PERKAHWINAN merupakan suatu perkara yang sangat dituntut di dalam agama.
Menurut perspektif Islam, antara hikmah ikatan perkahwinan yang disyariatkan oleh ALLAH SWT adalah untuk mencurahkan kasih sayang dan rahmat dalam diri pasangan masing-masing.
Namun, terdapat sebahagian pasangan yang memutuskan untuk mengakhiri hubungan suci mereka dengan perpisahan sebagai jalan pintas untuk menamatkan sesebuah konflik yang tercetus dalam hubungan mereka.
Terdapat tiga punca yang menyebabkan hubungan pasangan suami isteri renggang sehingga berlaku penceraian seperti:
1) Kurang ilmu pengetahuan dan dan penghayatan agama
Kehidupan berumah tangga akan goyah tanpa pegangan agama yang kukuh kerana pandangan dan gaya hidup seseorang itu dipengaruhi oleh agamanya.
Seperti sabda Rasulullah SAW:
“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”
(Hadis Riwayat Bukhari: 5090 dalam Sahih Bukhari).
Melalui hadis ini, agama Islam sangat menitikberatkan agamanya yang menjadi tonggak mencapai kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga sehingga menjadikannya sebagai asas yang utama dalam pemilihan pasangan masing-masing.
Kehidupan dalam berumah tangga memerlukan pasangan itu sentiasa berkongsi perkara-perkara yang baik supaya kehidupan mereka mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT.
Namun, terdapat segelintir pasangan tidak mempraktikkan cara hidup sebagai seorang Islam sehingga lalai dengan tanggungjawab masing-masing seperti tidak menunaikan nafkah.
Jika amalan agama yang dipraktikkan bersama pasangan seperti solat berjemaah dapat meningkatkan hubungan pasangan dalam mencapai restu ALLAH SWT dalam meraih hubungan yang bahagia.
Kewujudan orang ketiga dalam rumah tangga mampu meretakkan ikatan perkahwinan yang dibina.
2) Kewujudan orang ketiga dalam hubungan suami dan isteri
Secara umumnya, orang ketiga dapat ditakrifkan kepada sesiapa sahaja sama ada seorang lelaki atau wanita terdiri daripada ahli keluarga suami atau isteri, pasangan kekasih atau masyarakat sekeliling.
Sebagai contoh, campur tangan mertua secara negatif dengan menghasut perkara tertentu dalam hubungan rumah tangga anak-anak.
Selain itu, orang ketiga yang mempunyai hubungan sulit secara diam-diam juga berpotensi dalam menyumbang kepada penceraian antara suami dan isteri.
Senario ini dapat disaksikan dalam kalangan masyarakat majmuk, misalnya para suami yang menjalankan permohonan bercerai atas asbab berhasrat untuk berkahwin lain tetapi enggan melalui proses berpoligami.
Malah kes permohonan cerai juga ada yang dilaporkan kerana para isteri tidak dapat menerima madu sebagai isteri kedua kepada suaminya.
Pengurusan kewangan yang tidak sistematik mampu merosakkan ikatan perkahwinan.
3) Lemah dalam pengurusan kewangan yang baik
Kewangan dianggap sebagai medium penting untuk kelangsungan dan gaya hidup dalam sesebuah institusi kekeluargaan.
Namun begitu, krisis ekonomi yang melanda dunia telah mengakibatkan individu diberhentikan kerja, pengangguran, inflasi dan sebagainya.
Perkara ini menjadi lebih mencabar kepada pasangan untuk mencapai kewangan yang stabil secara peribadi dan untuk menyara keluarga.
Ini berkemungkinan atas faktor sumber kewangan yang terhad atau kegagalan untuk mengawal perbelanjaan keutamaan.
Hal ini akan membawa kepada kekangan kewangan terhadap perbelanjaan isi rumah seperti ketidakupayaan untuk membayar bil utiliti sehingga tertunggak dan perbelanjaan seharian yang tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan anak-anak dan pasangan.
Senario ini mengundang kepada bebanan kewangan dalam diri pasangan sehingga memberi impak tekanan yang mencetuskan pertelingkahan dan saling menyalahkan antara satu sama lain.
Oleh itu, sebaiknya setiap pasangan berkahwin mampu untuk menyelesaikan konflik yang berlaku dengan baik supaya hubungan dipenuhi rasa kasih sayang dan sakinah.
Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW bersabda yang membawa maksud:
“Perkara halal yang paling dibenci pada sisi ALLAH ialah talak.”
(Riwayat Abu Daud).
Berdasarkan hadis ini, tindakan menjatuhkan talak tetap menjadi perkara yang dibenci meskipun dibenarkan dalam syarak.
Suasana rumah tangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah dapat dicapai sekiranya pasangan suami isteri tersebut dapat memainkan peranan masing-masing berdasarkan garis panduan yang telah diperuntukkan oleh syarak. — Majoriti
Nur Hamizah Mohammad Husni, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram