Pujian rakan beri ilham, kaktus dan sukulen jadi terapi Norliyana


  • Hobi
  • Ahad, 18 Feb 2024

Norliyana menjadikan hobi menanam kaktus dan sukulen yang disukai sejak kecil sebagai sumber pendapatan sampingan.

BIJAK menggunakan peluang yang ada, seorang wanita menjadikan hobi menanam kaktus dan sukulen yang diminati sejak kecil sebagai sumber pendapatan sambilan.

Menurut Norliyana Hanisa Jaafar, dia menyukai tanaman kaktus dan sukulen kerana berasakan tumbuhan kecil ini sangat unik dan berbeza daripada pokok-pokok hiasan yang lain.

Ibu kepada tiga orang anak itu turut mendedahkan dia memperoleh idea untuk menjual kaktus dan sukulen selepas mendapat permintaan daripada rakannya yang berminat untuk membeli tumbuhan tersebut daripadanya.

“Kaktus dan sukulen hampir sama cuma yang membezakan kedua-dua tumbuhan ini ialah kaktus berduri manakala sukulen tidak selain berbentuk unik dan memiliki warna-warna tersendiri.

“Saya susun tanaman comel ini di rak dan setiap kali ada kawan berkunjung ke rumah, ramai yang puji kata tanaman ini cantik. Malah mereka ada tanya jika saya ada jual kerana berminat untuk membelinya.

"Dari situ, saya dapat ilham untuk menjual tanaman kaktus dan sukulen ini secara sambilan bagi menambah pendapatan,” katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Rasa 'sayang' boleh buat anda keracunan ubat

photo1707999870

Antara pokok-pokok kaktus yang ditanam oleh Norliyana.

Norliyana yang menjalankan perniagaan itu secara kecil-kecilan sejak awal 2017 berkata, dia sudah berjaya mencapai keseluruhan jualan melebihi 10,000 pasu dalam tempoh kira-kira lapan tahun berkecimpung dalam bidang tanaman kaktus.

“Tumbuhan ini saya jual bermula harga RM4 sehingga RM22 bergantung dengan saiz dan jenis,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai eksekutif di syarikat swasta sebelum berhenti kerja selepas melahirkan anak ketiga.

Wanita berusia 37 tahun itu turut memberi tip penjagaan pokok kaktus yang diamalkan buat sesiapa yang mahu berjinak-jinak dengan tumbuhan comel tersebut.

Menurutnya, dia menggunakan tanah poros bagi membolehkan tanaman memiliki saliran air yang baik selain mengelakkan pokok dijangkiti kulat.

BACA LAGI: Cemas kawan kena serangan jantung ketika bersukan? Pakar kongsi simptom dan ketahui bantuan awal

photo1708001404

Antara pokok sukulen yang dijual.

Ujarnya lagi, kaktus hidup di tanah yang poros dan tidak menakung air seperti pasir.

"Tanah poros bermaksud tidak lekat air terlalu banyak. Apabila air disiram, ia mengalir terus ke bawah pasu.

“Kalau tak sesuai akan jadi masalah macam air bertakung dalam pasu terlalu lama sampai akar reput, itu yang kadang-kadang pokok tiba-tiba mati,” katanya.

Selain itu, dia mementingkan pancaran sinar matahari buat pokok-pokok kaktusnya bagi membolehkan proses fotosintesis berjalan dengan lancar.

“Cahaya ini memang sangat penting, bukan untuk proses fotosintesis sahaja tapi juga penting untuk bolehkan tanah kaktus jadi cepat kering,” katanya.

WhatsApp Image 2024-02-15 at 9.01.32 PM

Antara contoh pokok-pokok yang dijual oleh Norliyana.

Dalam pada itu, wanita berasal Ipoh, Perak itu turut mendedahkan baja yang digunakan bagi memastikan projek penanaman pokoknya sentiasa tumbuh dengan subur.

“Saya guna baja osmocote (baja pembebasan perlahan) kerana kaktus dan sukulen ini jenis tumbuhan yang perlukan minimal fertilizer,” katanya.

Sebelum ini, Norliyana kebiasaannya menjual tumbuh-tumbuhan unik itu menerusi penghantaran pos dan juga secara fizikal di gerai jualan yang dibuka di Cyberjaya, Selangor.

Bagaimanapun, pada ketika ini, dia menutup sementara perniagaannya bagi memberi fokus terhadap masalah kesihatan selepas disahkan menghidap penyakit kanser usus tahap empat pada Oktober 2023.

Norliyana memberitahu, buat masa ini, dia mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap rawatan dan usaha pemulihan daripada penyakit itu.

"Saya meletakkan harapan untuk aktif semula dalam perniagaan pokok kaktus apabila kembali sihat kelak, insya-ALLAH," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegra