Ketahui cara, urus pembahagian harta pusaka ikut hukum faraid untuk elak drama seperti 'Lelaki Itu'


  • Mukmin
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Drama Lelaki Itu membangkitkan permasalahan pembahagian harta pusaka mengikut hukum faraid.

SEGELINTIR umat Islam masih keliru tentang cara pembahagian harta pusaka yang benar mengikut hukum syarak seperti yang diperintahkan ALLAH SWT.

Lebih membimbangkan, terdapat hubungan kekeluargaan yang renggang akibat saling bertelingkah dalam pengurusan harta pusaka.

Ada juga keluarga yang bertindak membahagikan harta pusaka dengan sesuka hati tanpa menitikberatkan soal keadilan dengan waris lain yang layak menerima agihan tersebut, seperti mana naratif sebuah drama berjudul Lelaki Itu yang diadaptasikan daripada kisah benar.

Dalam drama berkenaan, Datuk Mirza semasa hidupnya hanya diketahui secara umum memiliki seorang isteri iaitu Datin Qaida dan tiga orang anak perempuannya.

Namun, terbongkar rahsia bahawa Datuk Mirza memiliki dua orang isteri lain bersama dua orang anak lelaki.

Hal itu mengundang pergolakan dalam membahagikan harta pusaka mengikut hukum faraid.

Apabila si suami meninggal dunia, urusan pusaka menjadi semakin rumit kerana kesemua pasangan dan anak adalah berhak mewarisi harta tersebut mengikut hukum faraid.

BACA LAGI: [VIDEO] Buaya tembaga seberat 500kg berjaya ditangkap di Merlimau

WhatsApp Image 2024-04-17 at 6.50.31 PM

Sedutan Drama Lelaki itu yang membincangkan soal pembahagian harta pusaka ayah mereka yang telah meninggal dunia.

Bercakap soal itu, Senior Perancang Harta Pusaka Islam di As-Salihin, Ahmad Subki Zaharuddin berkata, adalah penting untuk seseorang mengambil tindakan awal semasa masih hidup bagi mengelakkan masalah seperti yang dipaparkan dalam drama berkenaan.

"Kes menyembunyikan isteri sudah lama wujud dalam kalangan masyarakat kita.

"Apabila salah seorang waris ingin membuat tuntutan dan bertindak sebagai Pentadbir mewakili waris-waris lain, sudah pasti akan berhadapan dengan pelbagai karenah waris.

"Pasti sukar mendapat kerjasama kesemua waris bagi memulakan pentadbiran harta pusaka si mati," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Ahmad Subki tampil menjelaskan mengenai cara sebenar bagi pembahagian harta pusaka dalam isu berkenaan.

Ahmad Subki berkata, ibu bapa, isteri dan kesemua anak bagi seseorang yang meninggal dunia berhak memperoleh harta pusaka kerana berstatus sebagai waris.

"Disebabkan si mati dalam drama berkenaan mempunyai anak dengan ketiga-tiga isterinya, maka hak Faraid bagi ketiga-tiga isterinya adalah 1/24 untuk setiap seorang.

"Jadi perlu dibahagikan 1/24 kepada tiga bahagian," katanya.

Berikut merupakan cara pembahagian faraid:

1/24 + 1/24 + 1/24: 1/8 pecahan.

Setiap anak lelaki pula berhak mendapat dua bahagian manakala setiap anak perempuan berhak memperoleh satu bahagian.

Seandainya si mati memiliki dua anak lelaki (dua bahagian bagi setiap seorang) dan tiga orang anak perempuan (satu bahagian bagi setiap seorang) maka keseluruhan jumlah adalah sebanyak tujuh bahagian.

7/8 ÷ 7 = 7/8 × 1/7 = 7/56 pecahan.

Setiap anak perempuan: 7/56 pecahan.

Setiap anak lelaki: 14/56 pecahan.

BACA LAGI: Ambil tahu kedudukan anak hasil perkahwinan syubhah

WhatsApp Image 2024-04-17 at 6.36.37 PM'

Ahmad Subki Zaharuddin merupakan Senior Perancang Harta Pusaka Islam di As-Salihin.

Ahmad Subki turut berkata, meskipun poligami halal di sisi syarak, akan wujud permasalahan melibatkan isu pewarisan dan aurat jika poligami itu tidak dilaksanakan mengikut lunas undang-undang syarak dan sivil yang betul.

"Keadaan ini memerlukan intervensi suatu entiti yang berkecuali dan berkepakaran mentadbir urus harta pusaka. Boleh juga ambil khidmat daripada Syarikat Amanah (Trustee) atau bimbingan peguam dan sebagainya," katanya.

Antara tindakan awal yang boleh diambil adalah dengan membuat perancangan pewarisan melalui instrumen:

▪︎ Wasiat

▪︎ Hibah

▪︎ Deklarasi Harta Sepencarian

▪︎ Amanah (Trusts)

Secara umumnya, jelas Ahmad Subki lagi, urusan pusaka si mati terbahagi kepada dua iaitu pentadbiran dan pengagihan.

Wasiat akan memudahkan proses pentadbiran harta pusaka terutamanya apabila melantik Syarikat Amanah sebagai Wasi.

Melalui wasiat, Wasi (Executor) boleh dilantik oleh pewasiat tanpa perlu kebenaran sesiapa pun.

"Dapat juga mengelakkan 'drama' dalam kalangan waris dan sebarang ketidakpatuhan undang² dan salah tadbir pusaka," katanya.

Wasi yang dilantik boleh dalam kalangan individu waris, bukan waris atau lebih baik lagi pelantikan Wasi dalam kalangan Syarikat Amanah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram