MENGHIDAPI tekanan jantung lemah dan risiko rosak buah pinggang tidak mematahkan semangat bekas pemain profesional golf negara, Muhammad Rusli Johari untuk terus mencurah ilmu kepada bakat muda yang meminati sukan golf.
Malah kurang 36 jam selepas keluar wad, Muhammad Rusli sanggup meredah perjalanan sejauh hampir 40 kilometer demi memastikan anak didiknya terus dilatih dengan baik.
Itu pengorbanan dan inspirasi bekas pemain golf berpengalaman yang sudi dikongsikan bersama Majoriti baru-baru ini.
Mengimbau kembali kejadian tersebut, Muhammad Rusli berkata, pengalaman getir itu berlaku kira-kira seminggu lalu.
"Waktu saya sedang duduk sambil tengok televisyen, isteri saya kata, saya macam tak sedarkan diri, mulut berbuih-buih dan terus sahaja panggil ambulans untuk periksa dan katanya tak perlu ke hospital pun.
"Keesokkan harinya, anak saya tak puas hati terus bawa saya ke klinik dan dapat tahu saya perlu terima rawatan Hospital Ampang, Selangor kerana tekanan jantung lemah," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Azhan Rani bersedia tawan Gunung Island Peak di Nepal
Muhammad Rusli mengajar anak muridnya di Kwasa Land Driving Range, Selangor pada Ahad.
BACA LAGI: [VIDEO] Suhu sejuk ekstrem jadi cabaran 13 pendaki tawan gunung bersalji, Island Peak
Katanya, dia perlu dirawat di hospital itu selama empat hari sebelum dibenarkan keluar pada Khamis lalu.
Namun tidak sampai 36 jam, dia tetap meneruskan rutin harian apabila hadir ke Kwasa Land Driving Range, Kwasa Damansara, Selangor pada Sabtu seawal 6.30 pagi untuk melatih anak muridnya.
Tentang kelas latihannya, Muhammad Rusli kebiasaannya mengadakan sesi pembelajaran pada waktu pagi berbanding waktu petang atau malam.
Ini kerana katanya, waktu pagi lebih baik dengan suasana yang segar selain dapat mengelakkan daripada mengganggu waktu solat.
Ada masanya, dia akan melatih sehingga 10 orang pada satu-satu masa dan paling sikit empat orang, bergantung kepada sesi dan masa yang ditetapkan.
"Tahun ini, anggaran anak murid saya ada dalam lebih 20 orang," katanya mengulas tentang jumlah pelajar yang mengikut kelasnya.
Usahanya tidak sia-sia, Muhammad Rusli berasa segala pengorbanannya demi menyerlahkan bakat muda dalam sukan golf itu 'terbayar' apabila melihat ramai generasi muda yang dilatih sudah menjadi pemain profesional.
"Walaupun sekarang saya sudah tak boleh nak main golf kerana swing perlukan tenaga tetapi saya masih mengajar bakat-bakat baru dalam sukan golf.
"Tak kurang 15 orang yang saya latih sudah menjadi pro player dalam sukan golf," katanya sambil menambah ada antara pemain tersebut berasal dari Korea.
Tidak hanya melatih bakat muda dalam negara, profesional golf coaching sejak awal 90-an itu mendedahkan pernah menjadi pengajar bagi pelatih muda dari negara lain seperti Korea dan Australia.
Muhammad Rusli yang berasal Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu turut menceritakan detik permulaan dia mulai terlibat dalam sukan golf.
"Pada tahun 1974, datuk saya main golf di Kelab Golf Royal Selangor , dia bagi saya kayu golf tetapi saya ingatkan itu kayu hoki," katanya sambil menambah itu merupakan detik minatnya terhadap sukan golf.
Selepas itu, Muhammad Rusli mendapat bimbingan pengajar dari Australia di Kelab Golf Royal Selangor bermula 1977 sehingga 1983 untuk memantapkan kualiti dalam sukan golf.
"Waktu itu tak ramai Melayu yang betul-betul pandai untuk main golf, saya masuk banyak pertandingan dan mendapat skor yang bagus. Saya pun dipanggil untuk main national team dan akhirnya bermain secara profesional," katanya.
Bapa kepada lima orang anak itu juga pernah bertanding di banyak negara luar seperti Indonesia, India, Pakistan dan Thailand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram