PERKONGSIAN petikan kata-kata mengenai rezeki suami datang daripada reda isteri boleh membawa salah faham jika tidak diperjelaskan dengan betul.
Sebelum ini, status yang dimuat naik di Facebook The Reporter mencetuskan perdebatan warga maya apabila ia mengatakan bahawa isteri seumpama penaik rezeki yang mana jika terlukanya hati isteri bererti terputusnya rezeki suami.
Bagaimanapun petikan itu dibidas oleh seorang pengguna Facebook, UAStube yang menafikan perkara berkenaan.
UAStube menyifatkan perkongsian itu bersifat feminisme yang hanya menyokong sebelah pihak tanpa meneliti aspek keseluruhan.
"Ini dalil ciptaan fenimisme, dalam Islam tiada istilah rezeki suami bergantung pada reda isteri," katanya.
BACA LAGI: Balik kampung beraya, ketahui formula solat qasar dan jamak musafir
Malah, berdasarkan perkongsian Pejabat Mufti Persekutuan, pertambahan rezeki seseorang itu sebenarnya bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga.
"Adapun rezeki suami atau lelaki bukanlah terletak pada reda isteri atau wanita secara langsung, namun ia berkait rapat dengan aspek menjaga silaturahim dengan ahli keluarga atau ketaatan kepada ibu dalam perkara yang dibenarkan syarak.
"Berlaku baik dengan ahli keluarga termasuk juga isteri adalah antara sebab rezeki diluaskan oleh ALLAH SWT. Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabab.
"Ia juga sebagai motivasi agar para suami tidak mengambil ringan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan," katanya.
Mengulas lanjut, tiada sesiapa dapat menghalang rezeki kecuali ALLAH SWT yang merupakan pemberi rezeki secara mutlak.
"Tiada pula sesiapa yang dapat memberi, sekiranya tidak diizinkan oleh-Nya," katanya.
Perkara asas akidah yang wajib diketahui adalah ALLAH SWT adalah pemilik sebenar rezeki. Tidak ada yang boleh memberi atau menahan rezeki melainkan ALLAH SWT.
Firman ALLAH SWT:
قُل من يرزُقُكُم مِن السماواتِ والأرضِ ۖ قُلِ اللهُ ۖ
Maksudnya: “Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?" Terangkanlah jawabnya: "Ialah ALLAH...” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram