk solat ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerja khususnya pada waktu subuh kerana waktu yang singkat.

Terdahulu, tular satu video yang berdurasi 27 saat itu memaparkan individu menunaikan solat Subuh secara berjemaah di dalam kereta api.

Difahamkan mereka perlu bergerak ke tempat kerja awal pagi dan terpaksa berada dalam kereta api sepanjang waktu Subuh.

Namun jika kita lihat, terdapat beberapa tanda tanya termasuklah penentuan arah kiblat, solat berjemaah di tempat sedemikian dan juga kebersihan sah solat.

Penentuan arah kiblat?

Mengulas berkenaan persoalan ini, Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, menunaikan solat walaupun dalam keadaan sukar dan sibuk amatlah terpuji kerana menunjukkan sesorang itu amat menjaga tanggungjawab agama.

“Bagi saya amat terpuji apabila mereka sanggup menunaikan solat di dalam kenderaan seperti kapal terbang atau kereta api kerana kenderaan tersebut tidak boleh berhenti secara sewenang - wenangnya.

Namun katanya, telah menjadi tanggungjawab seseorang Islam itu mencari arah kiblat sebelum mengejarkan waktu solat.

Bertanya berkenaan dengan arah kiblat sekiranya menunaikan solat dalam kereta api yang bergerak dan bertukar kedudukan arah, beliau mengulas bahawa hendaklah seseorang itu memastikan arah kiblat terlebih dahulu dan seseorang tu mestilah yakin selagi mana dia solat mengikut arah kiblat.

“Sebenarnya solat dalam kereta api lebih mudah berbanding kenderaan di udara.

“Tujuan berbuat demikian adalah untuk memastikan mereka tidak terlepas waktu subuh yang terpaksa mereka hadapi setiap hari,” katanya kepada Majoriti.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan terperinci bahawa mereka yang menaiki kereta api dan menunaikan solat dalam gerabak berkenaan wajib menyemak arah kiblat setiap hari.

“Saya yakin bahawa mereka yang solat dalam kereta api itu sudah pastinya mencari arah kiblat sebelum menunaikan solat,” katanya.

WhatsApp Image 2024-08-01 at 10.30.05 PM

Dr Mohd Izhar Ariff berkata, menunaikan solat walaupun dalam keadaan sukar dan sibuk amatlah terpuji kerana menunjukkan sesorang itu amat menjaga tanggungjawab agama. — Agensi

Hal ini adalah kerana bagi menyakinkan mereka bahawa solat mengadap arah kiblat selagi termampu walaupun setiap hari mereka menaiki kereta api.

Tampil memberi penjelasan lanjut, sekiranya kita yakin sempat sampai ke sesuatu destinasi sebelum waktu Subuh habis misalnya, maka adalah lebih baik menunaikan solat setelah sampai ke destinasi.

Hal ini kerana solat di tempat yang tidak bergerak adalah Sunnah Nabi SAW.

“Nabi SAW solat atas haiwan kenderaan hanya ketika solat sunat sahaja,” kata beliau.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Amir bin Rabi’ah beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الرَّاحِلَةِ يُسَبِّحُ يُومِئُ بِرَأْسِهِ قِبَلَ أَيِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ وَلَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ

Maksudnya: Aku pernah melihat Rasulullah S.A.W dalam keadaan baginda sedang berada di atas haiwan tunggangan, baginda bertasbih dengan mengisyaratkan kepala baginda menghadap ke arah yang mana haiwan itu menghadap. Dan tidaklah baginda melakukan perkara sedemikian di dalam solat fardhu. Riwayat al-Bukhari (1097)

Namun, ulama membenarkan solat fardhu di atas kenderaan seperti kereta api atau kapal terbang jika diyakini mereka akan terlepas solat jika tidak solat ketika dalam perjalanan tersebut.

Adakah boleh mengejarkan solat secara terbuka dalam kereta api?

Sebahagian netizen berpandangan untuk melakukan ibadah solat haruslah di tempat yang bersesuaian dan tidak dalam keadaan memaksa.

Menurut Mohd Izhar Ariff, solat berjemaah boleh dilakukan di mana-mana sahaja selagi mana ia sesuai untuk berbuat demikian.

“Apa yang penting perbuatan tersebut tidak mengganggu orang awam dan menyukarkan perjalanan orang lain,” katanya

Tambahnya, perkara yang paling penting sekali adalah mengkaji dan bincang terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat supaya tidak timbul perbalahan di kemudian hari.

Kebersihan tempat solat?

Mengulas lanjut mengenai sejauh manakah kebersihan tempat menunaikan solat secara terbuka di dalam gerabak yang tular baru-baru ini, katanya, tempat solat wajiblah bersih daripada sebarang najis.

Kemudahan awam seperti kereta api membolehkan jutaan penumpang mengakses pada bila-bila masa. Jadi tidak mustahil adanya najis yang dipijak atau dibawa oleh sesiapa sahaja ketika menaiki gerabak itu.

“Justeru amat digalakkan kita menggunakan alas atau sejadah bagi memastikan solat kita sah dan selamat daripada najis,” tambahnya.

Namun katanya, jika seseorang muslim itu yakin bahawa tempat solatnya tiada najis, maka tidak salah untuk menunaikan solat tanpa pelapik atau sejadah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram