NEGARA Timur Tengah khususnya Arab Saudi banyak memiliki tempat bersejarah dalam perkembangan Islam. Bahkan negara ini dikenali sebagai Tanah Suci umat Islam yakni Mekah dan Madinah.
Selain Tanah Suci, Arab Saudi juga memiliki beberapa tapak arkeologi kuno yang menyimpan sejarah cukup kelam. Wilayah ini bahkan diketahui sebagai suatu kota yang dianggap terkutuk dan dihindari masyarakat ketika itu.
Kota yang dimaksudkan ialah Kota Madain Saleh yang terletak berdekatan Al Ula antara Madinah dan Tabuk di wilayah Hijaz, Arab Saudi.
Kota peninggalan kaum Tsamud di Madain Saleh kini jadi kota warisan dunia. — Agensi
Nama lain Madain Saleh
Madain Saleh atau Kota Saleh juga dikenali dengan nama al-Qura (Valley of Villages) manakala disebut dalam Taurat (the Old Testament) dan juga dalam kitab Injil (dikenali dengan nama Dedan).
Tempat itu juga disebut sebagai Al-Hijr atau Hegra. Kawasan itu didominasi oleh peninggalan Kerajaan Nabatea dari abad ke-1 Masihi.
Sisa-sisa dari Bangsa Lihyan serta Romawi juga boleh ditemui di kawasan tersebut.
Dalam Al-Quran diceritakan penghuni wilayah Madain Saleh adalah Kaum Tsamud bangsa Nabatea pada masa Nabi Saleh.
Mereka hidup sejak 3,000 tahun sebelum Masihi, di antara zaman Nabi Nuh hingga zaman Nabi Musa.
Batu-batu kukuh dengan pahatan banyak ditemukan di Madain Saleh. — Agensi
Kisah Nabi Saleh dan Madain Saleh
Kota Madain Saleh merupakan salah satu tempat terkutuk kerana memiliki sejarah silam sebagai tempat tinggal bagi kaum Tsamud yang enggan mengikuti ajaran Nabi Saleh.
Diceritakan di dalam al-Quran, Kaum Tsamud dilanda oleh gempa bumi dan sambaran petir sebagai hukuman daripada ALLAH kerana mereka menyembah berhala.
Menurut sejarah, kawasan itu suatu dahulu sangat subur dan hijau serta mempunyai bijirin dan tanaman yang mencukupi setiap tahun.
Kekayaan alam yang melimpah ruah yang ini telah membuatkan orang-orang kaya dalam kalangan kaum Tsamud menjadi sombong dan kejam sehingga sering menyeksa dan membunuh orang miskin.
Disebabkan itu, Nabi Saleh dihantar oleh ALLAH untuk membimbing mereka seperti yang diceritakan di dalam al-Quran:
Dan kepada kaum Tsamud, (kami utuskan) saudara mereka: Nabi Saleh. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah ALLAH! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selainNya. Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah), serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada ALLAH, kemudian bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat (rahmat), lagi sentiasa memperkenankan (permohonan hamba-Nya)”. (Hud 11:61)
Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya”. (Al-A’raaf 7:76)
Ada banyak ruangan di kawasan peninggalan kaum Tsamud di Madain Saleh. — Agensi
Kemudian, ALLAH datangkan unta yang hamil daripada sebuah batu yang besar seperti mana permintaan mereka dengan harapan mereka beriman kepada ALLAH dan RasulNya.
Namun, apabila peristiwa itu terjadi, beberapa pemimpin dalam kalangan kaum Tsamud mengimani apa yang diserukan kepada mereka, namun dihalang oleh sebahagian yang lain.
Setelah beberapa ketika, unta tersebut melahirkan anaknya. Unta dan anaknya mempunyai giliran dengan kaum Tsamud untuk minum dari sumur di lembah tersebut sebagaimana dinyatakan dalam surah al-Qamar ayat 28 dan surah asy-Syu'araa ayat 155.
Namun, setelah sekian lama mereka dalam keadaan begitu, mereka mengambil keputusan untuk membunuh unta tersebut tanpa mempedulikan amaran daripada Nabi Saleh atas alasan mahu menguasai sumur sepenuhnya.
Maka, sembilan pemimpin daripada kaum Tsamud disebutkan di dalam al-Quran iaitu dalam surah an-Naml ayat 48 telah berpakat untuk membunuh unta tersebut.
Jarak kedudukan Hegra (Madain Saleh) (lokasi atas) dan Al Ula dalam peta Google Maps.
Mereka ditawarkan ganjaran berupa anak gadis sekiranya mereka berjaya membunuh unta tersebut.
Maka, selepas peristiwa pembunuhan unta tersebut, Nabi Saleh menangis seraya berkata, firman dari ALLAH, “Bersenang-senanglah kamu di rumahmu selama tiga hari.” (Surah Hud ayat 65)
Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata: “Hai Saleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh ALLAH)”. (Al-A’raf 7:77)
Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. (Al-A’raf 7:78)
Maka Nabi Saleh pun meninggalkan mereka sambil berkata, "Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat". (Al-A’raf 7:79)
Salah satu kawasan pelancongan di Kota Al Ula. — Agensi
Fakta Mengenai Kota Al Ula
Terdapat beberapa kekeliruan mengenai Kota Al Ula dan Madain Saleh, jadi perlu diketahui bahawa kedua-duanya adalah dua lokasi berbeza, namun terletak berdekatan dengan jarak perjalanan kira-kira 25 hingga 31 kilometer (km).
Lokasi yang dilarang untuk dikunjungi ialah Madain Saleh yang merupakan tempat terkutuk serta dilarang oleh Rasulullah SAW. Malah, baginda sendiri menghindari untuk singgah ke tempat tersebut.
Larangan Nabi Muhammad berkunjung ke Madain Saleh bukan bersifat haram mutlak seperti haramnya zina, minum arak dan lain-lain, tapi larangan itu bersifat makruh.
Ini kerana terdapat hujah dan dalil lain, yang mana Nabi Muhammad tidak melarang, tapi menyarankan agar sesiapa yang melalui tempat itu termasuk kawasan dilaknat lain, Nabi minta sahabat menangisi dan muhasabah diri sebagai ibrah takut kepada azab ALLAH.
Masjid Al ‘Izdhom yang juga dikenali sebagai Masjid Tulang. — Facebook
Di Al Ula, kawasan tersebut bukanlah tempat turunnya bala dan dilaknat secara keseluruhannya, demikian menurut seorang mutawif dari Malaysia yang selalu berulang-alik ke tanah suci Mekah, Raja Suhaimi di Facebook.
Ini kerana, katanya, berdasarkan bukti daripada pembinaan sebuah masjid iaitu Masjid Al ‘Izdhom atau Masjid Tulang yang menjadi tempat persinggahan Rasulullah ketika perjalanan ke perang Tabuk.
Ketika baginda Rasulullah ingin mendirikan solat di situ, baginda menggunakan tulang sebagai kaedah penentuan arah kiblat di kawasan tersebut yang sekali gus menyaksikan nama masjid itu mendapat nama Masjid Tulang daripada peristiwa tersebut.
Diceritakan daripada Arab News bahawa Nabi Muhammad tidak menemukan batu atau kayu, jadi baginda menggunakan tulang untuk menandai arah kiblat.
"Dari sini (Masjid Tulang) ke kawasan Madain Saleh (Hegra), yang dikaitkan dengan kaum Nabi Saleh yang dilaknat itu, jaraknya kira-kira 40km. Jadi Al Ula bukan semuanya kawasan laknat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram