JIKA adik-beradik selebriti antarabangsa sering mendapat perhatian peminat, tidak jauh beza juga dengan selebriti di Malaysia.
Apa sahaja yang dilakukan sering kali menjadi topik perbualan, malahan perbuatan membanding-bandingkan bukanlah sesuatu hal yang baharu.
Nasib itu turut dialami penyanyi, Amira Othman dan adiknya, Irfan Haris ketika permulaan melibatkan diri dalam industri muzik tanah air.
"Di awal kemunculan kami dalam industri, memang tidak dapat dinafikan ada yang banding, cakap tumpang populariti dan sebagainya.
"Pendapat orang kita tak boleh nak elak, masuk telinga kanan keluar telinga kiri," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Empat tahun jodoh dicari tak ketemu, Amira Othman akhirnya terbuka ciri calon suami
Amira Othman menyokong karier adiknya, Irfan Haris dalam industri muzik.
Amira tidak melihat adiknya itu sebagai pesaing, malah berasa sedih jika terdapat tindakan yang dibuat adiknya mengundang kritikan netizen.
"Saya kadang-kadang jadi sangat defensif terhadap adik saya, saya tak suka baca dan tak boleh dengar sangat kalau orang bercakap soal adik saya.
"Bagi saya adik-beradik ke apa, perlu bersaing secara sihat," katanya.
Malah, Amira bersyukur apabila dia dilahirkan dalam keluarga yang supportive dan tidak pernah sesekali membandingkan kebolehan anak-anak.
"Amira dan adik masing-masing dalam muzik tapi tak pernah dibandingnya sebab kami sangat rapat dan ikatan sangat kuat.
"Saya ingat lagi bapa saya cakap dulu setiap anak ada kelebihan dan kekurangan masing-masing, yang anak ini lebih tentang hal itu, yang anak ini lebih tentang hal lain," katanya.
Amira Othman terkenal dengan lagu berjudul Jaga-Jaga, Hati-Hati, Tragedi, Sesaat Untukku, Mimpi Indah dan Biar Masa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram