Sorotan 2023: Pemergian M Daud Kilau, konflik rumah tangga Farid Kamil-Diana Danielle dan perkahwinan mengejut MK K-Clique antara momen paling diingati


  • Hiburan
  • Ahad, 31 Dis 2023

Kisah perkahwinan, penceraian dan kematian selebriti Malaysia sepanjang 2023.

JODOH dan maut semuanya rahsia Tuhan. Tirai 2023 bakal berakhir tidak lama lagi dan pelbagai kisah hidup selebriti tempatan jelas mencuri tumpuan seluruh rakyat Malaysia.

Antara kisah hangat diperkatakan termasuk perkahwinan, penceraian serta perjalanan akhir hidup mereka sebelum dijemput Ilahi.

Justeru, Majoriti mengimbau semula kisah suka dan duka selebriti tempatan sepanjang 2023:

Selebriti yang melangsungkan perkahwinan:

1. Shuib dan Watie Hanifah

msg1050426791-21336

Sekitar majlis perkahwinan Shuib (kiri) dan Watie (kanan). — mStar

Pelakon, pelawak dan usahawan, Shuib, 38, selamat disatukan dengan pilihan hati, Watie Hanifah, 35, atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah di Putra Glass House, Putra Heights, Selangor pada 23 Jun lalu.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi terkenal, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011.

Perkahwinan pertamanya itu bertahan selama hampir 11 tahun selepas Siti Sarah pergi menghadap Illahi kerana jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos 2021.

Namun, kehadiran Watie menjadi penyeri hidup Shuib bersama empat lagi cahaya mata hasil perkahwinan pertamanya iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Sementara itu, Watie juga dikatakan mula berkenalan dengan lebih rapat selepas mengucapkan takziah terhadap pemergian arwah isteri Shuib.

2. Ungku Ismail dan Nad Zainal

msg1050426791-21337

Perkahwinan Ungku Ismail (kiri) dan Nad Zainal (kanan) yang dilangsungkan secara sederhana. — Instagram/Nad Zainal

Pelakon dan pengarah, Ungku Ismail, 37, atau nama sebenarnya Ungku Ismail bin Ungku Abdul Aziz mendirikan rumah tangganya dengan pilihan hati, Nad Zainal, 33, pada 23 Januari lepas.

Perkahwinan itu merupakan perkahwinan kedua Nad Zainal yang sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun dengan bekas suaminya, Muhammad Faliq Amiruddin sebelum bercerai sekitar September 2022.

Nad Zainal atau Farah Nadia Zainal Abidin yang mempunyai dua orang anak, Fahad Ibrahim dan Budi Kalsom hasil perkahwinan pertamanya kini dikurniakan seorang lagi cahaya mata lelaki pada 10 Oktober lepas menerusi perkahwinan keduanya.

Pasangan itu dikatakan mula rapat selepas berganding bersama dalam drama bersiri berjudul Cina Buta yang ditayangkan di layar kaca pada 19 Disember 2022.

3. Janna Nick dan Dini Schatzmann

msg1050426791-21338

Penyatuan jiwa dua pasangan sejoli, Janna Nick (kanan) dan Dini Schatzmann (kiri). — Instagram/Janna Nick

Dua pasangan sejoli, Janna Nick, 28, dan Dini Schatzmann, 29, disatukan secara sah di sebuah resort mewah di Langkawi, Kedah pada 10 Jun lepas.

Perkahwinan tersebut dikatakan telah mengejutkan orang ramai kerana terdapat spekulasi mengatakan mereka berpisah sebelum itu.

Bagaimanapun, Janna atau nama sebenar Nurul Jannah Muner selamat diijab qabulkan dengan Dini atau Dini Azan Schatzmann selepas menjalinkan hubungan dengan lebih serius bermula sekitar Jun 2019.

Mereka turut dilaporkan mula berkenalan pada Julai 2018 ketika melakukan penggambaran bersama dalam drama Bukan Cinta Aku.

4. Mizz Nina dan Essam Muhammad

msg1050426791-21339

Perkahwinan Mizz Nina (kiri) dan Essam Muhammad (kanan) yang dilakukan secara rahsia. — Instagram/Mizz Nina

Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Mizz Nina mengumumkan berita mengejut tentang perkahwinannya dengan penyanyi antarabangsa, Essam Muhammad pada Jun lepas secara tertutup di luar negara.

Ia merupakan perkahwinan kedua Mizz Nina atau Shazrina Azman, 43, selepas berpisah dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh pada 4 Ogos 2022.

Untuk rekod, Mizz Nina pernah berkahwin dengan Noh Salleh pada 2 Julai 2011 sebelum mengumumkan penceraian juga secara mengejut di media sosial.

Noh, 38, pula mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Athira Mustapa, 30, dalam sebuah majlis tertutup di Selangor pada 23 September lalu.

5. MK K-Clique dan Siti Hajar

msg1050426791-21340

MK (kiri) dan pilihan hatinya, Siti Hajar (kanan) ketika majlis perkahwinannya. — Instagram/MK

Penyanyi kegemaran ramai, MK K-Clique menjadi bualan hangat selepas mengumumkan perkahwinannya bersama buah hati, Siti Hajar pada 16 Jun lalu.

Tanpa diketahui, MK atau nama sebenar Muhamad Hairi Amin Hamdan, 26, rupanya sudah menjalinkan hubungan dengan isteri tercinta, Siti Hajaar Datuk Sri Dr Syeikh Nordin selama empat tahun.

Pada masa sama, MK mendedahkan bahawa mereka hanya mengambil masa dua minggu untuk membuat persiapan majlis perkahwinan.

MK juga dikatakan terpikat dengan Siti Hajar kerana banyak membantu dan mengubah dirinya ke arah yang lebih baik.

6. Shila Amzah dan Ubai

msg1050426791-21341

Shila (kanan) dan Ubai (kiri) selamat disatukan menjadi pasangan suami isteri. — Instagram/Shila Amzah

Umur bukan penghalang untuk kedua-dua mempelai, Shila Amzah dan Ubai disatukan.

Penyanyi hebat, Shila Amzah, 33, berkahwin buat kali kedua dengan pempengaruh media sosial, Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli atau Ubai, 25, pada 5 Ogos lepas di Boathouse Ampang, Selangor.

Pasangan itu dikatakan sudah saling mengenali sejak 2011 sebelum menjalinkan hubungan serius sekitar 2014 dan mengambil keputusan untuk bertunang pada 27 Mei lalu.

Shila atau Nurshahila Amir Amzah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangganya bersama bekas suami, Haris Idraki selama empat tahun sebelum bercerai pada 8 Februari 2022.

Hasil perkahwinan pertamanya itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Seth Uwais yang kini dijaga oleh Shila.

7. Nabila Razali dan Nik Iruwan

msg1050426791-21342

Perkahwinan Nabila Razali (kanan) dan Nik Iruwan (kiri) yang dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat sahaja. — Instagram/Nabila Razali

Memutuskan untuk tidak menghebohkan status hubungan, Nabila Razali hanya terus mengumumkan perkahwinannya bersama jejaka idaman, Nik Iruwan pada 18 November lalu.

Majlis perkahwinan yang disempurnakan di The Chateau Spa & Wellness Resort, Pahang itu turut meraih perhatian selepas ia dilakukan secara tertutup yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan teman rapat.

Nabila atau nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali, 31, itu pernah terpalit dalam kontroversi yang mengatakan mempunyai hubungan cinta sebelum pengumuman tersebut.

Bagaimanapun, penyanyi itu selamat disatukan dengan usahawan, Nik Iruwan Nik Izani, 38, selepas beberapa hari kontroversi itu tercetus.

8. Hafidz Roshdi dan Athira Yuhada

msg1050426791-21343

Hafidz Roshdi (kiri) yang selamat bergelar suami kepada Athira Yuhada (kanan). — Instagram/Hafidz

Pelakon, Hafidz Roshdi selamat bergelar suami kepada cinta hatinya, Athira Yuhada di pada 15 Disember lepas di Glass House Event Space Shah Alam, Selangor.

Perkahwinan itu bagaimanapun berlangsung selepas Hafidz sah bercerai dengan bekas isterinya, Shuhada pada 27 Julai lalu.

Hafidz atau Muhammad Hafidz Roshdi, 29, pernah berkahwin dengan Shuhada pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah dan Umar.

Bukan itu sahaja, penceraian mereka juga pernah menjadi kontroversi hangat selepas Hafidz didakwa mencederakan Shuhada dan mempunyai hubungan sulit dengan Athira ketika itu.

Selebriti yang bercerai sepanjang 2023:

1. Syamsul Yusof dan Puteri Sarah

msg1050426791-21344

Syamsul (kiri) dan Puteri Sarah (kanan) ketika proses penceraian mereka. — Bernama

Pelakon dan pengarah tersohor, Syamsul Yusof, 39, menjadi antara bualan hangat masyarakat selepas kisah penceraiannya dengan pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, tular di media sosial.

Pasangan itu pernah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Syaikhul dan Sumayyah.

Ia selepas mereka berdua melalui konflik rumah tangga yang hebat kerana kewujudan orang ketiga yang dikatakan menjadi punca penceraian.

Bukan itu sahaja, proses penceraian tersebut dikatakan berlarutan ditambah lagi tentang berita perkahwinan kedua Syamsul atau Mohd Syamsul Mohd Yusof dengan Ira Kazar atau nama sebenar Faghirah Fatini Kazaruddin yang dilakukan secara senyap di Selatan Thailand pada 6 Januari lalu.

Sukar mencapai kata sepakat juga antara punca proses penceraian tersebut berlarutan sebelum sah bercerai pada 14 Jun lepas.

2. Farid Kamil dan Diana Danielle

msg1050426791-21345

Farid Kamil (kiri) dan Diana Danielle (kanan) ketika menjalani proses penceraian sebelum akhirnya rujuk kembali. — Bernama

Bagaikan merpati dua sejoli, dua pelakon hebat, Farid Kamil dan Diana Danielle juga pernah melalui proses penceraian pada 10 Ogos lalu disebabkan tiada persefahaman dan berlakunya perbalahan untuk tempoh lama.

Ketika itu, Farid atau nama sebenar Farid Kamil, 42, dilaporkan sah melafazkan cerai talak satu menerusi aplikasi Google Meet di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 32, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Pada masa sama, berlakunya pelbagai konflik sepanjang proses penceraian tersebut yang mendapat perhatian ramai.

Farid juga pernah didakwa mencederakan anak perempuannya, Aurora namun ia dinafikan kerana dilakukan tanpa sedar.

Namun, selepas 21 hari bercerai, pasangan tersebut akhirnya dilaporkan membuat keputusan untuk rujuk kembali pada 31 Ogos lalu.

Mereka dikatakan mahu mempertahankan rumah tangganya selepas menitikberatkan tentang keadaan dan perasaan anak-anaknya.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaha mata, Muhammad dan Nur Aurora.

3. Datuk ND Lala dan Fauziah Sarman

msg1050426791-21346

Perkahwinan selama 34 tahun ND Lala dan Fauziah yang berakhir pada Ogos lalu. — Instagram/Shila Amzah

Penceraian ibu bapa penyanyi terkenal, Shila Amzah iaitu Datuk ND Lala, 62, dengan Fauziah Sarman, 55, turut menduduki carta tertinggi dalam senarai ini.

Terdapat pelbagai spekulasi tentang kisah penceraian mereka kerana ND Lala atau nama sebenar Amir Amzah Salleh dikatakan telah melafazkan cerai secara voice note menerusi aplikasi WhatsApp pada 2 Ogos lalu.

Punca penceraian dilaporkan adalah kerana keculasan ND Lala dalam memberi nafkah kepada Fauziah selama bertahun lama serta hanya bergantung dengan anak.

Bukan itu sahaja, ND Lala juga dikatakan menjalinkan hubungan sulit dan berkahwin secara senyap tanpa pengetahuan Fauziah.

4. Datuk Zainal Abidin Hassan dan Fyna Jebat

msg1050426791-21347

Perkahwinan antara Zainal Abidin (kiri) dengan Fyna Jebat (kanan) yang dikatakan tidak direstui oleh isteri pertama, Zalina (tengah). — Instagram

Pada Januari lepas, adik penyanyi dan pelakon terkenal, Aida Jebat iaitu Fyna Jebat mendedahkan sudah berkahwin dengan jurulatih bola sepak, Datuk Zainal Abidin Hassan, 62.

Namun, ia yang merupakan perkahwinan kedua Zainal itu menemui titik noktah pada Mei lalu selepas dikatakan tidak mendapat restu isteri pertama, Datin Zalina Zaini.

Ia selepas sebuah video dimuat naik Fyna atau Nur Syafinaz Jebat, 30, yang menimbulkan tanda tanya tentang status perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, Fyna dilaporkan mengambil langkah untuk berdiam diri dan tidak menjelaskan lanjut tentang perkara tersebut selepas dikhabarkan sudah bercerai.

5. Hafidz Roshdi dan Nurul Shuhada

msg1050426791-21348

Hafidz Roshdi (kiri) dan Nurul Shuhada (kanan) sebelum berpisah. — Instagram/Hafidz

Kisah penceraian antara pelakon, Hafidz Roshdi dengan bekas isterinya, Nurul Shuhada, 29, menjadi antara topik perbualan sensasi seluruh rakyat Malaysia.

Ia selepas Shuhada atau Nurul Shuhada Mat Shukri dikatakan ditumbuk oleh Hafidz sebanyak tiga kali di muka apabila hubungan rahsia Hafidz dengan isterinya kini, Athira Yuhada terbongkar.

Perkahwinan yang pernah didirikan pada 30 April 2016 itu bagaimanapun berakhir pada 27 Julai lalu dengan meninggalkan dua cahaya mata Humairah, 6 dan Umar, 2.

Namun, apa yang lebih menyedihkan, Shuhada ketika itu dilaporkan mengandung anak ketiga mereka sebelum keguguran.

6. Datuk Jovian Mandagie dan Nina Sabri

msg1050426791-21349

Perpisahan yang dilakukan secara baik antara Jovian (kanan) dan Nina (kiri). — Instagram/Jovian

Siapa sangka, kebahagiaan yang ditunjukkan di media sosial rupanya berakhir dengan penceraian.

Ia susulan pengumuman mengejutkan ramai apabila pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie dilaporkan sudah berpisah dengan bekas isteri, Nina Sabri yang merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengumuman itu dimuat naik di Instagram Jovian atau nama sebenar Mohd. Ridhwan sendiri yang menyatakan bahawa mereka telah pun bercerai sejak Ogos lalu.

Namun, mereka dikatakan berpisah secara baik serta masih mengekalkan hubungan baik sebagai kawan.

Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Jeanelle Nika Mandagie.

7. Engku Emran & Noor Nabila

msg1050426791-21350

Engku Emran (kiri) dan Noor Nabila (kanan) yang dilihat bahagia sebelum membuat keputusan untuk bercerai. — Instagram

Penceraian kali ketiga usahawan terkenal, Engku Emran, 48, dengan kakak selebriti terkenal, Noor Neelofa iaitu Noor Nabila, 39, juga tidak terkecuali.

Engku Emran mendirikan rumah tangga dengan Nabila atau Noor Nabila Mohd Noor pada 19 Mac 2021 selepas mengesahkan telah berpisah dengan bekas isteri yang merupakan selebriti Indonesia terkenal, Laudya Cynthia Bella pada Julai 2020.

Bukan itu sahaja, Engku Emran atau nama sebenar Engku Emran Engku Zainal Abdin yang juga bekas suami kepada pelakon terkenal, Erra Fazira itu turut dilaporkan sah bercerai talak satu dengan Nabila pada 25 September lepas.

Perpisahan itu dikatakan berlaku selepas Nabila mengesahkan tidak lagi tinggal serumah sejak Januari lalu dan tiada kesefahaman untuk meneruskan hubungan sebagai suami isteri.

Sementara itu, Nabila turut pernah berkahwin dengan pelakon dan usahawan, Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden, 6.

Selebriti yang meninggal dunia:

1. Badrul Muhayat

msg1050426791-21361

Badrul Muhayat yang meninggal dunia pada usia 55 tahun.

Pelakon terkenal, Badrul Muhayat, 55, disahkan meninggal dunia dalam tidur di sebuah inap desa di Taman Pauh Jaya, Pulau Pinang pada 28 Oktober lalu.

Difahamkan, isteri Badrul Muhayat, Norhayati Zulkaply memaklumkan yang arwah tidak memberikan sebarang tindak balas ketika dikejutkan berulang kali.

Kematian Badrul Muhayat atau Badrul Muhayat Ahmad Jailani sangat mengejutkan kerana arwah berada dalam keadaan baik sebelum ini dan sama sekali tidak mengalami sebarang penyakit serius.

Sebelum ini, Badrul pernah membintangi filem hebat seperti Harry Boy pada 1991, Azizah The Legend (1993), Kad Cinta (1995), Pesona Cinta (1995) dan Anaknya Sazali (2000).

2. Tia Jinbara

msg1050426791-21362

Tia Jinbara pergi menghadap Illahi pada 9 November lalu.

Bekas vokalis kumpulan Jinbara, Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, atau lebih dikenali sebagai Tia Jinbara meninggal dunia di Hospital Shah Alam, Selangor pada 9 November lalu.

Difahamkan, arwah yang menghidap penyakit kanser hati itu menghembuskan nafas terakhirnya sekitar pukul 9.17 pagi.

Sebelum ini, arwah disahkan menghidap kanser hati selepas mengadu sakit perut pada 1 November.

Pemergian pelantun lagu popular Farhana (2007) dan Kasihnya Laila (2012) itu meninggalkan isteri dan tiga anak tirinya.

3. Suhaimi Saad

msg1050426791-21363

Pemergian Suhaimi Saad yang mengejutkan ramai.

Bekas anggota kumpulan nasyid InTeam, Mohd Suhaimi Saad, 43, yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, Johor meninggal dunia pada pukul 7.40 malam pada 15 November lalu.

Sebelum ini, Allahyarham ditidurkan dan bergantung alat bantuan pernafasan di unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami kegagalan organ dalaman.

Difahamkan, sebelum itu, Suhaimi mengalami masalah batuk kronik sejak empat bulan lalu dan cirit-birit sejak tiga bulan lalu serta berat badannya turun mendadak.

4. Ibnor Riza

msg1050426791-21364

Ibnor Riza yang meninggal dunia pada 17 Disember lepas.

Penyanyi era 80-an, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.30 petang pada 17 Disember lalu.

Ibnor Riza atau Ibnor Riza Ibrahim yang terkenal dengan lagu Mimpi Yang Tak Sudah meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HCTM), Kuala Lumpur.

Pada 19 Februari lalu, Ibnor yang turut popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan selepas pengsan di rumah.

Sebelum itu, Ibnor diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain yang teruk.

5. Datuk M Daud Kilau

msg1050426791-21365

Penghibur kesayangan Malaysia, M Daud Kilau yang telah pergi buat selamanya.

Raja Gelek, Datuk M Daud Kilau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan (HTI), Teluk Intan, Perak, pada 4.46 petang pada 18 Disember lalu, akibat jangkitan kuman dalam darah.

Sebelum ini, pelantun lagu Che Mek Molek itu berdepan masalah penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi, paru-paru berair dan kebas anggota kaki dan tangan.

Allahyarham M Daud juga pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Arwah cukup terkenal dengan keunikannya atas aksi gelek yang memukau ramai. Seniman itu juga sering menggayakan pakaian sarat perincian labuci setiap kali muncul membuat persembahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram