MAHKAMAH Rendah Syariah Tanah Merah memutuskan seorang peniaga bersama isterinya yang didakwa mempunyai dua suami, masih kekal sebagai suami isteri yang sah pada Ahad di Kelantan.
Hakim, Ahmad Hariri Mohd Saad membuat keputusan itu selepas Rahaman K A Mohamed Jaafar, 47, membuat sumpah penafian bahawa beliau tidak pernah menceraikan isterinya, Wan Nor Shakirin Wan Abdul Razak, 32, dengan talak tiga seperti yang didakwa, sebelum ini.
"Dengan lafaz sumpah ini, mahkamah memutuskan defendan dan plaintif masih suami isteri yang sah kecuali plaintif hadir semula ke mahkamah dengan bukti baharu,” katanya.
Pada prosiding pengesahan lafaz cerai tersebut, Rahaman diwakili peguam Marzuqi Muhamad manakala Wan Nor Shakirin tidak diwakili peguam.
Namun, Wan Nor Shakirin tidak hadir ke prosiding pada Ahad.
Sebelum ini, Wan Nor Shakirin memberitahu mahkamah bahawa Rahaman pernah melafazkan cerai talak tiga ke atasnya.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Oktober depan untuk satu lagi kes lain membabitkan permohonan cerai yang difailkan oleh Wan Nor Shakirin terhadap Rahaman.
Media sebelum ini melaporkan, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 2 Jan 2019 di Narathiwat, Thailand dan disahkan mengikut hukum syarak oleh mahkamah tersebut pada 6 Jun lalu serta didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.
Bagaimanapun, Rahaman mendapat maklumat daripada pihak Pejabat Agama Shah Alam, Putrajaya bahawa Wan Nor Shakirin sudah berkahwin lagi dengan seorang lelaki lain iaitu Mohd Kamarulazhar Ayob, 42, menyebabkan Rahaman memfailkan perintah faraq nikah terhadap perkahwinan pasangan itu.
Pada 7 Ogos lalu, mahkamah memutuskan perintah faraq nikah sementara ke atas Wan Nor Shakirin dan Mohd Kamarulazhar sehingga kes pengesahan lafaz cerai antara Wan Nor Shakirin serta Rahaman selesai sebelum meneruskan semula kes tuntutan faraq nikah berkenaan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram