[VIDEO] Tak salah bawa anak kecil ikut tunaikan umrah tapi ada perkara kena jaga-jaga


  • Mukmin
  • Jumaat, 01 Mac 2024

Membiasakan kanak-kanak menjejakkan kaki ke rumah ibadat merupakan perkara terbaik bagi pembangunan kerohanian mereka. — Gambar hiasan

SETIAP ibu bapa pasti mengidamkan anak-anak yang soleh dan solehah. Untuk mengukuhkan keimanan dalam diri anak, ibu bapa perlulah membimbing dengan ajaran Islam sejak kecil.

Sentiasa membiasakan kanak-kanak menjejakkan kaki ke rumah ibadat merupakan perkara terbaik bagi pembangunan kerohanian terutamanya ketika mereka dalam fasa tumbesaran dan perkembangan.

Dalam hal ini, tentunya Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah menjadi destinasi yang ingin dijejaki oleh ramai orang dengan membawa anak masing-masing.

Namun, tidak dinafikan pasti ada ibu bapa yang masih bimbang dan berasa risau jika perlu membawa bayi atau anak kecil menunaikan umrah bersama memandangkan kanak-kanak masih belum mumaiyiz.

Bercakap soal itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan bahawa tiada masalah atau larangan dalam Islam untuk membawa anak-anak ke rumah ibadat di tanah suci.

"Tiada masalah, asalkan jaga adab dan peraturan dalam masjid," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Ibu kongsi kisah bayi hampir maut gara-gara air masak, pakar beri sebab sebagai pengajaran

bacaan-doa-masuk-masjidil-haram-keistimewaan-dan-alasan-disebut-tanah-haram-2305220

Masjidil Haram dibina mengelilingi Kaabah, iaitu kiblat umat Islam apabila mengerjakan solat.

Mohamad Shukri berkata, membawa anak-anak menjejakkan kaki ke tanah suci merupakan satu perkara yang baik.

"Mekah dan Madinah adalah bumi mulia, jadi kalau ada kemampuan bawalah anak tunaikan umrah, apatah lagi kalau suami isteri memang ada anak seorang sahaja, tak tahu mahu tinggalkan anak kepada siapa, eloklah dibawa bersama," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, Mohamad Shukri turut menjelaskan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sebelum mengerjakan umrah bersama anak kecil mereka.

"Dalam mengerjakan umrah, ada satu bahagian yang memerlukan wuduk iaitu tawaf, jadi ibu bapa perlulah lebih bersedia untuk memastikan bayi mereka berada dalam keadaan bersih dan tiada najis ketika mendukung anak masing-masing.

"Sebelum tawaf itu bolehlah pakaikan lampin pakai buang baharu dan bersihkan bayi siap-siap kerana kita tidak boleh menanggung najis ketika mengerjakan umrah," katanya.

Selain itu, Mohamad Shukri turut menyentuh soal tindakan sesetengah ibu bapa yang bertindak mendukung bayi mereka semasa menunaikan ibadah solat.

Rasulullah SAW pernah solat sambil mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulillah, anak kepada (suaminya) Abi al-‘As bin Rabi’ah bin ‘Abd Shams. Apabila baginda mahu sujud baginda meletakkannya. Apabila bangun baginda mendukungnya kembali (Riwayat al-Bukhari).

BACA LAGI: 'Saya jadi sangat defensif terhadap adik,' Amira Othman tak suka Irfan jadi buah mulut orang mengata

ktbsimufti 3Kelantan Mufti Datuk Mohamad Shukri Mohamad

Mohamad Shukri menjelaskan soal pengurusan bayi semasa mengerjakan umrah.

Namun, Mohamad Shukri berkata, zaman kini berbeza dengan zaman Rasulullah SAW yang menyebabkan ibu bapa perlu lebih peka soal pengurusan bayi.

"Zaman Rasulullah dahulu tiada lampin pakai buang, jadi kalau dia buang najis, kita boleh tahu, tetapi sekarang berbeza yang menyebabkan kita tak perasan jika bayi kencing atau berak dalam lampin itu," katanya.

Sehubungan itu, bagi menunaikan ibadah seperti solat, sebaiknya ibu bapa perlulah berbincang bersama terlebih dahulu dan memilih untuk menjaga bayi secara bergilir-gilir.

"Katakanlah waktu kita solat duduk tahiyat. Dia (anak) kencing dalam lampin jadi solat dikira tak sah. Oleh itu, kena ulang semula solat supaya ibadah kita diterima di sisi ALLAH," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram