[VIDEO] 'Saya terima ketentuan tuhan', Diana Danielle sempat menyanyi sebelum datang mahkamah


Diana Danielle ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor. — Bernama

SELEPAS hampir 11 tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Farid Kamil dan isterinya yang juga pelakon Diana Danielle sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.

Farid, atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 42, melafazkan cerai talak satu terhadap Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, secara dalam talian (Google Meet) di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan wanita itu.

"Mahkamah membenarkan permohonan penceraian yang difailkan plaintif (Diana). Mahkamah menyabitkan lafaz penceraian oleh defendan (Farid) terhadap plaintif (Diana) iaitu jatuh satu talak kali pertama pada 3.23 petang hari ini (Khamis),” kata Shukran.

Pada 10 Mac lepas, Diana memfailkan permohonan cerai terhadap Farid mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq serta tidak lagi mampu hidup bersama sebagai suami isteri.

Shukran berkata mahkamah mendapati shiqaq dan pecah belah yang berlaku antara plaintif dan defendan tidak dapat diselesaikan dan mereka tidak dapat membuktikan kepada mahkamah siapa yang benar.

"Berdasarkan persetujuan bersama hari ini dan shiqaq yang tidak dapat diselesaikan, mahkamah memutuskan tuntutan plaintif di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dibenarkan.

"Jadi mahkamah membenarkan defendan melafazkan satu talak sahaja,” kata hakim syarie itu.

Mahkamah turut membenarkan permohonan kedua-dua pihak untuk menarik balik tuntutan nusyuz yang difailkan mereka.

Terdahulu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana berkata, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk bercerai dan isu berkaitan selepas penceraian.

Peguam Syarie Fakhrul Azman Abu Hassan mewakili Farid mengesahkan mengenai persetujuan itu dan berkata anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tidak sihat akibat pasca Covid-19.

"Sehubungan itu, kami mohon prosiding lafaz cerai oleh anak guam saya dijalankan secara dalam talian iaitu Google Meet,” katanya.

Diana kemudian bersetuju selepas ditanya oleh Shukran sama ada pelakon itu bersetuju lafaz cerai dijalankan secara dalam talian.

Sementara itu, Diana yang kelihatan tenang ketika ditemui pemberita berkata beliau akan memulakan kehidupan baharu dan mendoakan yang terbaik buat Farid.

"Ia sukar buat kami berdua. Bukan senang untuk kami buat keputusan ini. Doakan yang terbaik buat kami berdua dan juga anak-anak," katanya.

Akberdin pula berkata, prosiding seterusnya ialah di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung hadanah (hak penjagaan anak) pada 21 Ogos ini.

"Kita akan rekodkan juga lain-lain perintah berhubung nafkah termasuk edah dan mutaah," katanya.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora yang kini berusia lapan tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram