Cerita anjing asal daripada air liur iblis hanya mitos, karut


  • Mukmin
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Umat Islam perlu mengelak daripada menyentuh anjing dengan sengaja. — Agensi

KISAH mengenai anjing tercipta daripada air liur iblis adalah cerita mengarut dan mitos semata-mata, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Menurutnya, ia bahkan tidak ditemui dalam sumber-sumber Islam yang sahih.

“Kemungkinan cerita ini diambil daripada sumber Mitos Yahudi (Israiliyyat), atau sumber-sumber kesusasteraan Arab, Farsi atau Hindu Klasik.

“Ajaran Islam perlu diambil daripada sumber-sumbernya yang muktabar yakni al-Quran dan hadis-hadis yang sahih sahaja,” katanya kepada Majoriti.

Beliau turut menasihatkan para pendakwah agar tidak menyebarkan hal-hal karut sedemikian kepada masyarakat kerana bimbang boleh mengelirukan fikiran mereka tentang ajaran Islam yang sebenar.

Dalam pada itu, ujar Wan Salim, tidak dinafikan anjing juga perlu dikasihani sama seperti haiwan lain.

“Namun begitu, umat Islam perlu mengelak daripada menyentuhnya kerana ia dianggap najis. Itu sahaja,” tambahnya.

Wan Salim menasihatkan agar pendakwah tidak menyebarkan hadis palsu kepada masyarakat.

Sebelum ini, pendakwah Indonesia, Gus Bahar ketika mengulas mengenai penciptaan anjing menjelaskan bahawa haiwan itu juga tidak terlepas daripada penciptaan Nabi Adam AS.

Dia berkata : "ALLAH menyuruh malaikat mengumpul bahan paling baik untuk menciptakan Adam. Lalu ketika itu diciptakan Adam tanpa roh. Kemudian Iblis mendengar perkhabaran tersebut dengan rasa tidak puas hati. Kemudian meludahi Nabi Adam lalu terkena bahagian pusarnya."

"ALLAH kemudian membuang ludah tersebut dan maka terciptalah anjing. Anjing itu kemudian diperintahkan oleh ALLAH untuk menjaga Nabi Adam. Biarpun diciptakan daripada ludah Iblis, tetapi anjing itu tetap dekat dengan manusia."

Kemudian ketika penyebaran agama Imam Syafie, anjing mula menjadi haram dan dihindari.

Dalam surah Al-Araf, ayat 176: "Dan sekiranya kami menghendaki nascaya kami tinggikan darjatnya dengan (ayat-ayat) itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan mengikuti keinginannya (yang rendah) maka perumpamaannya seperti anjing. Jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjulurkan lidahnya (juga). Demikianlah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir." Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram